Skip to main content
Education

Kenyataan Akhbar Siasatan Polis Berkait Artikel 153

By 22 September, 2010February 18th, 2020No Comments

Nurul Izzah Anwar

22 September 2010

Siasatan Polis

Saya disiasat pihak polis setelah menulis artikel bertajuk “Debat Agung Malaysia: Wacana bersama Perkasa untuk permulaan baru Malaysia: Malaysia atau Malaysaja?,” yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur hasutan berkait dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Saya menegaskan pendirian saya yang menyokong penuh Perlembagaan negara –termasuk Artikel 153, institusi DiRaja, agama Islam selaku agama rasmi, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah meminta supaya mana-mana Artikel dalam Perlembagaan Persekutuan negara dirubah ataupun dimansuhkan.

Sebaliknya, saya mencari ruang berwacana dengan Perkasa demi merungkai isu-isu utama yang berkait dengan halatuju pembangunan serta masa depan negara.

Tumpuan terhadap Pelaksanaan Dasar Afirmatif

Saya telah meminta supaya tumpuan diberikan kepada bagaimana dasar afirmatif yang hanya bertindak membantu sekelompok kecil orang Melayu dilaksanakan; yang saya percaya sehaluan dengan tuntutan yang dibuat oleh Perkasa sendiri.

Justeru, saya menjemput semua rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu termasuklah Perkasa untuk menyokong rancangan-rancangan seperti berikut, yang telah saya senaraikan dalam artikel kedua saya (selepas terbitan artikel pertama yang menjadi sebab musabab siasatan hari ini) dilaksanakan:

  1. 1. Pendidikan
  2. Saya cadangkan supaya 30 peratus daripada keuntungan tahunan Petronas wajib disalurkan kepada satu dana pendidikan untuk membiayai biasiswa anak-anak kita.
  3. Semua pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukarkan kepada biasiswa penuh.

2.  Pengagihan Semula Ekuiti

Pelaksanaan satu dasar ‘Pengagihan Semula secara Adil Kekayaan Ekuiti Bumiputera’ sediada didalam syarikat-syarikat tersenarai dan bukan tersenarai yang memperolehi projek kerajaan dan pengswastaan dari kerajaan, konsesi lebuhraya dan penjanaan elektrik, dan syarikat berkait dengan kerajaan (GLC) untuk dijualkan 30 peratus daripada saham milik individu atau syarikat bumiputera dengan menggunakan nilai saham ‘par-value’ yang menjadi metodologi penilaian saham rasmi kerajaan kepada seramai mana orang Melayu dimana 25 peratus saham tadi dimasukkan kedalam Tabung Biasiswa Pendidikan dan selebih 5 peratus kepada koperasi pekerja syarikat penyumbang tadi. Dan baki 70 peratus pegangan asal masih didalam tangan pemilik individu dan syarikat bumiputera tadi.

Saya juga telah mencadangkan kita mulakan pelaksanaan dasar baru ini dengan syarikat-syarikat Kenchana Petroleum, Scomi, CIMB, Perimekar, APCO dan sebuah syarikat pembinaan Jambatan di Pasir Mas untuk menguji keberkesanannya.

  1. 3. Pemerkasaan

Dalam hasrat memenuhi apa yang dipinta oleh Perdana Menteri –agar kontrak sosial jangan dibincangkan, saya mencadangkan agar kita berbincang tentang kontrak politik yang bertujuan memperkasa orang Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya untuk berdikari dan memastikan segala bentuk dasar afirmatif dalam Model Ekonomi Baru berjaya dengan memansuhkan segala undang-undang yang tidak demokratik, membuang barah rasuah, menghentikan penyalahgunaan institusi-institusi dalam negara, mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan, mereformasikan sistem pilihanraya dan mewujudkan persekitaran yang dapat melahirkan media yang bebas.

Mengikut Jejak Hasutan Peninggalan Perdana Menteri- Perdana Menteri Terdahulu?

Perihal Dasar Ekonomi Baru (DEB), Allahyarham Tun Abdul Razak secara jelas memastikan dasar tersebut bersifat sementara dengan mewujudkan tempoh masa pelaksanaan selama 20 tahun.

Bukankah had masa ini bercanggah dengan pendirian Perkasa yang menyatakan DEB wujud selama-lamanya?

Perdana Menteri terkini, Datuk Seri Najib memahami semangat serta khazanah peninggalan ayahandanya dengan memperkenalkan dasar afirmatif yang berdasarkan keperluan dalam Model Ekonomi Baru yang juga melibatkan liberalisasi beberapa subsektor ekonomi.

Bukankah langkah ini bercanggah dengan argumen Perkasa yang menggunakan Artikel 153 sebagai penghenti mana-mana liberalisasi ekonomi?

Kita juga tahu bahawa Tun Dr. Mahathir telah menyedari kebaikan meritokrasi apabila beliau menukar sistem kuota kemasukan pelajar ke universiti kerajaan. Pada April tahun ini pula, beliau menyatakan bahawa DEB merupakan ‘bantuan sementara’ (temporary crutch) untuk orang Melayu.

Bukankah langkah sebegini boleh dikatakan mempersoalkan maksud Artikel 153?

Tambahan lagi, Allahyarham Tun Dr Ismail telah mengatakan kedudukan orang Melayu ini akan ditentukan oleh orang Melayu sendiri. Beliau juga meramalkan dengan semakin ramai Melayu yang berpendidikan dan mendapat keyakinan diri, mereka sendiri akan menghapuskan kedudukan istimewa ini. Kedudukan istimewa ini katanya lagi, dilihat sebagai penghinaan kepada kebolehan orang Melayu.

Bukankah kata-kata beliau boleh dilihat sebagai menghina objektif Artikel 153 seperti yang diimpikan oleh Perkasa?

Kalau kita menerima piawaian hasutan yang ditetapkan oleh Perkasa, bukankah semua pemimpin negara di atas bersalah seperti saya?

Secara khusus, saya sekadar memohon penjelasan, manakala pimpinan-pimpinan di atas telah merubah dan meminda dasar ekonomi baru, yang menjadi intipati kepada Artikel 153.

Saya akhiri dengan penegasan pendirian saya seperti yang tertulis dalam artikel “Malaysia atau Malaysaja” dan meminta agar rakyat Malaysia mengadili saya di dalam hal ini.

Terima kasih.

Nurul Izzah Anwar

MP Lembah Pantai, Kuala Lumpur

22 September 2010