15390995_1277946202256344_2012082392665111994_n

Minggu lalu kita dikejutkan dengan keputusan pentadbiran Universiti Malaya dimana 4 mahasiswa: Anis Syafiqah Mohd Yusof, Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim dan Suhail Wan Azahar, didapati bersalah melanggar peraturan UM.

Tindakan ini jelas memperlihatkan demokrasi di Malaysia kian terhakis melalui rentetan peristiwa mahasiswa,aktivis politik,kartunis dan ahli parlimen yang disiasat, ditangkap dan didakwa kerana cuba bersuara mengenai isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat.

Anis Syafiqah dan rakan-rakannya pula telah dihadapkan ke mahkamah Universiti hanya kerana berjaya menghimpunkan rakyat Malaysia yang mendesak ‘Malaysian Official 1’ iaitu individu yang disiasat oleh Badan Kehakiman Amerika Syarikat berkaitan skandal 1MDB, ditangkap pada Ogos lalu di Ibu Negara.

Anis Syafiqah Mohd Yusof, Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim dan Suhail Wan Azahar, yang menggunakan #Malaya4 sebagai nama rasmi telah dibicarakan pada Rabu lalu dan diputuskan bersalah pada hari Jumaat.

Saya sesungguhnya mengkritik pertuduhan yang melabel mereka sebagai individu yang memalukan nama universiti disebabkan himpunan tersebut. Justifikasi bagaimana sekumpulan mahasiswa yang berani menganjurkan himpunan menuntut agar pihak berkuasa mengheret Malaysia Official No.1 dihadapkan ke muka pengadilan memalukan negara? Sebaliknya, Negara dimalukan apabila dana serta aset negara dirompak dan digunapakai membayar kos hidup serba mewah termasuk wang kalah judi Riza Aziz dan Jho Low, seperti allegasi Jabatan Kehakiman US.

Adakah pihak UM maklum bahawa mahasiswa #Malaya4 ini telah memenangi Anugerah Hak Asasi Manusia hasil dari himpunan tersebut?[2]

Jelaslah kejayaan mahasiswa #Malaya4 dalam mendepani rasuah ke peringkat arus perdana seharusnya diangkat sebagai kejayaan UM juga.

Justeru, saya menyeru agar pihak pentadbiran universiti menghentikan serta merta tindakan disiplin yang membantutkan gerak aktivisme mahasiswa di universiti. Bahkan, saya menyeru agar masyarakat turut tampil bersolidariti melalui 2 tuntutan:

1. Ahli akademik dan NGO agar tampil dengan kenyataan mendokong kebebasan akademik; mendesak pembersihan universiti daripada cengkaman kleptokrat ( kerajaan perompak).

Hak berhimpun rakyat Malaysia termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. Bukankah aksi mengejut DS Najib berdemo demi pertahan hak minoriti rohingya pelunasan hak ini?

2. Universiti Malaya serta merta menarik balik tindakan yang dikenakan terhadap mahasiswa #Malaya4. Jelas tiadanya panel bebas dalam prosiding yang melibatkan mahasiswa – yang kesemuanya dilihat menjadi Pak turut UMNO-BN.

Di dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini jelas kelihatan mahasiswa daripada pelbagai kampus secara jelas berpartisipasi dalam parti politik. Adakah mereka tidak dikenakan tindakan kerana menghadiahkan puji-pujian kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak? Ini bukti pendakwaan terpilih kerana Anis Syafiqah Mohd Yusof, Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim dan Suhail Wan Azahar, juga merupakan mahasiswa dan mereka berhak untuk menggalas hak kebebasan bersuara sebagai rakyat.

Tuntas, kelaziman pihak pentadbiran universiti yang berterusan menghakis kebebasan akademik harus dihentikan serta merta. Utamakan urus tadbir yang mengangkat nilai aktivisme dan intelektual murni seperti motto KPT #SoaringUpwards, dan bukannya bertindak cetek rasional dengan mengambil tindakan terhadap mahasiswa.

Bebaskan Universiti, Tangkap Kleptokrat.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN
[1] http://m.malaysiakini.com/news/349345

[2] http://m.malaysiakini.com/news/365643