Skip to main content
Penerbitan

40 tahun Wilayah Persekutuan

By 11 February, 2014February 18th, 2020No Comments

NURUL IZZAH ANWAR
SINAR HARIAN
11 FEBRUARI 2014

2014 menandakan tahun keenam perayaan Hari Wilayah Persekutuan bagi saya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih di Kuala Lumpur; hari tersebut disambut bukan sahaja oleh warga Kuala Lumpur, malahan ia turut disertai penduduk di Labuan dan Putrajaya.

Kerajaan Persekutuan memberi alasan empat dekad lalu, Kuala Lumpur akan ditadbir dengan lebih baik di bawah pentadbirannya – dan melalui pemansuhan pilihan raya tempatan pada tahun 1965, ia direalisasikan.

Sebagai wakil rakyat dari sebuah pakatan politik yang mendapat sokongan menggalakkan sebanyak 67 peratus pada pilihan raya umum lalu, saya tidak dapat mengelak dari memikirkan tentang kedudukan demokrasi pada hari penuh bermakna itu.

Pertama, sejak permulaan baharu hampir empat dekad lalu, penduduk Kuala Lumpur semakin tidak berkebolehan membuat keputusan berkaitan dengan hak-hak mereka, perkhidmatan dan kemudahan di bandar.

Datuk bandar yang dilantik memuktamadkan konsesi dalam perkhidmatan asas – antaranya pengumpulan sampah dan rawatan kumbahan, dan baru-baru ini tamparan kepada rakyat Kuala Lumpur dengan kenaikan cukai taksiran. Pada ketika ini, rakyat Kuala Lumpur terpaksa membayar Indah Water Konsortium bagi perkhidmatan pembetungan dan rawatan kumbahan. Tambahan bil ini bermakna rakyat Kuala Lumpur membayar dua kali ganda untuk mutu perkhidmatan yang sama.

Walaupun menyedari bantahan terhadap kenaikan nilai taksiran bagi harta sedang berlaku, ramai menjangkakan DBKL tidak akan berganjak, memandangkan keputusan satu-hala oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan kadar penilaian dari 6% kepada 4% untuk hartanah kediaman, dan dari 12% kepada 10% untuk hartanah komersil. Pengurangan unilateral ini gagal untuk menangani keperluan lebih asas dalam melindungi ketelusan proses penilaian itu sendiri ataupun hak pihak berkuasa tempatan untuk menaikkan kadar penilaian tanpa mempertingkatkan perkhidmatan.

Realiti semasa jauh tersasar dari dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja di pihak berkuasa tempatan, ditubuhkan pada Jun 1965. Suruhanjaya ini menyokong penuh kehadiran badan-badan majlis yang dipilih.

Seorang ahli majlis yang dipilih membolehkan anda menyalurkan rasa tidak puas hati melalui tiga peringkat struktur demokrasi yang betul – pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan. Kuasa datuk bandar, serta orang-orang eselon atasan akan sentiasa disemak, dan penelitian yang lebih besar akan diberikan kepada bagaimana bajet dibelanjakan tahun demi tahun. Prinsip ketelusan seperti ini yang kami dokong, supaya integriti serta kewibawaan seseorang pemimpin ini tidak dapat dipersoalkan, dan sokongan rakyat dihargai menerusi perkhidmatan yang lebih cekap dan amanah.

Kedua, jika ia bukan untuk struktur tadbir urus yang lebih baik, mengapa perlu kita mengekalkan sistem datuk bandar persekutuan yang dilantik sedang pilihan raya tempatan dikembalikan? Pilihan raya tempatan akan mengembalikan kuasa ke dalam tangan rakyat. Sekiranya ahli majlis serta datuk bandar tidak berupaya untuk memberikan perkhidmatan atas dasar kebaikan rakyat marhaen, rakyat sepatutnya memegang hak untuk menggantikan datuk bandar dengan seseorang yang lebih berwibawa serta berjiwa rakyat.

Ramai yang lupa Kuala Lumpur adalah sebahagian dari Selangor – sehingga insiden malang pilihan raya 1969 di mana Parlimen tergantung, meninggalkan Parti Perikatan dengan hanya 14 dari 28 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri. Dengan itu, Kuala Lumpur telah dihadiahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada Februari 1974, memastikan Selangor sentiasa di dalam tangan yang ‘selamat’.

Realitinya, pada ketika ini Wilayah Persekutuan mempunyai hampir 1.6 juta penduduk. 11 ahli Parlimen yang mewakili mereka ini tidak akan berupaya untuk memberi khidmat dengan lebih terperinci. Ahli majlis yang dipilih sendiri oleh rakyat sudah tentu akan dapat membantu ahli Parlimen untuk berkhidmat dengan lebih pantas, dan memastikan sebarang isu dibangkitkan mendapat perhatian lebih khusus.

Disebabkan ini tidak berlaku, keadaan penduduk Wilayah agak pincang bila dibandingkan dengan penduduk di negeri-negeri lain yang mempunyai Adun berkhidmat lebih dekat dengan rakyat.

Sedang kita meraikan Hari Wilayah Persekutuan, adalah penting bagi kita mencari jalan untuk memastikan bandar yang lebih baik dan pemerintahan yang lebih cekap. Kita harus memastikan bahawa mereka yang berkedudukan bersungguh-sungguh berkhidmat untuk rakyat.

Raikan Hari Wilayah Persekutuan dengan mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa tiada cukai tanpa perwakilan, terutama sekali memandangkan sudah 40 tahun berlalu!

Selamat Hari Wilayah Persekutuan ke-40!