Majlis Pecah Tanah ‘Little India’ Pinggirkan Ahli Parlimen Lembah Pantai

Posted on Saturday, 12 June, 2010
wordpress plugins and themes

Oleh Frederick Luccas

Suara Keadilan

KUALA LUMPUR 12 Jun – Tindakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak menjemput Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar semasa upacara pecah tanah Projek ‘Little India’ 9 Jun lalu dilihat sebagai satu tindakan yang tidak profesional dan hanya memperlihatkan sikap dendam Umno-Barisan Nasional yang kalah kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Menurut Nurul Izzah, jika kerajaan Umno-BN ikhlas berpegang kepada slogan 1Malaysia yang dibanggakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, maka mereka perlulah menjemput ahli parlimen tanpa mengira parti sebagai mencerminkan semangat bersatu-padu.

Tambah beliau, projek ini diberikan secara perundingan terus kepada MRCB Bhd, dan upacara pecah tanah Rabu lalu telah diadakan di Brickfields yang dihadiri oleh Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar tanpa Ahli Parlimen kawasan itu.

“Seperti biasa, saya sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai mahupun Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang berjiran juga tidak dipanggil untuk upacara tersebut,” kata Nurul Izzah lagi.


“Walau bagaimanapun, saya mendesak Nong Chik supaya pastikan projek ini dihabiskan dan jangan meninggalkan projek ini terbengkalai separuh jalan. Adakan dialog dengan penduduk setempat dan terapkan dalam proses pembangunan,” desak Nurul Izzah lagi.

Beliau menekankan agar kerajaan mengambil serius kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tinggal dan bekerja di kawasan Brickfields.

“Kepadatan OKU di Brickfields adalah lebih tinggi dibandingkan dengan kawasan lain dan saya mendesak kerajaan Umno-BN untuk pastikan projek ini menitikberatkan kebajikan dan keselamatan OKU yang tinggal dan bekerja di sini.

“Satu lagi perkara yang saya ingin tekankan ialah bilangan premis yang menjual arak di Brickfields. Kerajaan Umno-BN perlu membuat sesuatu, samada memberikan tempat lain yang jauh daripada ‘Little India’ atau menutup kedai berkenaan kerana tempat ini bakal menjadi tempat tumpuan remaja dan kita tidak mahu remaja dan belia Brickfields terjebak dengan amalan buruk ini. Kesan sosial dan kemasyarakatan projek ini mesti diambil kira dan dinilai sewajarnya.

“Saya mengalu-alukan niat baik Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar untuk memajukan Brickfields, tetapi sehingga kini, masyarakat Brickfields tidak dimaklumkan langsung butiran projek ini dan apa kesannya terhadap kehidupan seharian mereka disini. Mereka diletakkan dalam keadaan pasif, tanpa memberikan ruang untuk memberi pendapat dan maklumbalas.

“Saya mendesak kementerian untuk mendengar dan menerima maklumbalas dariapda masyarakat Brickfields kerana ini melibatkan kehidupan mereka. Kementerian perlu memberitahu kawasan mana yang akan dibangunkan, kawasan mana pula akan dinaiktaraf dan sebagainya,” tegas Nurul Izzah.

wordpress plugins and themes

Search

Issues

@n_izzah

Live on Facebook