GESA NAJIB HENTIKAN PEMOTONGAN BELANJAWAN WANITA DAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

Saya menyambut baik keputusan melatih 1,000 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengendalikan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), di bawah kendalian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Ini sejajar dengan usaha mana-mana negara maju yang menyediakan kaedah dan pendekatan manusiawi dalam mengurus isu keganasan rumah tangga, tatkala kadar kejadian tersebut kian merunsingkan masyarakat global.

Kajian World Health Organization (WHO) menganggarkan kira-kira 1 dalam setiap 3 orang wanita yang berpasangan pernah didera secara fizikal mahupun seksual.

Tetapi situasi ini semakin membimbangkan di kawasan Asia Tenggara (termasuk Malaysia), apabila 37.7% wanita melaporkan bahawa mereka pernah disakiti pasangan masing-masing.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibentangkan di Parlimen pada awal tahun ini pula, sejumlah 62,670 kes keganasan rumah tangga difailkan dari tahun 2000 sehingga bulan Januari tahun ini. Bilangan tersebut sememangnya wajib mengejutkan kita semua.

Malangnya, keputusan Perdana Menteri Najib Razak dalam mendokong usaha KPWKM dalam membasmi isu keganasan rumah tangga dilihat sekadar melepaskan batuk di tangga.

Tahun lalu sahaja menyaksikan pemotongan bajet kementerian tersebut sebanyak RM 2 billion, bersamaan dengan penurunan 10 peratus berbanding belanjawan tahun sebelumnya.

Saya tertanya-tanya, bagaimana mungkin kementerian mampu melaksanakan latihan intensif dan memastikan seluruh masyarakat cakna dengan kewujudan pasukan EPO jika tiada peruntukan sewajarnya disalurkan?

Justeru, saya menggesa Najib agar menghentikan budaya pemotongan belanjawan semberono, yang diakibatkan ketirisan dan rasuah dan mengutamakan dana buat JKM yang jelas menjurus kepada keperluan rakyat terbanyak.

Malaysia sedang berada di satu peringkat yang berisiko, baik dari segi kebajikan sosial serta pembangunan ekonomi. Di sebalik usaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat, jangan kita sekali-kali alpa terhadap isu-isu domestik yang berlaku di sekeliling.

Aspek psikologi dan kebajikan umum institusi kekeluargaan di negara ini perlulah diperkukuh agar dapat menjadi pemangkin kepada kehidupan yang stabil dan berkualiti.

Usahlah Najib memperjudikan nasib rakyat demi mencapai agenda peribadi dan politik. Tumpukanlah fokus pada penyaluran dana berteraskan rakyat yang berkesan dan penuh ketirisan, demi kesejahteraan masyarakat Malaysia pada hari ini.

 

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, PARTI KEADILAN RAKYAT