Kenyataan Akhbar Berkenaan Projek Little India

Posted on Friday, 25 June, 2010
wordpress plugins and themes

23 Jun 2010

Jawapan Timbalan Menteri WP bahawa pemberian projek Little India kepada MRCB Sdn Bhd bukan secara runding terus kerana mereka merupakan sebuah syarikat berkait kerajaan dan telah terlibat dengan pembangunan KL Sentral dan projek penyuraian trafik amat mengelirukan.

Menjawab soalan saya tentang mengapa projek Little India tidak diberikan melalui tender terbuka pagi tadi di parlimen, Dato Saravanan juga mengelak daripada memperincikan tambahan wang rakyat dalam perbelanjaan projek tersebut. Beliau juga menyatakan usaha MRCB untuk menaiktaraf kawasan Brickfields merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat MRCB sendiri.

Persoalannya, kerajaan sudah memberi janji untuk memberi ruang persaingan di kalangan syarikat-syarikat swasta dengan menawarkan tender terbuka untuk mana-mana pembangunan di seluruh negara. Kenapakah janji ini tidak dikotakan dalam pemberian projek KL Sentral, sistem penyuraian trafik di KL dan Penaiktarafan kawasan Brickfields melalui Little India?

Di kala iklim pelaburan dalam negara oleh pihak swasta sedang lembab dan diakui bahayanya oleh kerajaan serta Perdana Menteri sendiri, rakyat menunggu-nunggu penjelmaan iltizam politik kepada langkah konkrit.

Kedua, kalau benar usaha menaiktaraf kawasan Brickfields ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, kenapa wujud keperluan menggunakan dana rakyat sejumlah RM35 juta ? Bukankah tanggungjawab sosial itu bermaksud bayaran yang ditanggung oleh pihak korporat? Justeru apa penjelasan perlu nya dana rakyat digunakan?

Jawapan Timbalan Menteri yang tidak menolak kemungkinan penambahan jumlah perbelanjaan daripada RM35 juta sedia ada juga amat membimbangkan kerana menunjukkan betapa borosnya kerajaan berbelanja dalam keadaan ekonomi menyempit sedia ada. Sikap sebegini juga ditunjukkan dalam cadangan kerajaan menimbang keperluan bangunan parlimen yang baru bernilai RM800 juta. Malangnya dalam aspek kebajikan rakyat, kerajaan begitu gopoh sanggup menimbang langkah membatalkan biasiswa JPA atas alasan aliran kewangan negara yang membimbangkan, termasuklah rancangan besar di bawah Makmal Datuk Seri Idris Jalla untuk merasionalisasi dan menghentikan subsidi.

Akhir kata, saya tuntut supaya projek Little India ini siap sepenuhnya seperti dijanjikan dan jangan sehingga seorang sekalipun penjaja, peniaga atau penduduk setempat dipinggirkan. Kita tidak mahu berkali-kali dibuktikan bahawa BN hanya mengutamakan kroni -atau dalam kes ini MRCB di kala rakyat dipinggirkan.

Nurul Izzah Anwar

wordpress plugins and themes

Search

Issues

@n_izzah

Live on Facebook