Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui zaman kerajaan tahu segalanya sudah berakhir. Ternyata kenyataan ini hanya retorik politik dan dilaungkah untuk meraih popular, kerana hakikatnya mulut para mahasiswa dan cerdik pandai negara kini ditutup rapi sang pemerintah.

Laporan Sin Chew Daily, yang dipetik The Star memaklumkan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Zainal Rahim Seman mengesahkan JPA akan menarik balik tajaannya daripada mana-mana penerima yang menegur kerajaan.

Ia turut melibatkan teguran yang disifatkan ‘mencemarkan imej negara’ yang diletakkan dalam media sosial dan blog.

Biasiswa adalah dana yang diperoleh menerusi hasil negara, yang turut melibatkan hasil cukai yang dibayar rakyat kepada kerajaan. Ia adalah hak kepada pelajar yang layak. Keputusan ini menidakkan hak pelajar-pelajar pintar negara yang tentunya bersifat kritis, analitikal dan cakna kepada persekitaran mereka.

Tidakkah kita mahu generasi pemimpin seterusnya mempunyai sifat-sifat kritis dan analitikal? Bukankah sifat ini diterapkan lagi sejak awal persekolahan?

Atau kita mahu generasi kepimpinan seterusnya hanya menjadi pak dunggu dan pak turut, hanya menuruti semua perintah tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat dan negara?

Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengingatkan kita bahawa usaha ke arah memperkasa budaya keintelektualan bukannya menerusi fokus terhadap pendidikan di kuliah semata-mata. Ia juga harus berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual.

Jelas keputusan JPA ini mengulangi kezaliman Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Auku yang bertujuan menakut-nakut dan sebagai langkah mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.

Tidak usahlah kerajaan terus bersandiwara kononnya cuba mendengarkan pendapat orang muda dalam usaha membentuk TN50 sekiranya hakikatnya suara golongan mahasiswa disekat.

Sesungguhnya imej negara sudah teruk tercemar dengan skandal rasuah jutaan ringgit 1MDB dan penglibatan anakanda pemimpin nombor satu negara yang kini menjadi berita utama dada akhbar antarabangsa.

Jelas, kerajaan Najib langsung tidak boleh dikritik dan ditegur! Ini merupakan satu bentuk kuku besi yang hanya diamalkan di negara autokratik seperti Korea Utara. Jadi apa beza Najib dengan Kim Jong Un?

#BersamaSelamatkanMalaysia
#DemiRakyat

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN