Skip to main content

PROJEK KERETA NASIONAL KETIGA: MUAFAKAT BERSAMA, PERHALUSI KEWANGAN NEGARA

 

Perancangan kerajaan pusat untuk meneruskan projek kereta nasional ketiga sebaiknya diperhalusi dahulu sebelum keputusan dibuat. Dasar Automotif Negara perlu dikaji dan dinilai secermatnya terlebih dahulu dengan telus dan inklusif.
Malaysia perlu pantas menyusun langkah daripada sebuah ekonomi berteraskan sektor pembuatan ringkas kepada sebuah ekonomi maklumat yang berlandaskan pembangunan produk, kejuruteraan, teknologi & harta intelek. Untuk itu, perusahaan projek automotif negara haruslah sejajar dengan keperluan dan kehendak semasa. Lewat ini, jualan kenderaan menghampiri 600,000 unit setahun telah menempatkan pasaran automotif Malaysia pada kedudukan 25 negara teratas dunia.

Tahun 2017, sebanyak 48% daripada jumlah bilangan jualan tahunan ini merupakan kereta nasional iaitu Perodua dan Proton. Tidakkah peratusan ini membawa makna kereta-kereta nasional kini menunjukkan prestasi yang memberangsangkan? Tidakkah peratusan ini menunjukkan kereta-kereta nasional mampu bersaing dengan kereta-kereta jenama terkemuka dunia yang dikilangkan dalam negara (ckd) dimana kadar duti eksais rendah juga diperolehi? Atau adakah peratusan jualan ini disebabkan kawalan pasaran dalam bentuk selain duti eksais?

Proton dikatakan sudah gagal dengan jualan tahunan yang rendah sepanjang 2016 (72,291 unit) dan 2017 (70,991). Keadaan ini tidak memadai untuk menampung sebuah syarikat pengeluar kereta asal persendirian (Independent OEM). Pun begitu, syarikat Geely daripada China yang sedang giat mengembangkan pasaran antarabangsanya terutamanya ke Asia Tenggara melihat Proton sebagai sebuah aset yang wajar untuk dilabur. Pembelian 49% pemilikan Proton oleh Geely bersama dana permodalan yang besar untuk pembangunan dan penyelidikan diterima sebagai hakikat yang Geely mempunyai kawalan penuh ke atas Proton. Keadaan Ini menggambarkan bahawa Proton bukan lagi sebuah syarikat kereta nasional Malaysia. Namun jika dilihat pada masa ini, Proton masih komited memacu pembangunan tenaga kerja warga Malaysia serta pembekal automotif tempatan yang berkeupayaan.

Bukankah masih menjadi kepentingan dasar automotif negara untuk memastikan para jurutera dan pereka bina warga Malaysia ini dimanfaatkan walaupun bawah pengurusan asing?

Bagaimana pula Perodua? Laporan jualan terkini mencatatkan perkongsian pasaran bulanan Perodua sudahpun melangkaui 40%. Apakah impak kejayaan Perodua ini kepada pembangunan modal insan dan harta intelek warga Malaysia yang terlibat dengannya? Tambah lagi dengan usahasama yang intim antara Perodua dan gergasi automotif dunia Toyota, tidakkah ini mencukupi untuk mencapai matlamat asal projek automotif nasional? Mungkin sudah tiba masanya Perodua berdikari dan cuba mengusahakan kenderaan moden berdaya saing tanpa rakan kongsi perniagaan asing?

Saya cadangkan seluruh tenaga pekerja pakar warga Malaysia daripada kedua-dua Proton dan Perodua bergabung membentuk kesatuan automotif tempatan yang jitu. Namun begitu, kita perlu lebih bersedia dari sudut penyelidikan dan pembangunan, inovasi, pentadbiran dan pengurusan kewangan sebelum kembali ke sektor automatif dengan berdiri atas kaki sendiri secara total.

Gabungan tenaga pakar daripada Proton dan Perodua mampu memperolehi peluang terbaik ke tahap yang lebih tinggi. Pendekatan ini perlu dijana melalui kajian yang mendalam, sedangkan pasaran automotif terbesar dunia, China, juga sedang menyusun langkah untuk menggabungkan pemain-pemain industri automotif terbesar mereka demi berdaya-saing di pentas dunia.

Kerajaan Malaysia wajib kembali ke papan putih dan menganalisa kembali idea asas kenderaan nasional yang baru. Utamakan kepentingan rakyat sebelum memacu visi, dan perkemas dasar kewangan negara dengan teliti supaya kestabilan yang wujud dapat memberi nafas baru kepada perkembangan ekonomi Malaysia untuk tempoh berpanjangan.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH
NAIB PRESIDEN, KEADILAN