Selamat Hari Guru 2016

Selamat Hari Guru

Salam teman-teman,

Buat Hari Guru Kebangsaan tahun ini, izinkan saya mengulangi keperluan mengurangkan bebanan para guru supaya dapatlah mereka mengajar anak-anak kita dengan lebih selesa dan memastikan kandungan pembelajaran tetap berkualiti. Sudi-sudilah membaca.

Jagalah para guru, supaya mereka menjaga anak-anak kita 🙂

————

Hadiah Hari Guru 2016: Kurangkan Bebanan,Tumpuan buat Pembelajaran

Setiap tahun Kementerian Pendidikan meraikan Hari Guru peringkat Kebangsaan dan sekolah, namun hadiah sebenar buat para guru terus dinantikan.

Saya tekankan sekali lagi keperluan mengembalikan guru-guru ke bilik mengajar untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran sebenar.

Jangan dibebankan 500,000 guru kita dengan hal -hal perkeranian.

Di Finland, setiap 45 minit masa belajar, guru dan murid akan diberi 15 minit waktu rehat. Guru juga dihadkan dengan hanya satu tugas, iaitu mengajar.

Tugasan lain adalah minimum. Cara sebeginilah yang sepatutnya menjadi penunjuk utama kerajaan dalam membela nasib guru di Malaysia.

Sebelum ini Bank Dunia telah mengeluarkan sebuah laporan bertajuk “Malaysia Economic Monitor: High Performing Education.”

Antara lain laporan tersebut menyimpulkan: di Malaysia, guru-guru bukan sahaja diharapkan dalam aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P), malah ditugaskan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kokurikulum, aktiviti-aktiviti pembangunan profesional, dan program-program penglibatan ibu-bapa.

Warga pendidik negara dibebankan dengan tugasan kerja setinggi 57 jam seminggu. Pun begitu, peruntukan masa untuk aktiviti P&P di Malaysia hanyalah di antara 2.4 dan 2.9 jam di dalam bilik darjah.

Saya rujuk analisa dari laporan TALIS (OECD 2014).

Sesi pengajaran dalam satu minggu hanya 17 jam di Malaysia, manakala Finland 20.6 jam seminggu. Guru di Malaysia juga terpaksa melakukan perancangan mengajar yang memperuntukkan 6 jam seminggu dan menanda buku/ujian yang mengambil masa 7.4 jam. Hakikat ini berbanding dengan Finland yang hanya menelan 4.8 jam untuk perancangan dan 3.1 untuk menanda buku. Secara keseluruhan guru di Malaysia memerah tulang empat kerat sebanyak 50.71 jam seminggu, dengan hanya beberapa jam diperuntukkan untuk mengajar.

Jumlah masa ini adalah 40 peratus lebih rendah dari masa purata bagi negara-negara Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Sebagai perbandingan, guru-guru di New Zealand dan Indonesia mempunyai masa P&P setinggi 5 jam sehari, dan di Korea Selatan mempunyai masa P&P 4.1 jam setiap hari.

Selain itu, guru-guru juga terpaksa melaksanakan tugas-tugas perkeranian seperti mengisi kad laporan pelajar, memantau kedatangan pelajar dan juga mengisi data dalam sistem. Kerja-kerja pentadbiran memakan masa guru-guru setinggi 30 peratus.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pula memaksa guru-guru bersengkang mata untuk memasukkan data pelajar. Akibatnya, guru-guru di Malaysia bekerja di antara 40 hingga 80 jam seminggu sehinggalah sistem bertukar kepada versi “offline”.

Sudah tiba masanya buat Hari Guru 2016 kita buktikan iltizam mengurangkan bebanan para guru supaya penumpuan sepenuhnya diberikan buat pembelajaran anak-anak.

Dengan kesedaran sosial dan iltizam untuk membantu anak-anak Lembah Pantai, saya usahakan program Tuisyen PT3 dari rakyat untuk rakyat. Rata-rata guru yang datang dari Universiti Malaya dan IPG Lembah Pantai, serta guru-guru relawan yang hadir untuk mengajar anak-anak Lembah Pantai. Dedikasi khas ini saya tujukan kepada pada guru Cikgu Najihah, Cikgu Adila,Cikgu Izzati, Cikgu Atiera,Cikgu Izzuddin dan Cikgu Mashitah yang setiap hari tanpa jemu meluangkan masa di Pusat khidmat Parlimen Lembah Pantai.

Sistem pendidikan negara hanya boleh dipertingkatkan jika guru dapat kembali mengajar. Pendidikan yang baik sahajalah yang mampu memacu Malaysia mencapai sasaran untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi.

Selamat Hari Guru 2016!

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN