KENYATAAN MEDIA – BELUM MASUK KEM, TAPI NAMA TENTERA DAH ADA DALAM SENARAI PENGUNDI?

Isu pendaftaran baru pengundi tentera yang baru ditimbulkan perlu jawapan jelas serta tindakan segera Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

Mana mungkin sejumlah besar golongan askar didaftarkan sebagai pengundi pos di kem askar Bera, Bagan Datok dan Segamat, sedangkan setiap satu kem belum siap dibina dan dihuni?

 

Gambar di Pintu Hadapan Kem Hutan Melintang yang masih belum siap di bina

 

Diandaikan SPR tidak memberikan jawapan yang tuntas, dibimbangi banyak pihak akan membangkitkan kredibiliti dan niat SPR. Terutama, apabila kita perhalusi majoriti kemenangan BN di kawasan terbabit di samping tarikh pilihan raya yang semakin hampir, ternyata perkara ini mampu  melahirkan banyak imej negatif pada SPR.

Harus kita ingat, pada PRU lalu, P140 Segamat dimenangi BN dengan majoriti tipis 1,217. Justeru, tarikh PRU ke 14 yang  kadar jangka masa 8 bulan, bahkan mungkin  lebih awal dari itu, tidak mustahil ramai pihak akan meragui kredibiliti dan profesionalisme SPR yang dipandu mantan setiausaha Ahli Parlimen BN Ketereh mampu bertindak adil dalam mengendalikan PRU akan datang.

Tidak cukup dengan itu, pertambahan pengundi yang ‘dibawa masuk’ ke kem-kem berkenaan bukan sedikit, bahkan mencecah angka ribu-ribuan.

Jelas, nasib 1,079 tentera dan pasangan mereka yang didaftarkan di Kem Segamat, 1,411 orang pengundi pos daripada Kem Hutan Melintang (Bagan Datok) dan ramai lagi tentera yang bakal berkhidmat di Bera, dibimbangi bakal dimanipulasi oleh pihak SPR dan Kementerian Pertahanan, demi kepentingan politik pihak tertentu.

Aneh difikirkan, bagaimana SPR boleh membenarkan pendaftaran golongan tentera ini, sedangkan ia bertentangan dengan undang-undang sedia ada?

Tindakan SPR seolah-olah menidakkan Perkara 19(1)(b) Perlembagaan Persekutuan secara langsung ! Akta tersebut jelas menyatakan, seorang pengundi hanya dikira layak mendaftar di satu-satu kawasan, jika insan tersebut menetap di kawasan berkenaan pada tarikh pendaftaran.

Di manakah rasa hormat dan ketelusan SPR? Agensi yang kita harapkan untuk menguruskan segala urusan pilihan raya negara?

Dengan ini, saya mendesak pihak SPR agar bertanggungjawab atas isu pendaftaran pengundi tentera yang langsung tidak berintegriti ini. Pendaftaran yang telah dijalankan wajib ditarik balik, selagi mana golongan tentera tersebut belum masuk ke kem masing-masing.

Saya juga menggesa pihak PDRM dan Jabatan Peguam Negara  memastikan SPR mengambil tindakan sepantas mungkin. Kegagalan hari ini, bererti kemusnahan masa depan negara.

Tatkala negara menghampiri detik penentu PRU14, janganlah SPR pula yang mengkhianati aspirasi rakyat. Serahkan hak penentu pada rakyat dengan saksama, bukan melalui ‘tangan hitam’ yang menerobos hak serta pilihan rakyat.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, PARTI KEADILAN RAKYAT