Pendidikan amat penting bagi negara seperti Malaysia malah kajian demi kajian seperti ‘Kajian Mobiliti Sosio-Ekonomi di Malaysia’ oleh Khazanah Research Institute pada 2016 membuktikan wujud peningkatan dalam sosio-ekonomi masyarakat di negara ini kerana adanya akses kepada pendidikan berkualiti.

Malah kami di Parti KEADILAN Rakyat sudahpun memulakan usaha bagi merintis jalan untuk menyediakan peluang pendidikan percuma kepada semua rakyat yang layak, terutamanya golongan Bumiputera dan yang terpinggir.

Bagaimanapun, saya bimbang pendekatan yang diambil kerajaan untuk mempolitikkan isu pendidikan bukan sahaja sebagai satu langkah kebelakang malah mengalih perhatian rakyat terhadap isu sebenar yang membelenggu institusi pendidikan kita, termasuklah isu pemotongan peruntukkan kepada universiti dan program biasiswa.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan program bantuan biasiswa kepada golongan Bumiputera dan Orang Asli melalui Program Biasiswa Bumiputera di 55 kawasan Parlimen. Semasa berucap, Najib mendakwa kerajaan Pakatan Harapan akan menghentikan semua program biasiswa seperti ini sekiranya mendapat mandat rakyat untuk menubuhkan kerajaan. Najib juga menuduh Pakatan Harapan akan membatalkan semua program berkaitan pendidikan Bumiputera apabila mendapat mandat kelak.

Dakwaan ini jelas berniat jahat dan dibuat tanpa merujuk kejayaan kami di negeri-negeri pimpinan Pakatan Harapan terhadap usaha memaju dan meluaskan akses pendidikan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya anak-anak Bumiputera daripada keluarga yang memerlukan.

Hakikatnya, Najib semasa membentangkan Belanjawan 2017 tahun lepas telah mengumumkan pemotongan peruntukan untuk universiti-universiti awam berjumlah RM1.5 bilion tetapi kelmarin mendabik dada sebagai pejuang pendidikan Bumiputera. Sekiranya benar Najib ikhlas memperjuangkan pendidikan Bumiputera tidak beliau selaku Menteri Kewangan akan memotong satu sen pun peruntukan untuk universiti awam!

Saya juga bingung bagaimana kerajaan yang dipimpin individu yang mengangkat diri sebagai peneraju pendidikan Bumiputera ini juga bertanggungjawab untuk menghadkan peruntukan biasiswa Mara dan JPA?

Situasi ini jelas membuktikan Najib hanya ‘cakap tak serupa bikin’ dalam hal pendidikan Bumiputera dan pelajar miskin!

Ternyata, Najib begitu terdesak sehingga terpaksa mengunakan platform perasmian program pendidikan yang dihadiri oleh ramai pelajar di bawah umur mengundi ini untuk menakut-nakutkan mereka dengan menuduh Pakatan Harapan dikuasai DAP walhal semua mengetahui bahawa Pakatan Harapan dipimpin secara konsesus oleh semua parti komponen, yang mewakili setiap suara dalam masyarakat. Juga yang pasti, Pakatan Harapan punyai ramai pemimpin Melayu yang jauh lebih bermaruah, tidak cakap kosong dan tiada terpalit skandal rasuah seperti Najib.

Saya percaya, sekiranya ketirisan dalam tadbir urus kerajaan dapat kita akhiri, Malaysia akan mampu menyediakan peluang pendidikan percuma kepada lebih ramai pelajar yang layak dan memerlukan. Malah impian rakyat Malaysia untuk menyediakan akses pendidikan secara percuma kepada semua seperti di negara Eropah akan semakin menjadi nyata.

Saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk bayangkan, sekiranya dana yang diperuntukkan untuk menyelamatkan 1MDB digunakan untuk membiayai pendidikan pelajar yang layak tetapi gagal memperoleh tajaan Mara dan JPA, tidakkah langkah itu lebih mulia?

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN