Skip to main content
Education

Reformasi dan bukan Transformasi Ekonomi Penyelamat Masa Depan Negara

By 13 November, 2013February 18th, 2020No Comments

Mac 2010 masih lagi segar dalam kenangan. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan Model Ekonomi Baru (NEM); sebuah rancangan pengurusan ekonomi negara yang memberikan sebuah jalan penyelesaian kepada masalah ekonomi negara. Model ini memperkenalkan pelan tindakan afirmatif berasaskan keperluan, bukannya berasaskan bangsa; yang menjadi barah kepada ekonomi Malaysia apabila pelaksanaannya disalahguna untuk memperkayakan golongan tertentu – lantas melebarkan lagi jurang antara yang miskin dan yang kaya.

Pengenalan NEM merupakan bukti kerajaan bukan sahaja menyedari bahawa ekonomi Malaysia rosak, malah, mereka juga mengetahui cara-cara menyelesaikannya.

Sayang seribu kali sayang, harapan rakyat untuk melihat Malaysia yang lebih sejahtera punah dengan satu lagi program yang diperkenalkan pada tahun yang sama, iaitu Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menggantikan NEM. Sayang seribu kali sayang, Kerajaan Malaysia Pimpinan Barisan Nasional tidak mempunyai kehendak politik untuk melaksanakan NEM, dan seterusnya merakyatkan ekonomi negara. ETP, secara amnya cuma memperkenalkan kembali sistem ekonomi berasaskan kroni era 90-an, dengan projek-projek mega yang belum tentu akan memberi manfaat kepada rakyat secara amnya.

ETP tidak akan berjaya menyelesaikan masalah ekonomi Malaysia, kerana masalah ini memerlukan reformasi ekonomi melalui penstrukturan radikal dan bukan transformasi kosmetik.

Satu Agenda Reformasi Ekonomi mesti dilaksanakan agar Negara bertambah produktif, efisyen dan kompetitif yang dapat mengangkat dan meningkatkan Pendapatan Sebenar Rakyat secara mampan.
Agenda Reformasi Ekonomi dapat diperjelaskan menggunakan ‘Prinsip 5D’Decentralisation – Divestment – Diversification – Discipline (Fiscal) – Democratisation:

Decentralisation (Pengagihan Semula Kuasa serta Sumber)
Kerajaan perlu mengagihkan semula kuasa dan sumber-sumber yang ada pada Kerajaan Pusat kepada peringkat yang lebih rendah seperti kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Perkongsian hasil cukai dengan nisbah 60:40 antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri akan dapat merangsang aktiviti-aktiviti dan pertumbuhan ekonomi setempat untuk berlaku dengan kadar yang lebih pantas. Selangor pada ketika ini menyumbangkan kira-kira RM16 Billion daripada hasil cukai tetapi cuma menerima kira-kira RM600 juta atau 4% daripada kerajaan pusat dalam bentuk geran, pembangunan dan penyelenggaraan jalan raya. Seterusnya format Rancangan Malaysia setiap 5 tahun yang bersifat ‘Top Down’ perlu dihapuskan. Realiti hari ini memerlukan perancangan ekonomi pada peringkat negeri yang lebih responsif kepada keperluan sebenar. Dan realiti inilah yang memerlukan perkongsian kuasa dan hasil negeri yang lebih inklusif.

Pengagihan semula kuasa serta sumber mencerminkan prinsip federalisme sebenar yang akan mengurangkan politiking, ketidakcekapan, ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa; dan memberikan ‘kuasa’ kepada kerajaan negeri untuk menentukan hala tuju yang terbaik. Inilah janji kemerdekaan dalam sebuah persekutuan.

Divestment (Penyah-milikan Saham)
Kerajaan harus melepaskan atau mengurangkan pegangan saham kerajaan kepada sektor swasta, dengan menjual syarikat berkait kerajaan (GLC) kepada pihak pengurusan atau staff syarikat tersebut. Ini akan menaikkan produktiviti, inovasi dan seterusnya keuntungan syarikat tersebut.

Dengan anggaran nilai pasaran GLC sebanyak sekitar 36% atau lebih kurang RM530 bilion dapat menjadi sumber kewangan terus digandingkan dengan jangkaan peningkatan produktiviti serta keuntungan dapat menambahkan hasil cukai pendapatan.
Lagipun, dengan menjual GLCs ia akan merancakkan persaingan domestik dan menghapuskan ‘Crowding Out Effect’ sektor swasta agar menjadi penjana ekonomi mampan.

Diversification (Mempelbagaikan Sumber Ekonomi)
Inovasi, serta pengembangan aktiviti ekonomi ke dalam sektor-sektor yang baru adalah salah satu kekunci untuk meningkatkan taraf ekonomi sesebuah negara setanding dengan negara-negara maju. Malaysia berkembang dari pertanian ke industri pengilangan dalam era 80-an dan ke sektor perkhidmatan (kewangan, pelancongan, kesihatan dan pendidikan) dalam era 90-an. Seterusnya kita mestilah berusaha untuk mengembangkan lagi kepada sektor sains kehidupan dan teknologi nano. Fokus mestilah diberikan kepada pelaburan sektor swasta dalam pembinaan modal insan serta penyelidikan dan pembangunan, bukannya dalam pembangunan infrastruktur fizikal. Kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk merancakkan lagi aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan menambahkan lagi peruntukan daripada kurang daripada 1% kepada 3% KDNK dengan segera.

Malaysia juga kaya dengan sumber asli biodiversiti yang berpotensi untuk memberikan hasil yang lumayan. Saya juga akan mengusulkan satu Akta Pelesenan dan Paten Sumber Biodiversiti Negara (National Biodiversity Licensing and Patents Act) agar semua sumber asli termasuk kod genetik menjadi Hak Intelek Negara seperti mana hasil petroleum dijadikan Hak Sumber Asli Negara.

Ini akan menjadikan sumber asli biodiversiti sebagai satu kelebihan dan sumber pendapatan berterusan melalui pelesenan dan patent daripada pengusaha industri sains hayat yang berpotensi besar.

Discipline (Disiplin Fiskal)
Perkara utama yang mesti ditumpukan kerajaan ialah pelaksanaan disiplin fiskal sebagai usaha untuk mencapai bajet yang seimbang, sebagai persediaan menghadapi krisis kewangan yang bakal dihadapi. kerajaan perlu mensasarkan untuk mengurangkan defisit bajet kita dari 4% ke 2%. Disiplin dan sebuah azam politik yang jitu juga diperlukan untuk mengurangkan hutang kebangsaan termasuk ‘contingent liabilities’ dari 65% KDNK ke 40% KDNK.

Jika Perdana Menteri bersungguh untuk melihat Disiplin Fiskal dilaksanakan, satu Jawatankuasa Polisi Fiskal Parlimen perlu ditubuhkan yang akan dianggotai semua pihak termasuk pembangkang. Jawatankuasa ini bertujuan menjadi saluran suara rakyat untuk merangkakan dasar maupun memantau prestasi perbelanjaan melalui program ‘Outcome Based Budgeting’ yang diumumkan PM. Kerajaan perlu menghormati hasrat dan suara 51.8% peratus daripada rakyat yang telah memilih pimpinan Pakatan Rakyat untuk menjadi suara mereka dalam menentukan hala tuju negara.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) pula mesti diperluaskan mandat termasuk mendapat laporan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan kerajaan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat salah laku perbelanjaan. Unit Pengurusan Integriti yang diangotai wakil SPRM di setiap kementerian juga harus memberikan laporan terus kepada PAC.

Sebagai contoh bagaimana ini boleh dilaksanakan, Amerika Syarikat mempunyai sebuah Jawatankuasa Bajet, yang bertanggungjawab untuk menilai bajet yang dicadangkan oleh Presiden, membanding dan menyesuaikan bajet tersebut dengan rancangan Kongres, serta membangunkan polisi-polisi fiskal mereka sendiri. Congressional Budget Office (CBO) telah ditubuhkan sebagai sebuah Agensi Persekutuan bipartisan yang bertanggungjawab untuk memberikan kongres sebuah laporan yang bebas dan adil tanpa pengaruh politik, tentang isu-isu berkenaan bajet dan ekonomi. Kesemua kakitangan CBO ini dilantik berdasarkan bidang kepakaran mereka, tanpa mengambil kira fahaman politik mereka.

Oleh demikian, sebagai langkah awal untuk merakyatkan ekonomi, kerajaan wajib melaksanakan konsep Bajet Terbuka (Open Budget Initiative) yang menjadikan proses merangkakan bajet lebih telus dan terbuka serta inklusif bukan sahaja untuk rakyat tetapi Parlimen juga. Segala maklumat, perbincangan dan laporan-laporan prestasi bajet secara berkala di awal, pertengahan dan penghujung pelaksanaan bajet diumumkan secara terbuka. Bukan sahaja kita mendidik rakyat tetapi sekali gus menjadikan rakyat sebahagian pemantau pengurusan kewangan negara.

Hanya dengan usaha memerangi gejala rasuah serta merangkakan fungsi ‘oversight’ Parlimen melalui penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal Negara dan memperluaskan mandat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) akan menjaminkan bukan sahaja Disiplin Fiskal tetapi juga menjaminkan pendekatan Inklusif dan bukan Eksklusif dalam membina negara maju.

Democratisation (Pendemokrasian)
Rakyat wajib menuntut reformasi demokrasi bermula dengan membersihkan proses pilihanraya agar telus dan adil. Ia mesti digandingkan dengan reformasi sistem parlimen termasuk penubuhan jawatankuasa tetap parlimen memantau semua kementerian termasuk penggubalan dasar dan akta-akta, hak meratifikasikan perjanjian antarabangsa agar kedaulatan negara tidak tergadai serta peluang mengusulkan perundangan oleh pembangkang agar prinsip pemisahan kuasa untuk fungsi timbang-tara pentadbiran berjalan lancar. Badan Kehakiman mesti bebas dan berdikari agar keadilan dan hak 99.9% rakyat diutamakan lebih daripada kepentingan golongan 0.1%. Kebebasan media sebagai saluran suara menjadi pemantau serta pembela hak rakyat dan bukan sahaja sebagai alat propaganda kerajaan mesti diwujudkan.

Menyelesaikan masalah ekonomi Malaysia sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi sesudah lebih 40 tahun barah dibiarkan menular ke setiap rongga penjanaan ekonomi negara. Tetapi, ianya bukanlah sesuatu yang mustahil. Kita tahu, kerajaan sedar betapa besar masalah yang sedang dihadapi oleh Malaysia, dan kita juga tahu, bahawa kerajaan tahu jalan penyelesaian masalah itu. Akan tetapi, apa yang tidak ada pada kerajaan Barisan Nasional ialah keazaman politik untuk menyelesaikannya. Dan keazaman inilah yang akan menjadi kunci kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.