KEADILAN Terus Berjuang Untuk Hadapi Kemungkinan Pilihanraya Yang Paling Kotor Dalam Sejarah

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mula mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku pertama. Salinan senarai ini sebelum ini dikongsikan kepada parti-parti politik namun kini hanya dipertontonkan di lokasi-lokasi awam seperti ini antara 9 Mei 2017 hingga 22 Mei 2017 dan melibatkan 960 tapak pameran seluruh negara.

Nah, terbukti hampir mustahil bagi petugas-petugas parti untuk menyemak satu demi satu nama pemilih yang terkandung dalam RDPT. Ternyata langkah SPR ini bukan sahaja menghadkan, menyukarkan proses semakan ini daripada dilaksanakan seakan melaksana strategi UMNO-BN!

Untuk makluman angka permohonan bagi rang suku 1/2017 adalah antara permohonan yang tertinggi iaitu sebanyak 326,905 permohonan. Sebanyak 242,691 pemilih baru, manakala 84,214 menukar alamat.

Sebagai contoh hanya ada empat salinan diperagakan di seluruh kawasan Parlimen, Lembah Pantai. Saya masih kurang pasti samada setiap lokasi menunjukkan data pemilih yang sama atau tidak.

Adakah SPR mahu sukarelawan-sukarelawan parti berdiri sepanjang hari dan menyemak nama-nama pengundi yang tersenarai di sini secara manual? Haruskah kami pindahkan kerusi meja untuk memudahkan sukarelawan-sukarelawan kami membuat semakan?

RDPT mengandungi senarai daftar pemilih terkini yang sebelum ini diedarkan SPR kepada semua parti politik setiap suku tahun dan ia memudahkan kami membuat semakan. Bagi kami di Parti KEADILAN Rakyat, proses semakan senarai daftar pemilih ini penting bagi memastikan senarai yang dikeluarkan SPR bersih dari sebarang perkara yang meragukan atau penipuan. Sebagai contoh, ia merupakan salah satu cara kami untuk mengenal pasti sekiranya wujud pengundi ‘hantu’ di sesebuah kawasan.

Proses semakan yang kami lakukan sebelum ini dibuat secara teliti, satu demi satu nama pemilih disemak kesahihannya.

Namun arahan terbaru SPR ini bermakna kami hanya boleh melihat senarai terbabit di lokasi tertentu sahaja. Ini bermakna proses semakan terperinci yang selalunya dibuat di peringkat parti hampir mustahil dilaksanakan. Ini menyebabkan kami sukar untuk mengesan sekiranya ada penipuan dalam senarai berkenaan.

Saya khuatir tindakan SPR ini mendekatkan lagi demokrasi di negara kita kepada penipuan. Ia menyukarkan ketelusan dalam proses demokrasi dicapai.

Apapun, kami akan terus mempersiapkan petugas-petugas kami terhadap sebarang kemungkinan penipuan pilihan raya. Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar membantu kami membuat semakan ke atas senarai daftar pemilih dan kenal pasti pengundi-pengundi hantu yang mungkin dibawa masuk BN dalam senarai daftar pemilih kali ini.

Taktik kotor ini akan sama-sama kita lawan! Jangan relakan penipuan SPR demi memenangkan UMNO-BN !

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN