website-header

Teman-teman yang dikasihi, para penyokong dan rakyat sekalian, dengan segunung harapan dan seteguh keyakinan ingin saya ucapkan salam tahun baru 2017.

Dalam masa kita melewati pengakhiran tahun 2016, tahun yang penuh dengan kesukaran dan penderitaan tidak kira di peringkat global dan domestik, saya mengimbas pepatah yang ditulis oleh negarawan Ireland iaitu Edmund Burke:

“Satu-satunya perkara yang akan menjayakan kekejian adalah apabila orang baik enggan melakukan apa-apa.”

Pepatah ini amat iras dengan ungkapan khalifah kedua umat Islam, Saidina Umar bin al-Khattab yang berkata, “Bukan kebijaksanaan itu dapat membezakan antara baik dan buruk, tetapi kebijaksanaan itu orang dapat memilih kebaikan antara dua kejahatan.”

Tahun 2017 bakal menyaksikan episod ketabahan rakyat nan berterusan, ketabahan yang memungkinkan kita untuk mengatasi segala rintangan demi mengejar erti kejayaan sebenar – Bersama Selamatkan Malaysia!

Pertama-tamanya, dalam jelas kelihatan beberapa kegagalan pentadbiran BN saya tetap panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T, Alhamdulillah atas nikmat dan kurnia-Nya, yang telah memberkati tanah air kita dengan kekuatan rakyat dan kaya dengan inspirasi. Lihat sahaja bagaimana pasukan perbahasan UIAM kita yang amat berkebolehan dan disegani kerana senantiasa muncul juara dalam pelbagai kejohanan di seantero dunia. Dalam arena seni pula, lagu yang dinyanyikan oleh artis Malaysia kita, Saudari Yuna, telah disenarai panjang untuk anugerah Lagu Terbaik di Oscar 2017. Tidak lupa juga, dalam arena Sukan Paralimpik, para atlet yang tanpa belah bahagi berjuang dan telah mencapai tahap baru apabila mereka berjaya merangkul tiga pingat emas dan satu gangsa. Rasa bangga dan teruja memenuhi ruang hati kita terutamanya apabila atlet-atlet kita telah berjaya memecahkan dua rekod dunia. Kesemua ini adalah manifestasi yang menjadi bukti bahawasanya Malaysia dan seisi rakyatnya adalah kuat dan masih banyak potensi yang mampu diterokai.

Namun sayang seribu kali sayang, apabila rakyat masih dihantui dengan dasar-dasar yang menindas dan zalim oleh kerajaan BN, meskipun tahun lalu telah banyak menampilkan cabaran besar bagi kita semua. Pentadbiran BN sentiasa menghantui rakyat dengan dasar-dasar yang zallim dan menindas. Sudah pasti, ia menampilkan cabaran besar bagi kita semua.

Impian hampir ribuan para pelajar cemerlang kita berkecai apabila kerajaan memungkiri janjinya untuk mendokong pengajian mereka yang cemerlang ke universiti-universiti terbaik di seluruh dunia. Bahkan lebih parah lagi apabila kerajaan UMNO-BN kelihatan amat terdesak dengan menggunapakai tipu muslihat persempadanan semula demi mengekalkan tampuk pemerintahan. Bahkan lebih parah lagi, demi mempertahankan kuasa untuk terus menjarah dana negara, kerajaan UMNO – BN kelihatan amat terdesak dengan menggunapakai manipulasi persempadanan semula.

Di arena antarabangsa pula, maruah Malaysia semakin tercemar ekoran perilaku para kleptokrat.

Pihak berkuasa antarabangsa kelihatan amat serius dalam usaha menyiasat dan menghukum mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB. Namun menyedihkan, badan kehakiman negara kita dilihat tidak berupaya untuk menyelamatkan rakyat dari kejahatan perompak/kleptokrat ini.

Dari sudut hak asasi manusia, Amnesty International, Human Rights Watch dan juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, telah mengutuk penahanan sewenang-wenangnya aktivis sosio-politik termasuklah Mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah. Jelas bahawa institusi hak asasi kita sendiri tidak mampu melindungi rakyat daripada ditindas.

Ini baru senarai pendek barisan penindasan Kerajaan BN dalam tahun 2016. Semua ini terjadi kerana Kerajaan BN memegang tampuk kekusaan bertahun-tahun lamanya.

Justeru, demi memastikan masa depan anak-anak dan generasi kita cerah dan selamat, sewajibnya kita berganding bahu untuk selamatkan Malaysia dari cengkaman perompak-perompak negara ini. Ingatlah, masa depan berada di tangan kita, bukan di tangan mereka.

Rakyat meletakkan pengharapan besar kepada kami dalam mengutamakan negara melebihi kesengsaraan peribadi. Atas roh dan semangat pengharapan ini, saya setia menjunjung aspirasi rakyat.

Atas roh dan semangat itu, kami yakin bahawa kami mampu untuk bekerjasama bersama-sama parti-parti pembangkang lainnya – dengan satu cita-cita, iaitu mahu memastikan negara ini selamat dari kejahatan kleptokrat dan mahu melihat rakyat berada dalam kebaikan menerusi pelunasan agenda Reformasi.

Keyakinan ini semakin bertambah, apabila September lalu memperlihatkan satu sejarah besar, iaitu dua ikon dan figura politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir berjabat tangan. Ia tidak berlaku kecuali mahu memastikan negara ini selamat dari pentadbiran korup Dato’ Sri Najib Razak. Dengan gabungan dua tokoh besar ini, menambah keyakinan kami untuk memaksimakan peranan barisan pembangkang.

Ketika mana musim pilihan raya makin menghampiri, tidak pernah timbul keraguan dalam sanubari saya bahawa tahun 2017 akan menjadi tahun yang penuh dengan perubahan, yang walaupun positif, tetapi ranjau dan cabaran yang dilalui akan kekal ada. Namun demikian, ini bukanlah masanya untuk kita berputus asa. Ketika kita menggariskan azam-azam baharu yang membentuk kejayaan peribadi, adalah penting untuk kita memastikan matlamat peribadi kita terikat kukuh dalam rantaian azam untuk menyelamatkan negara. Sudah lumrah, sebarang usaha melawan regim berhadapan dengan pelbagai rintangan. Ia tidak menjadikan saya gusar dan lemah samangat walaupun sekelumit dalam usaha memastikan tahun 2017 adalah tahun perubahan pada politik negara, tahun negara ini terselamat dari kejahatan kleptokrat, malahan tahun negara ini yang rakyatnya terbela. Ini azam kami, dan kami yakin rakyat bersama dengan azam kami.

Mohon tanamkan pesanan ini:

  • Daftar Undi! – Setiap undi anda adalah amat berharga, jadi daftarlah sebagai pengundi di mana-mana pejabat pos minggu ini. Bawa juga rakan-rakan dan keluarga anda yang masih belum mendaftar. Diakui, keputusan pilihan raya di peringkat antarabangsa yang mengecewakan baru-baru ini adalah disebabkan kadar pengundian yang rendah, terutamanya dalam kalangan belia.
  • Sertailah MyChangemakers – Mainkan peranan yang lebih aktif dalam proses pilihan raya dengan menyertai MyChangemakers, inisiatif bawah KEADILAN yang memberikan tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya di http://mychangemakers.org/. Badan ini telah beroperasi sejak Pilihan Raya Negeri Sarawak lagi. Selain mengundi, anda boleh mengambil bahagian dalam proses pilihan raya yang merangkumi khidmat masyarakat, pengedaran bahan penerangan dan aktiviti turun padang.

Sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai, saya juga tidak akan jemu menyuarakan segala kebimbangan yang membelenggu pengundi saya kepada pihak berkuasa. Berupaya terus bersuara selaku penimbang tara dasar bobrok kerajaan dan menentang undang-undang zalim, serta menyokong penuh pembaharuan melalui wadah demokrasi. Saya yakin dan percaya bahawa seandainya kita bekerjasama dan berganding bahu dengan harapan untuk melahirkan Malaysia yang lebih baik, serta terus menerus memperingatkan kerajaan pemerintah di Putrajaya agar bertindak secara telus kepada semua rakyat Malaysia, pasti kita mampu mewujudkan Malaysia yang inklusif yang mengangkat semangat Perlembagaan Persekutuan yang sebenar.

#BersamaSelamatkanMalaysia
#MasaDepanMasaKita

NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN