Skip to main content

Kadar gaji minima di Malaysia masih belum mencukupi untuk menampung kos sara hidup golongan yang menerima manfaat mekanisme gaji minimum, terutamanya golongan B40.

Hasil kajian Khazanah Research Institute mendapati isi rumah yang berpendapatan RM 2000 membelanjakan hampir RM403 sebulan hanya untuk menanggung kos makanan. Walaupun BR1M diperkenalkan buat kelompok berpendapatan rendah yang berkeluarga, ia masih tidak dapat menampung kos sara hidup bulanan dalam jangka panjang.

Peningkatan harga keperluan asas yang lebih tinggi daripada kadar inflasi negara memperlihatkan perlunya usaha reformasi untuk meningkatkan gaji minima, selaras dengan keperluan rakyat.

Statistik menganggarkan sebanyak 20 peratus mereka yang berada dalam golongan B40 bergantung kepada pemindahan tunai seperti BR1M, kebajikan dan sumbangan. Manakala selebihnya bergantung kepada pendapatan atau gaji mereka sendiri. Justeru saya bersetuju dengan cadangan Malaysian Trades Union Congress (MTUC) untuk menaikkan kadar gaji minima kepada RM1,500. Cadangan ini juga berpatutan memandangkan sumbangan gaji pekerja kepada negara dlihat semakin menurun walaupun keuntungan korporat meningkat.

Cadangan Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 oleh United Nation Development Program (UNDP) untuk menggunakan kadar kemiskinan relatif bagi mengukur tahap ekonomi. Cadangan ini harus diambil kira sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan isu ketidaksamaan gaji dan upah.

Malah, kadar pertumbuhan upah sebanyak 2.6% setahun adalah lebih rendah berbanding kadar pertumbuhan produktiviti yang mencatat jumlah RM 78,218 pada tahun 2016 (kenaikan sebanyak 3.5% daripada tahun sebelumnya (3). Ini menimbulkan tanda tanya: sekiranya ekonomi mencatatkan peningkatan saban tahun, mengapakah kadar gaji minima tidak dinaikkan setara dengan kadar pertumbuhan ekonomi?
statistik yang dibentangkan dalam sidang Parlimen mendapati jumlah syarikat yang mengelak daripada pembayaran gaji minima ke atas pekerja kian meningkat.

Dari tempoh Januari 2014 sehingga Mei 2017, 419 fail pendakwaan dibuka dan 71% daripada kes berkenaan diselesaikan dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM 633,700.00.

Apakah faktor di sebalik isu ini? Dua sudut pandang boleh diambil kira: sudut pandang majikan, dan sudut pandang pekerja. Di pihak majikan, dasar gaji minima yang sedang dilaksanakan di Malaysia tidak mengambil kira aspek pembahagian sektor.

Kewujudan pelbagai bidang dan sektor ekonomi di Malaysia mendatangkan hasil yang berbeza, dan sesetengah jenis perusahaan lebih mendatangkan keuntungan berbanding yang lain. Hasilnya, ada syarikat yang mampu melaksanakan dasar gaji minima, dan ada yang kurang berkemampuan atas sebab kos operasi yang tidak tertanggung.

Untuk itu, saya sarankan kajian semula perintah gaji minima yang kini dilaksanakan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) harus dilbuat lebih kerap berbanding setiap 2 tahun, mengambil kira perbedaan sektor dan latarbelakang syarikat.

Saya juga mendesak Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) untuk mengambil kira spesifikasi indikator kadar gaji yang lebih praktikal ke atas kehidupan rakyat pada waktu semasa. Sebagai contoh, komponen Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index) yang ditekankan sebagai salah satu aspek dalam menentukan kadar gaji minima perlu diperhalusi secara bulanan dan diselarikan dengan kadar gaji minima yang sepatutnya.

Saya juga mahu tanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk mengenakan denda yang lebih berat terhadap majikan yang ingkar dengan arahan kadar gaji minima. Kutipan denda berkenaan seterusnya boleh disalurkan terus kepada satu tabung khas yang diwujudkan untuk kepentingan golongan pekerja.

Cadangan ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya sekiranya kita benar-benar komited meningkatkan nisbah “compensation of employees” kepada KDNK (pendekatan pendapatan) daripada 34.9% pada 2015 kepada 40% menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam RMK11. Malah, sasaran jangka masa pertengahan nisbah tersebut sepatutnya digariskan hampir sama dengan paras yang dilihat di negara-negara maju.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN

Footnote:

1 http://www.sinarharian.com.my/nasional/jurang-kemiskinan-tidak-pernah-berubah-1.336799
2 http://www.iais.org.my/e/attach/2016/03NOV2016_zakat_RTD/s1s2.pdf
3 http://www.thesundaily.my/news/2017/05/31/malaysias-2016-labour-productivity-35