Kes ‘Kehilangan’ Radar Berteknolgi Tinggi yang dilaporkan di muka hadapan The Star mengundang satu lagi persoalan yang harus diteliti dan dijawab pihak berwajib.

Walaupun peralatan terbabit sebenarnya sudah sampai ke destinasinya di Belanda, kami di pihak KEADILAN amat bimbang apabila ada kuasa luar yang seolah-oleh mempergunakan Malaysia tujuan tertentu yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam dalam kenyataanya memaklumkan radar berkenaan sudah sampai ke destitasi sepatutnya iaitu Pelabuhan Rotterdam, Belanda dan siasatan yang dijalankan JKDM s menjurus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah akta Pemerdagangan Strategik 2010.

Adakah ini bermakna peralatan terbabit masuk ke negara ini tanpa permit yang diperlukan? Apakah kandungan siasatan berkenaan dan apakah hasilnya? Bagaimanakah peralatan ini keluar dari negara kita tanpa disedari atau tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa?

Sehingga kini kita belum jelas apakah peralatan berteknologi tinggi yang dimaksudkan itu. Kita juga belum jelas apakah fungsi dan kemampuan sebenar peralatan itu.

Saya khuatir, kealpaan pihak berkuasa negara ini untuk bertindak membuka jalan berulangannya serangan kimia Nerve Agent VX di KLIA2 tidak lama dahulu.

Kegagalan pihak berkuasa untuk mengesan senjata yang merupakan bahan kimia yang paling berbahaya di dunia dan dikategorikan sebagai ‘senjata pemusnah besar-besaran itu’ ternyata meletakkan ribuan penumpang KLIA2 dalam bahaya.

Oleh itu, saya mengulangi desakan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi bidang Pertahanan.
Parlimen seharusnya menjadi medan membincangkan isu pertahanan negara yang menjadi keprihatinan semua Ahli Dewan Rakyat tanpa menjejaskan kesiapsagaan negara berdepan sebarang kemungkinan.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen, Lembah Pantai
Naib Presiden & Pengarah Pilihanraya Bersama, Parti Keadilan Rakyat