Skip to main content

Kita mesti menerima realiti bahawa Malaysia masih gagal dalam perang melawan dadah. Ia terbukti menerusi angka dan statistik berkaitan dadah yang terkini. 

Pada tahun 2010, 23,642 orang dilaporkan mengambil dadah di Malaysia. Menjelang 2016, jumlah ini terus meningkat kepada 30,844 orang. Untuk tahun 2017, sejumlah 163,931 tangkapan berkaitan dadah telah dibuat. Ini telah mewujudkan situasi di mana segolongan rakyat Malaysia telah dipenjarakan atas sebab ketagihan, yang juga merupakan suatu masalah melibatkan kesihatan dan sosial. Laporan Astro Awani pada 14 Jun 2017 menyatakan bahawa 33,500 daripada 59,600 (56%) banduan di seluruh negara pada waktu itu berada dipenjara atas kesalahan dadah. Daripada jumlah ini, 71.35% terdiri daripada orang Melayu, dan 66% berusia di antara 22 hingga 40 tahun. Pada tahun 2018, Jabatan Penjara Malaysia melaporkan bahawa jumlah individu yang dipenjarakan mencecah 64,000. Ini merupakan satu angka yang jauh melebihi kapasiti penjara-penjara di negara kita yang hanya mampu menanggung 52,000 orang.  

Bilangan rakyat Malaysia yang telah kehilangan nyawa akibat dadah semakin runcing dan membimbangkan. Pada bulan November 2018, Al-Jazeera melaporkan bahawa antara 1279 individu yang dijatuhkan hukuman mati di Malaysia, 932 adalah berkaitan dengan kesalahan dadah. 

Walaupun sudah beberapa dekad Malaysia mengenakan hukuman mati ke atas mereka yang didapati mengedar dadah, masalah dadah di negara kita tetap masih tidak berkurangan. Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Disember 2017 mengakui bahawa perang melawan dadah di Malaysia adalah gagal kerana isu ketagihan tidak dapat dibendung. Negara-negara lain di serata dunia turut melihat kepada kesimpulan yang sama.

Oleh itu, jelaslah bahawa pendekatan keras yang diambil selama ini terhadap gejala penagihan dadah tidak berkesan. Hal ini kerana masalah dadah bukan sahaja sekadar masalah penguatkuasaan undang-undang ataupun masalah keselamatan sahaja – ia juga merupakan suatu krisis kesihatan dan sosial. Dengan naratif ini, jelaslah bahawa hukuman penjara terhadap penagih dadah ke dalam penjara dengan keadaan yang sesak dan serba kekurangan tidak dapat membantu melawan ketagihan mereka. Justeru, kita perlu mencari jalan penyelesaian alternatif yang mampu menangani masalah ini secara holistik.

Pada awal tahun ini, saya telah melancarkan program pengurangan kemudaratan methadone untuk orang yang ketagihan bahan opioid di kawasan Parlimen Permatang Pauh, dengan kerjasama pengamal perubatan dari Universiti Malaya dan Kementerian Kesihatan. Tidak lama lagi kami juga akan melancarkan program yang berlandaskan penggunaan naltrexone. Program ini merupakan kajian rintis di dunia yang bakal membandingkan keberkesanaan methadone dan naltrexone dalam mengubati pengguna dadah polysubstance (pengguna ketagihan dadah pelbagai jenis).

Mengapa saya menyokong pengurangan kemudaratan walaupun ia merupakan alternatif yang kurang popular dan sukar diterima oleh rakyat Malaysia?

Program pengurangan kemudaratan kerap kali disamakan dengan atau ditakrifkan sebagai sokongan tersirat untuk penggunaan dadah (seperti ganja) secara rekreasi. Ini merupakan sebuah persepsi yang salah. Tujuan program pengurangan kemudaratan adalah untuk memindahkan fokus daripada hanya menghukum pengguna dadah semata-mata, kepada pelaksanaan cara yang lebih berperikemanusiaan dan holistik yang mampu membantu pengguna mengatasi masalah penagihan mereka dari akar umbi.

Albert Einstein pernah berkata: “Definisi kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza”.

Maka, wajarlah kita mencari jalan penyelesaian alternatif dengan mewujudkan dan mengukuhkan program pengurangan kemudaratan seperti yang dilaksanakan di Permatang Pauh dan juga di 900 pusat rawatan lain di seluruh negara.

Pusat-pusat seliaan Kementerian Kesihatan ini berfungsi untuk menyediakan rawatan methadone kepada individu yang ketagih dengan bahan-bahan opioid untuk mengubati ketagihan mereka. Setiap minggu, pesakit akan datang ke pusat ini untuk menerima rawatan yang dikendalikan oleh kakitangan kesihatan profesional, bagi tujuan memulihkan dan menggalakkan proses integrasi semula penagih ke dalam masyarakat.

Melalui Medication Assisted Therapy (MAT), program pengurangan kemudaratan telah terbukti berjaya mengurangkan jangkitan HIV dalam rawatan ketagihan bahan opioid. Melalui rawatan ini, kadar jangkitan HIV melalui perkongsian jarum telah jatuh dari 79.6% pada tahun 2001 kepada 3.4% pada tahun 2017, dan ini telah diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa seperti WHO, UNAIDS, Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Konsortium Dasar Dadah Antarabangsa (IDPC).

Program pengurangan kemudaratan yang dilaksanakan sebelum ini menggunakan methadone sebagai bahan utama dalam rawatan penagihan. Perkembangan yang terkini melibatkan penggunaan implan naltrexone yang didapati lebih berkesan untuk merawat ketagihan dengan pelbagai jenis bahan-bahan yang yang memberi kesan kepada minda (mind-altering effects), termasuk nikotin dan alkohol dan juga dadah rekreasi seperti heroin, syabu, ais dan sebagainya. Methadone pula didapati hanya berkesan untuk merawat mereka yang ketagihan bahan berasaskan opioid. Menjadi masalah dalam situasi ini adalah kerana fakta menunjukka  lebih separuh daripada pengguna dadah di Malaysia adalah pengguna polysubstance.

Kajian yang dilaksanakan di Permatang Pauh sangat penting untuk menentukan keberkesanan rawatan yang berbeza. Namun satu perkara tetap jelas – pengurangan kemudaratan sudah pastinya lebih kos efektif daripada hukuman penjara. Kos yang terpaksa ditanggung pembayar cukai di Malaysia untuk menanggung seorang banduan di penjara adalah RM35 sehari, bersamaan RM12,775 setahun. Penggunaan naltrexone diakui mahal harganya, dengan kos mencecah AUD2000 bagi setiap pesakit. Walaubagaimanapun, dalam jangka masa panjang, perkiraan kos menggunakan naltrexone jauh lebih rendah daripada sekadar menghumban penagih ke dalam penjara.

Di bawah Seksyen 39 (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), pesalah yang disabitkan dengan kesalahan memiliki dadah akan dijatuhkan hukuman penjara antara 2 hingga 5 tahun. Ini bersamaan dengan kos penanggungan yang berjumlah antara RM25,550 hingga RM63,875 bagi setiap individu yang dipenjara. Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada pelaksanaan program rawatan naltrexone, yang mempunyai kos purata sekitar RM10,000 setiap pesakit sahaja untuk menjalankan pelan pemulihan dan rawatan sepanjang enam bulan. Semasa tempoh rawatan, para pesakit juga diberikan sokongan secara langsung dan menyeluruh supaya mereka mampu bersedia untuk kembali menyertai masyarakat. Oleh itu, pihak berkuasa yang berkaitan harus memastikan penagih dadah yang tidak berisiko tinggi menerima rawatan pengurangan kemudaratan yang sepatutnya sebagai alternatif dimasukkan ke dalam penjara.

Keluarga pesakit juga harus diberikan sokongan yang sesuai untuk membantu mereka dalam proses menerima semula orang yang mereka sayangi kembali ke pangkuan mereka. Proses ini semestinya dipermudah sekiranya penagih menerima rawatan pengurangan kemudaratan, berbanding dengan jika mereka dimasukkan ke dalam penjara. Sekiranya kita dapat mengubah sikap dari hanya mahu menghukum individu-individu ini kepada keinginan yang ikhlas untuk membantu mereka, seiring dengan menggalakkan pelaksanaan program pengurangan kemudaratan, saya yakin kita mampu melahirkan negara yang selamat dan bebas dari dadah.

Mahu atau tidak mahu, Malaysia perlu memberi pertimbangan yang serius terhadap pengkelasan semula dadah, dengan menetapkan dadah yang lebih berbahaya mengikuti jadual yang sesuai.

Penyalahgunaan dadah merupakan masalah kesihatan dan sosial yang serius yang telah menjejaskan keharmonian banyak keluarga di Malaysia. Hukuman penjara hanya akan terus menyumbang kepada ketidakstabilan dan penderitaan keluarga-keluarga di Malaysia kerana ia menghalang individu-individu yang terjebak dalam gejala dadah ini daripada mendapatkan pekerjaan tetap, mengurangkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mereka perlukan, dan akhirnya menghalang mereka daripada memberi penjagaan dan keprihatinan yang sewajarnya kepada anak-anak mereka – generasi masa depan rakyat Malaysia.

Kesimpulannya, pengurangan kemudaratan merupakan langkah penyelesaian yang dilihat praktikal, berkemanusiaan, holistik dan inklusif yang mampu membantu individu-individu yang ketagihan dadah untuk kembali semula ke pangkal jalan dan akhirnya menyumbang sebagai seseorang ahli masyarakat yang produktif dan sihat yang mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Ini merupakan satu matlamat yang wajar didokong oleh semua rakyat Malaysia.