Peningkatan ketelusan dan persaingan pilihan raya yang adil adalah sasaran KEADILAN dan Pakatan Harapan dalam mengejar Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi yang mampu mengutamakan keadilan buat rakyat.

Malangnya, seperti yang selalu dapat kita lihat, undang-undang baru yang diturunkan kepada cabang eksekutif kerajaan BN acapkali disalahgunakan untuk mengekang serta menyerang pihak pembangkang dan mana-mana pihak lain yang mengkritik dasar kerajaan yang boros, tiris, rasuah dan menambah bebanan ekonomi rakyat.

Oleh itu, saya amat meragui keputusan Jemaah Kabinet yang terburu-buru memberi kebenaran agar Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) dibentangkan di Parlimen. Meskipun akta tersebut diperkatakan bakal memberi panduan jelas tentang sumbangan, ia memberi ruang kepada kuatkuasa undang-undang secara terpilih untuk menakutkan penyokong pembangkang dan mengekang kemaraan suara kritikan membina yang sihat.

Cadangan di bawah akta berkenaan, yang memperuntukkan kawalan ketat terhadap kemasukan dana politik asing serta kewajipan penyumbang sumbangan politik tempatan untuk mengisytiharkan sebarang transaksi yang berjumlah RM 3,000.00 ke atas, kelihatan tidak praktik dan ternyata memberi kelebihan kepada kerajaan – yang terbukti dengan ‘kejayaan’ pimpinan utama BN memperoleh berbilion ringgit melalui rangkaian Arab Saudi.

Kita dapat melihat jeleknya pelaksanaan undang-undang sedia ada, dan sejauh mana usaha teliti diambil oleh pihak kerajaan untuk menjaga perjalanan pilihan raya. Berdasarkan pengalaman terdahulu, saya yakin bahawa sebarang undang-undang baru yang diperkenalkan oleh kerajaan yang tempang dan berat sebelah ini akan dipergunakan untuk menekan pihak pembangkang, daripada digunakan demi demokrasi dan ketelusan.

Rakyat Malaysia seharusnya berasa risau dengan kewujudan undang-undang baru sebegini, disebabkan ketiadaan penyiasatan dan pendakwaan ke atas pesalah pilihan raya di negara ini.

Pada masa yang sama, kita perlu mengambil kira kemungkinan yang boleh berlaku, termasuk dakwaan berdasarkan tuduhan palsu dan pelaksanaan undang-undang yang berat sebelah, demi menyesakkan ahli politik pihak pembangkang sekiranya PDEA diluluskan.

Pelbagai contoh salah guna kuasa berdasarkan risiko ini telah terlihat. Daripada penggunaan Akta Hasutan dan undang-undang anti-keganasan untuk mengekang kebebasan bersuara rakyat, kepada isu persempadanan semula kawasan pengundian yang bakal diluluskan di Parlimen (meskipun tidak dipersetujui pihak pembangkang), dan ketidakadilan dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sikap kerajaan yang gemar mengambil kesempatan ke atas rakyat kian terserlah. Sebarang proses yang menafikan pembuktian pilihan rakyat menerusi pilihanraya merupakan permulaan kehancuran sebuah demokrasi.

Saya mendesak pihak kerajaan agar memberi keutamaan kepada ketelusan Parlimen, dan memperkukuh aspek penyiasatan, pendakwaan, serta pelaksanaan undang-undang berhubung salah laku pilihan raya di Malaysia. Tanpa tindakan ini, peraturan baru hanya akan dimainkan untuk mendakwa ahli politik pembangkang melalui kaedah undang-undang yang ‘sah’, bagi matlamat yang salah.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, PARTI KEADILAN RAKYAT