1. Gejala ketagihan dadah amat membimbangkan. Malahan, sesebuah kerajaan sanggup habiskan sebanyak RM308.9 juta buat tahun 2017 hanya untuk Agensi Anti-dadah Kebangsaan — mahu memastikan gejala ketagihan dadah dihapuskan. Sebenarnya, gejala ketagihan jenayah rasuah jauh lebih berbahaya buat negara.

2. Ini kerana, ketagihan dadah berbahaya kepada individu penagih dan adakalanya memberi kesan kepada masyarakat, sedangkan Ketagihan jenayah rasuah, bukan sekadar merosakkan masyarakat, malahan masa depan negara dan rakyat. Lebih-lebih lagi, jika ketagihan itu berlaku pada ”orang-orang besar” dalam kerajaan sehingga di peringkat tertinggi. Contohnya Perdana Menteri Najib.

3. Ketagihan jenayah rasuah ini juga amat kelihatan, apabila Najib sendiri sebuk membelanjakan dana rakyat dengan projek penjenamaan terbarunya, iaitu Transformasi Nasional 50 (TN50) untuk difokuskan PRU akan datang.

YANG LANTANG MENGECAM JENAYAH RASUAH TELAH DIDAKWA DAN DITAHAN

4. Orang ketagihan jenayah rasuah sebarang usaha untuk hapuskan amalan rasuah pasti diserang habis-habisan; sama ada menangkap, memenjarakan, memfitnah.

5. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan tokoh sejak dalam kerajaan sehingga kini amat konsisten melawan penyelewengan dana negara ini telah dimusuhi sehingga beliau dipenjarakan tanpa berjaya diberikan bukti yang dipercayai.

6. Penahanan Anwar Ibrahim tidak patut berlaku, malahan, tidak wajar diteruskan. Pada 15 September 2015, “the UN Working Group on Arbitrary Detention”, menegaskan bahawa penahanan Anwar Ibrahim adalah tidak sah dan menggesa pembebasan beliau. Sebagai negara anggota PBB, Malaysia mempunyai tanggungjawab moral untuk menghormati dapatan mutlak badan PBB.

7. Mengikut Seksyen 43 di bawah Akta Penjara 1995, Menteri Dalam Negeri berupaya untuk menggubal peraturan, dan Komisioner Jeneral Penjara pula mempunyai kuasa untuk melepaskan mana-mana orang yang menjalani hukuman penjara secara lesen dan atas syarat-syarat yang dinyatakan dalam lesen.

8. Justeru, saya akan membawa usul tergempar mengikut peraturan mesyuarat 18(1) dan 18(2) untuk meminta Menteri Dalam Negeri menjawab persoalan tentang pembebasan DSAI mengikut Seksyen 43 di bawah Akta Penjara 1995.

PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DAN MODAL INSAN KESIHATAN; JANGAN DIHIRAUKAN

9. Peruntukan pembangunan Kementerian Kesihatan telah menurun kepada RM1.3 bilion dalam 2017, iaitu tahap paling rendah sejak 2013. Ternyata, penyusutan peruntukan pembangunan akan membawa impak negatif terhadap penambah baikkan infrastuktur ke atas hospital, maka penempatan untuk graduan perubatan juga semakin samar dan kabur. Kini, kita mempunyai seramai 46,491 doktor di hospital awam dan swasta; iaitu nisbah doktor kepada populasi sebanyak 1:656.

10. Rancangan Malaysia Ke-11 menetapkan nisbah 1:400 yang bermakna sasaran seramai 75,000 doktor menjelang 2020. Justeru sekurang-kurangnya 28,905 doktor baru diperlukan dalam masa 4 tahun, ataupun 7,227 doktor baru setahun.

11. Namun, hanya sebanyak 5,000 graduan perubatan diterima untuk menjalani latihan setahun, dan seorang daripada lima dijangka berhenti. Justeru, tambahan 4,000 setahun hanya separuh daripada jumlah doktor-doktor yang diperlukan.

12. Masalah ini boleh berubah baik sekiranya kerajaan meningkatkan peruntukan pembangunan Kementerian Kesihatan demi menyediakan hospital latihan yang mencukupi. Hal ini akan memendekkan tempoh graduan perubatan menunggu untuk menjalani ‘housemanship’, sementara meningkatkan bilangan doktor.

13. Namun, disebabkan Ketagihan jenayah rasuah, timbullah persoalan sama ada kos pembinaan hospital-hospital ini sengaja dilambung tinggi. Kerajaan kita ketagih kronisme dengan menghulurkan kontrak bernilai kepada Konsortium George Kent (M) Bhd membina TIGA buah hospital yang mempunyai kos pembinaan melampau. Projek-projek ini menimbulkan syak wasangka. Pertamanya, syarikat George Kent pernah terbabit dalam skandal pemanjangan jajaran LRT Ampang apabila tiba-tiba mengambil alih Konsortium Balfour-Beatty yang pada mulanya dinilai sebagai pembida terbaik. Keduanya, PEMILIK George Kent ialah rakan karib Najib yang sering bermain golf bersama.

HOSPITAL-HOSPITAL DIBINA GEORGE KENT

Hospital Endokrin di Putrajaya
Kos Pembinaan: RM364.9 juta
Jumlah katil: 220 katil
Kos pembinaan bersamaan dengan 1 katil: RM1.66 juta

Hospital Tanjung Karang
Kos pembinaan RM277.2 juta
Jumlah katil: 150 katil
Kos pembinaan bersamaan dengan 1 katil: RM1.85 juta

14. Sebagai perbandingan, Hospital KPJ Kuching mempunyai 150 katil dan dibina pada kos RM130 juta. Kos setiap katil hanya RM866,666 — separuh daripada kos-kos pembinaan hospital oleh George Kent. Inilah akibatnya jika kerajaan tidak telus, risiko rasuah ditingkatkan dan kepentingan rakyat tidak dihirau.

PENDIDIKAN TINGGI DI MALAYSIA; JANGAN DIJUAL

15. Kerajaan mengungkap TN50 di bibir sebagai inisiatif baru buat orang yang inovatif tetapi kerajaan sendirilah yang memotong dana pendidikan. Tindakan kerajaan Najib amat kontradik kerana dana pendidikan bagi tahun 2017 telah dikurangkan menjadi RM6.12 bilion; jika dibandingkan tahun 2016 sebanyak RM7.57 Bilion.

16. Semakin tahun pelaburan untuk pembangunan modal insan menyusut, semakin terhakis nilai manusiawi yang patut dipupuk.

17. Saya khuatir bahawa antara universiti-universiti yang terunggul kita, seperti Universiti Malaya akan dikompromi. Pengambilan pelajar di UM bertambah 6.3% dari tahun 2011 sehingga 2015, tetapi kakitangan universiti semakin berkurangan! Kakitangan akademik telah menurun sebanyak 11.63%, manakala kakitangan bukan akademik telah menurun sebanyak 7.66%.

18. Maka, beban kerja yang sedia ada akan ditanggung oleh saiz kakitangan yang lebih kecil. Bukan sahaja kepuasan kerja dan prestasi kerja dalam kalangan kakitangan terjejas teruk, malah nisbah staf akademik kepada pelajar yang diperkecil akan membawa kesan buruk kepada status akademik negara ini.

19. Ekoran pemotongan dana pendidikan, kualiti penyelidikan juga terjejas. Belum sempat universiti awam di Malaysia meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan secara konsisten, kerajaan Najib mengaut ‘keuntungan’ dengan mengenakan GST kepada geran penyelidikan, selain memotong dana universiti.

20. Kemudian, para akademik pula tidak dapat membuat rayuan peruntukan dana untuk kali kedua sekiranya geran penyelidikan ditolak pada mulanya. Berbeza dengan universiti terbaik dunia seperti Australia yang mempunyai ruang permohonan untuk meneruskan geran penyelidikan kali kedua. Maka, tidak hairanlah kerajaan Malaysia menjadikan geran penyelidikan sebagai satu komoditi perniagaan, mementingkan kuantiti daripada kualiti.

21. Ini terbukti apabila OECD dalam Ulasan Dasar Inovasi 2016 berkata bahawa Malaysia hanya menduduki tempat 136 daripada 147 negara pada jumlah petikan, rujukan dengan penerbitan, walaupun berada di kedudukan ke-45 dan ke-50 kepada bilangan penerbitan dan petikan dari 2001 hingga 2011.

22. Saya khuatir bahawa apabila kerajaan terburu-buru dalam mengejar penjimatan dana, sasaran peningkatan prestasi — tidak kira dalam pembangunan staf akademik, hasil penerbitan, bilangan sitasi, bilangan paten, ataupun ranking universiti — tidak akan tercapai.

23. Pada jangka masa panjang, pemotongan belanjawan institusi pengajian juga membawa impak negatif. Khususnya, kadar pengangguran belia pada tahun 2015 untuk mereka yang berumur antara 20 dan 24 tahun adalah setinggi 9.3% iaitu, tiga kali ganda kadar pengangguran negara pada 3.2%. Kadar pengangguran ini kian meningkat. Setakat February 2016, Malaysia mempunyai seramai 200,000 pemegang ijazah institusi pengajian tinggi yang menganggur.

KETAGIHAN JENAYAH RASUAH JUGA MEREBAK KEPADA SISTEM PILIHANRAYA NEGARA KITA

24. Atas sebab-sebab di atas, saya percaya, rakyat akan menolak kerajaan yang gagal memerangi jenayah rasuah yang kian berleluasa dan menjadikan pendidikan dan kesihatan mangsa pemotongan belanjawan negara.

25. Namun, penguasa sekali lagi bakal memanipulasi persempadanan semula untuk menghantar wakil kleptokrat ke Parlimen. Keterdesakan SPR sehingga terpaksa mengeluarkan notis syor-syor persempadanan semula tanpa meletakkan Selangor dalam notis yang dipampangkan di dada-dada akhbar pada 8 Mac 2017. Notis ini bercanggah dengan Perkara 113 (6) di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menekankan bahawa persempadanan ini diuruskan dalam satu unit negeri Tanah Melayu dan bagi setiap negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

26. Tambahan pula, menerusi proses belah bahagi SPR, lebih 150 ribu pengundi akan sesat dalam proses membuang undi kerana telah dialih kepada DUN dan Parlimen lain tanpa diberitahu.

27. Kita tidak ada pilihan lain selain daripada mendesak agar Pilihanraya Malaysia dipantau oleh Commonwealth Observer Group. Kalau di negara seperti Maldives boleh sahaja di ini pantau pada 2013, dipimpin oleh Mantan Presiden Malta, Dr. Lawrence Gonzi, kenapa tidak Malaysia? KEADILAN mengajak semua ahli parlimen untuk menjemput pemantau pilihanraya komanwel supaya PM Najib boleh buktikan bahawa PRU masa depan adalah bersih. Berani kerana benar.

28. Untuk menghalang kerajaan yang ketagih rasuah dan ketirisan, serta gagal mentadbir urus negara , saya mendesak agar 4.2 juta rakyat yang tidak berdaftar sebagai pengundi, khususnya anak muda untuk segera daftar. Bersama Selamatkan Malaysia.

29. Masa Depan Rakyat dan Anak Muda Bukan Terletak Pada TN 50, tetapi ia terletak kepada undi yang mempunyai nilai untuk memilih kerajaan yang lebih baik demi masa hadapan anak bangsa Malaysia.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN