KENYATAAN MEDIA

Kepimpinan KEADILAN Menggembleng Tenaga Untuk Kesejahteraan Masyarakat Malaysia.

Pelbagai laporan dapat dibaca pada minggu ini, khususnya berhubung perbincangan dalaman dan perkembangan terkini KEADILAN.

Saya sudah tentu amat menghargai semangat demokrasi yang utuh dan perdebatan sihat yang berlangsung dalam KEADILAN.

Ia memperingatkan saya tentang tujuan asal saya menyertai sebuah parti yang komited kepada agenda reformasi demi menegakkan pentadbiran berteraskan keadilan sedari 1999 lagi.

Saya turut berterima kasih kepada yang memberi nasihat tentang kepentingan berpegang pada prinsip asal parti. Saya mempunyai keyakinan yang teguh dengan kemampuan kepimpinan KEADILAN dalam berpaut pada tanggungjawab demi menggembleng tenaga untuk kesejahteraan masyarakat Malaysia – kerana kita hanya relevan selagi mengangkat isu dan nadi rakyat.

Tatkala kita semakin menghampiri pilihan raya umum, masih banyak perkara yang samar-samar. Sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN, boleh saya katakan di sini bahawa sejumlah besar model pertarungan menghadapi BN mampu terjadi, makanya telah diteliti dengan rapi. Oleh itu, kita perlu bersikap terbuka dan mengetepikan sebarang sentimen perasaan dalam menilai data yang ada untuk mencapai kata akhir. Tetapi sekali lagi saya ingatkan, ia tidak seharusnya bertentangan dengan prinsip yang dibawa KEADILAN mahupun HARAPAN.

Pihak KEADILAN juga sedang menambah baik dan menyebarkan perisian pilihan raya kami, SPERA (yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Darul Ehsan) agar rakyat Malaysia diberi peluang untuk memelihara undi mereka, dan kekal bekerjasama dengan INVOKE untuk melibatkan kepakaran mereka dalam persediaan menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelas, pada saat mencabar ini, saya mendesak penglibatan penuh pimpinan Biro Politik – dengan memanfaatkan proses dan platform sedia ada demi mengutarakan dan menyelesaikan pelbagai isu.

Di samping itu, semua pemimpin perlu menghormati kata sepakat yang dicapai sekiranya ahli parti mahukan kongres parti diadakan – jikalau syarat-syarat yang ditetapkan dapat dipenuhi. Walau bagaimanapun, kita harus menumpukan fokus dan keutamaan memenangi pilihan raya umum yang kian menghampiri, demi menegakkan hak rakyat Malaysia serta menjanjikan masa depan yang lebih bersih dan gemilang buat negara. Perlu diingat, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah memuktamadkan panduan prinsip Pakatan Harapan dalam memacu rundingan parti-parti terlibat menjelang PRU14.

Juga, pada bulan Zulhijjah yang mulia ini, saya menggesa semua penentang ketidakadilan dan rasuah untuk mempertahankan kesatuan dan mengelakkan unsur yang boleh membawa kepada perpecahan, dengan memaafkan insan sekeliling dan mengotakan janji serta tindakan untuk mengutamakan rakyat. Segala apa yang dilakukan harus berpandukan misi KEADILAN dan HARAPAN yang ingin memperlihatkan kemakmuran kepada rakyat Malaysia.

Berkenaan topik ‘merayu sokongan’ yang tersebar baru-baru ini, ingin saya katakan di sini: bagi sesiapa yang bencikan pencurian harta daripada golongan yang kurang berkemampuan, kepada mana-mana pihak yang bersimpati terhadap rampasan hak daripada yang tidak mampu bersuara..saya merayu kepada anda, berdirilah bersama kami demi menegakkan keadilan dan seterusnya, menumbangkan kerajaan kleptokrat Barisan Nasional dalam PRU14.

Pastinya, pucuk pimpinan semua parti perlu memainkan peranan dalam memacu agenda reformasi dan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia. Sekiranya ada sebahagian pemimpin yang terpengaruh dengan pujukan golongan pemerintah, saya berharap agar ahli berhaluan kanan bagi semua parti dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, demi mempertahankan kesejahteraan dan kemuliaan negara – melalui konsep keadilan, hikmah dan ihsan yang ditekankan oleh Islam. Saya dapat merasakan bahawa rakyat Malaysia tahu (jauh di hati mereka), ini bukanlah realiti di bawah kepimpinan Barisan Nasional pada masa kini.

YB NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN