KENYATAAN MEDIA
7 JUN 2017

Penangguhan Pelaksanaan Persempadanan Semula Bukan Satu Usaha Bersihkan Pilihanraya

Pengerusi Suruhan Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah memaklumkan bahawa pilihan raya umum ke-14 mungkin akan mengunakan sempadan pilihan raya sedia ada dan bukannya sempadan pilihan raya yang baru seperti mana yang dicadangkan pada September 2016.

Dari awal lagi, kami konsisten menyatakan bahawa persempadanan semula ini adalah muslihat kotor SPR menghalalkan penipuan pilihan raya. Saya ingin ingatkan kepada semua, di samping persempadanan semula yang tidak adil, SPR banyak mempergunakan taktik kotor lain yang kini semakin kerap berlaku di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

1. PERSEMPADANAN SEMULA TIDAK PERNAH ADIL DALAM SEJARAH SPR

Rajah 1: Wujud ketidaksamarataan dalam kerusi yang dimenangi BN dan jumlah undi popular

Pada setiap pilihan raya dalam Malaysia, peratus undi yang BN perolehi lebih kecil berbanding kerusi yang mereka menangi. Justeru, jelas kita lihat walaupun persempadanan baru mungkin tidak dilaksanakan, persempadanan sedia ada oleh SPR masih memihak kepada BN. Jikalaupun bantahan persempadanan semula diterima, ia masih tidak dapat mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dan bersih – sebagai simbol demokrasi yang sihat buat Malaysia.

2. BELAH BAHAGI YANG MENUKAR PENGUNDI KEPADA KAWASAN LAIN TANPA KEBENARAN PENGUNDI

SPR telah menyalahgunakan proses belah bahagi untuk menukar pengundi kepada kawasan lain – baik ke kawasan parlimen yang baru ataupun kawasan DUN yang baru – tanpa mendapatkan kebenaran dan memberitahu pengundi yang terjejas. Sebagai contoh, SPR telah menguruskan proses belah bahagi pada April 2016 dengan memindah 118,774 pengundi DUN dan 40,000 pengundi parlimen ke kawasan baru tanpa pengetahuan mereka, meskipun alamat mereka tidak pernah berubah.

3. PENOLAKAN 8 RIBU PENGUNDI BARU DARIPADA PENDAFTARAN DI DALAM DAFTAR PEMILIH

Pada tahun 2016, SPR telah menolak 8,286 pengundi baru tanpa memberikan alasan yang munasabah. Daripada jumlah tersebut, 88.1% permohonan yang ditolak adalah dari negeri Selangor, salah satu negeri di bawah pimpinan pihak pembangkang. Lebih mengejutkan lagi ialah penemuan hampir 99% daripada pengundi-pengundi Selangor yang telah berdaftar dan dibuang nama ini adalah berbangsa Cina.

4. KEMASUKAN 28,000 PENGUNDI POS SECARA TIBA-TIBA

Pada hujung bulan Mei, wujud penambahan luar biasa 28,416 pengundi dalam Senarai Semakan Tuntutan RDPT S1/2017. Kesemua pengundi ini merupakan anggota tentera dan pasangan mereka berdasarkan lokaliti yang didaftarkan. Pengundi-pengundi ini telah dimasukkan melalui pintu belakang kerana telah mendaftar melalui proses ‘tuntutan’, yang disediakan hanya untuk pemohon baru yang mendapati nama mereka tidak dikemaskini ke dalam RDPT atau kemaskini yang dimasukkan tidak tepat. Kami membantah tindakan ini kerana percaya penambahan nama ini dibuat bagi menjejaskan integriti pilihan raya.

5. HAK AKSES PARTI POLITIK KEPADA RANG DAFTAR PEMILIH DIKOMPROMI

Keputusan tidak bertanggungjawab Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah untuk tidak mengeluarkan salinan digital RDPT kepada parti politik merupakan satu penganiayaan oleh SPR. Ketiadaan salinan digital RDPT menyukarkan parti-parti politik menyemak permohonan yang telah dibuat tetapi tidak dimasukkan dalam RDPT. Selain itu, parti-parti politik tidak dapat menyemak ataupun mengenali demografi pengundi-pengundi secara terperinci kerana alamat yang dipamerkan dalam RDPT bercetak tidak lengkap.

Kemungkinan penangguhan persempadanan semula tidak akan memulangkan keadilan kepada sistem demokrasi Malaysia. Jika benar Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah ingin menarik balik persempadanan semula 2016 atas sebab kes-kes mahkamah sedang berlangsung, terdapat banyak lagi kesalahan pilihan raya yang wajib diperbetulkan. SPR bertanggungjawab melaksanakan 22 tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya pada tahun 2012.