Kenyataan Media: Kerajaan Wajar Serius Atasi Sebarang Tunas-Tunas Keganasan/Terrorisme

 

Saya meragui kesungguhan kerajaan dalam menangani sebarang perkembangan dan pertumbuhan gerakan keganasan/terorisme. Terutamanya apabila pihak kerajaan gagal memberi jawapan terhadap persoalan yang saya bangkitkan pada minggu ini.

Saya membangkitkan tiga perkara, yang hanya dua sahaja dijawab, sedangkan kita ternanti respon berkait ancaman terorisme;

Saya meragui apabila pihak kerajaan kelihatan mengelak daripada menjawab soalan saya yang ketiga; iaitu kerajaan patut menjelaskan usaha yang dijalankan untuk mengelakkan ancaman keganasan oleh segelintir etnik Rohingya yang dipengaruhi ideologi Ekstremisme.

Saya kira, kerajaan tidak boleh anggap mudah dan memandang remeh dalam isu ini, terutama kini lahir gerakan Daesh di timur tengah yang dari sudut peratusan, didapati lebih 6 kali ganda perkapita Muslim di Malaysia terlibat berbanding Indonesia. Sebagai sebuah negara yang rakyatnya terdiri dari rencam kepelbagaian bangsa dan agama, tanpa melibatkan permainan isu agama dan kaum dari pihak tertentu, saya pasti peratusan rakyat Malaysia sewajarnya lebih rendah terlibat dengan Daesh berbanding Indonesia. Namun realitinya adalah sebaliknya.

Keraguan terhadap kesungguhan kerajaan ini pasti tidak akan timbul, jika kerajaan mengambil ”cakna” terhadap perkembangan yang melibatkan etnik Rohingya; iaitu selain lahirnya kumpulan militan Rohingya Solidarity Organisation, lahir pula kumpulan pemberontak Rohingya baru bernama Harakah al-Yakin (HaY) yang ditubuhkan di Kawasan Rakhine. Malahan menurut laporan kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), HaY mempunyai jalinan dengan pertubuhan-pertubuhan bersenjata seperti Taliban.

Menurut laporan lagi, didapati HaY telah menyeru Etnik Rohingya di luar Myanmar untuk menyertai mereka, malahan mendesak sebilangan agamawan agar mengeluarkan fatwa untuk menjustifikasi terhadap gerakan keganasan mereka.

Saya berharap kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan mampu menghilangkan keraguan rakyat, lebih-lebih lagi menerusi jawapan dan respon yang memuaskan.

Hal ini kerana, rata-rata rakyat Malaysia mengetahui bahawa etnik Rohingya yang menetap di Malaysia seramai 56,135 di bawah panji Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa bersatu bagi pelarian (UNHCR). Ternyata, tanpa jawapan dan respon yang memuaskan, saya bimbang ia akan melahirkan keraguan rakyat terhadap kerajaan dalam menampilkan keamanan negara untuk masa akan datang.

Ingin saya tegaskan, krisis Rohingya ada dua perkara penting yang perlu difikirkan;

A. Isu tindakan tidak berperikemanusiaan dari pihak kerajaan Myanmar yang semua kita bersatu hati menentangnya.

B. Kebimbangan kelemahan dalam atasi isu ini memberikan implikasi tidak sihat, iaitu kelahiran gerakan keganasan antarabangsa; bermula dari Rakhine, dibimbangi merebak ke dunia, termasuk ke negara kita.

Saya kira, pihak kerajaan tidak boleh memandang remeh pada kelahiran gerakan keganasan ini. Justeru, sebagai kerajaan perkara ini lebih diutamakan dalam isu Rohingya, bukan melakukan tindakan yang badan-badan NGO sahaja boleh laksanakan, seperti memberi bantuan kemanusiaan.

Kerajaan wajar memberi kepercayaan penuh kepada NGO-NGO kemanusiaan ini dalam melaksanakan tugas kemanusiaan ini, bukannya melaksanakan tugasan mereka seakan-akan tidak mempercayai kemampuan pihak NGO ini dalam melaksanakan tugasan kemanusiaan.

Kerajaan jua perlu melaksanakan sebarang tindakan yang benar-benar efektif dan berfokus, seperti menjadi peneraju untuk membawa isu Rohingya ke peringkat antarabangsa terutama dalam kerangka ASEAN, OIC, malahan PBB.

Sekiranya kerajaan berjaya melaksanakan langkah ini, bukan sekadar keraguaan rakyat terhadap kerajaan berjaya dihilangkan, malahan ia akan melakar nama Malaysia yang cemerlang di mata antarabangsa.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihanraya KEADILAN