photo

Lindungi Anak-Anak Malaysia di Sekolah daripada Jenayah Seksual – Kerajaan Wajib Tingkat Pantauan di Semua Sekolah

Rakyat Malaysia didedahkan dengan insiden pencabulan seksual dan aktiviti yang tidak bermoral terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa.

Pendedahan dari individu dan NGO yang dirujuk oleh mangsa-mangsa membuktikan kelumpuhan institusi pendakwaan dan perundangan negara. Mangsa dan ibu bapa tidak mempunyai platform untuk mengemukakan aduan, dan ini membawa kita kepada persoalan seterusnya, berapa ramai lagi yang masih belum tampil untuk mengemukakan aduan?

Sebelum ini kita dikejutkan dengan kes Richard Huckle, penjenayah pedofil Britain yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku salah terhadap 71 pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia[1].

Isu penderaan seksual merupakan isu yang wajib diberi perhatian khusus terutamanya di sekolah. Pada tahun 2012, Statistik Polis Diraja Malaysia merekodkan lebih 5,000 kes penderaan seksual di mana 65% daripada mangsa adalah kanak-kanak, iaitu di bawah umur 18 tahun[4]. Rata -rata kanak-kanak di bawah umur 18 tahun masih dalam fasa pengajian sekolah rendah, atau sekolah menengah sama ada harian mahupun asrama. Realiti ini menuntut agar Jabatan kebajikan Masyarakat bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan. Malah, Pelan Pembangunan Pendidikan Negara setebal 284 Muka surat itu haruslah mengambil kira faktor kebajikan murid juga.

Namun apa yang mengecewakan adalah respon yang diterima melalui Kementerian Pendidikan yang menyatakan tidak akan campur tangan dalam isu dakwaan penderaan seksual melibatkan sebuah sekolah agama kerana ia di bawah tanggungjawab kerajaan negeri[3]. Diakui bahawa Bahagian Pendidikan Daerah yang mengelola utus tadbir di peringkat negeri, namun apabila wujud krisis pencabulan sebegini, perlu kolaborasi nasional, di mana kerajaan persekutuan tampil dengan cadangan-cadangan solusi dan penambahbaikan.

Perlu ditimbulkan juga, sejauh mana guru-guru ini mempunyai kemahiran pedodogi dalam mengajar anak murid kerana sebahagian daripada mereka tidak diberi pendedahan dan latihan perguruan sebelum berkhidmat di sekolah. Setelah isu yang melibatkan dua orang tenaga pengajar dari sekolah persendirian ini, jelas menunjukkan wujud kelompongan sistem dalam saringan guru yang layak untuk mengajar.

Kajian meninjau persepsi kaedah amalan pengajaran tahfiz di Darul Quran JAKIM dan Maahad Tahfiz al-Quran negeri (MTQN) di Malaysia daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati bahawa daripada 103 guru tahfiz yang ditemubual, mereka yang mempunyai kelayakan Ikhtisas perguruan hanya seramai 15 orang (16.5%) dan 86 orang (83.5%) tidak mempunyai ikhtisas perguruan[6].

Namun demikian, perlu diingatkan agar kita tidak terlepas pandang daripada persoalan pokok apakah yang menjadi akar permasalahan isu tersebut. Ketidaksamarataan sistem pendidikan negara menyebabkan wujud isu yang melibatkan silibus mata pelajaran, guru yang tidak terlatih, fasiliti sekolah yang tidak mencapai standard serta akhirnya akan memangsakan pelajar itu sendiri

Jenayah terhadap kanak-kanak ini merupakan jenayah yang merentasi sempadan agama dan bangsa. Justeru semua pihak harus memainkan peranan agar isu yang dibangkitkan dapat diatasi dengan kadar segera.

Pertama, kementerian wajib merangka saluran komunikasi berkesan di mana mangsa yang telah terbabit dengan jenayah seksual dan pencabulan mampu merujuk ruang kaunseling sebagai saringan peringkat pertama yang efektif. Bahkan, perlu wujud inisiatif untuk mengenal pasti mana-mana murid yang menjadi mangsa agar tampil untuk memberikan kenyataan.

Kedua, Pihak Kementerian Pendidikan dengan Kerjasama Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu menyelaraskan Standing Operation Procedure (SOP) kepada setiap sekolah sama ada swasta atau di bawah kerajaan.

SOP ini perlu menetapkan kaedah yang efektif dalam mengambil tenaga pengajar berdasarkan kelayakan dan rekod yang bersih. Rekod tersebut juga perlulah dipastikan selari dengan Akta Kanak-Kanak (Pindaan 2015) dan dikuatkuasa berdasarkan akta terkini.

Ketiga, pihak NGO dan agensi berwajib perlu mempergiat advokasi yang melebarluas pendidikan perlindungan kanak-kanak agar tidak berlaku lagi isu yang sedemikian. Anak-anak kita perlu didedahkan dengan simptom-simptom ataupun gejala yang menunjukkan mereka dicabul oleh orang dewasa walaupun individu tersebut merupakan orang terdekat atau ahli keluarga.

Harapan saya agar semua pihak dapat menumpukan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta penambahbaikan sistem supaya menjadi lebih baik demi masa depan anak-anak kita. Kita tak punya banyak masa lagi untuk meremehkan isu sebesar ini. Perdana Menteri seharusnya giat dalam memastikan anak-anak kita terjaga kebajikan melalui sistem sedia ada, bukan hanya sibuk menukar menteri pendidikan setiap kali tidak selari dengan kehendak.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

[1]http://www.astroawani.com/berita-dunia/pedofil-richard-huckle-dijatuhi-hukuman-penjara-seumur-hidup-107404

[2]http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pencabulan-seks-di-maahad-tahfiz-penceramah-tersohor-disiasat

[3]http://www.astroawani.com/berita-malaysia/insiden-cabul-maahad-tahfiz-dalam-seliaan-negeri-kementerian-tidak-campur-tangan-mahdzir-115075

[4] http://wccpenang.org/penderaan-seksual-kanak-kanak/

[5]http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/pelajar-tahfiz-dakwa-3-kali-diliwat-guru-1.314007

[6] Azmil Hashim, Ab. Halim Tamuri, Misnan Jemali, Persepsi guru tahfiz terhadap amalan kaedah pengajaran tahfiz Al-Quran di Malaysia, International Journal of Islamic Studies and Arabic Language Education, Vol 2(1): 35-50

[7] Azmil Hashim, Ab. Halim Tamuri, Misnan Jemali, Persepsi guru tahfiz terhadap amalan kaedah pengajaran tahfiz Al-Quran di Malaysia, International Journal of Islamic Studies and Arabic Language Education, Vol 2(1): 35-50

[8] http://fkip.unismuh.ac.id/e-jurnal/index.php/nusantara/article/view/30