Skip to main content
Jawapan Parlimen

7 April 2014: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [PERDANA MENTERI]

By 10 April, 2014February 18th, 2020No Comments

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 07 APR 2014 (Isnin)
SOALAN : No. 24

YB Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan:-

(a) apakah Indeks Produktiviti Perkhidmatan Awam dari tahun 2003 hingga 2013; dan

(b) nyatakan juga peratusan kenaikan gaji kakitangan awam dari tahun 2003 hingga 2013.

JAWAPAN: YB DATUK JOSEPH ENTULU ANAK BELAUN, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Perkhidmatan Awam sentiasa mengutamakan usaha-usaha ke arah meningkatkan produktiviti negara. Untuk itu, penjawat awam sentiasa disemai dengan nilai-nilai positif yang menjadi pegangan mereka selaku jentera pelaksana dasar Kerajaan. Pembudayaan nilai positif penjawat awam dipupuk melalui amalan (8) nilai Etos Perkhidmatan Awam iaitu berintegriti, budaya kesegaraan, mengutamakan pelanggan, bekerjasama dan bersepakat, inovasi dan kreativiti, musyawarah dan penglibatan, aduan sebagai hadiah dan menimba ilmu serta meningkat kemahiran. Selain itu, enam (6) prinsip utama iaitu cepat, tepat integriti, productivity, creativity dan innovation atau pun CTI-PCI turut diterapkan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang memenuhi ekspektasi rakyat.

Produktiviti Perkhidmatan Awam sering dinilai melalui pelbagai instrumen yang dipelopori oleh badan antarabangsa. Sebagai contoh, The Institute for Management Development (IMD) yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland menerbitkan IMD World Competitiveness Yearbook setiap tahun. Laporan ini menanda aras 60 buah negara (sehingga World Competitiveness Yearbook 2013) berdasarkan 333 kriteria yang mengukur daya saing sesebuah negara secara komprehensif berlandaskan empat (4) faktor utama iaitu Economic Performance, Government Efficiency, Business Efficiency, dan Infrastructure. Menerusi salah satu faktor utama yang dinilai dalam World Competitiveness Yearbook iaitu Government Efficiency, produktiviti Perkhidmatan Awam dinilai berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Ini sedikit sebanyak membantu pihak Kerajaan dalam merencana perancangan ke arah meningkatkan kualiti penyampaian dan produktiviti Perkhidmatan Awam sepanjang masa. Kedudukan Malaysia dalam faktor utama “Government Efficiency” – World Competitiveness Yearbook adalah baik iaitu pada kedudukan ke 15 daripada 60 buah negara pada tahun 2013.

Produktiviti Perkhidmatan Awam juga dinilai di dalam Global Competitiveness Report yang diterbitkan oleh World Economic Forum (WEF). Laporan ini digunakan oleh sejumlah 148 buah negara (sehingga Global Competitiveness Report 2013-2014) di seluruh dunia bagi menanda aras daya saing negara yang dinilai melalui 12 pillars. Pillar yang pertama iaitu “Institutions” mengandungi indikator-indikator yang menilai keberkesanan penyampaian Perkhidmatan Awam di samping penglibatan institusi swasta dari segi standard dan ketelusan pelaporan serta keutuhan jalinan kerjasama awam-swasta dalam mewujudkan suasana ekonomi yang mesra pelabur dan menjanjikan pertumbuhan. Kedudukan Malaysia dalam pillar “Institutions” – Global Competitiveness Report adalah pada kedudukan ke 29 daripada 148 negara pada tahun 2013.

Selain itu, prestasi dan produktiviti negara turut dinilai menerusi beberapa instrumen penilaian antarabangsa yang lain iaitu Foreign Direct Investment Confidence Index, Ease of Doing Business dan Global Innovation Index. Penilaian ini dibuat dari pelbagai sudut merangkumi keupayaan ekonomi, saiz pasaran, infrastruktur, inovasi, teknologi, sumber manusia dan sebagainya.

(b) Sejak tahun 2003, sebanyak dua (2) kenaikan gaji telah diberikan oleh Kerajaan kepada pegawai Perkhidmatan Awam iaitu pada 1 Julai 2007 dan 1 Januari 2012.

Pemberian kenaikan gaji pada 1 Julai 2007 melibatkan kadar sebanyak:

i) 7.5% kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi di Gred Utama C / Gred Khas C hingga Gred KSN;
ii) 15% kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional di Gred 41 hingga Gred 54;
iii) 25% kepada pegawai dalam Kumpulan Sokongan di Gred 17 hingga Gred 40; dan
iv) 25% kepada pegawai dalam Kumpulan Sokongan di Gred 1 hingga 16.

Manakala pemberian kenaikan gaji pada 1 Januari 2012 selanjutnya melibatkan kadar sebanyak

i) 7% kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi di Gred Utama Turus I dan Gred KSN;
ii) 8% kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi di Gred Utama Turus III dan Gred Utama Turus II;
iii) 9% kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi di Gred Utama C/ Gred Khas C hingga Gred Utama A/Gred Khas A; dan
iv) 13% kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional di Gred 41 hingga Gred 54, dan pegawai dalam Kumpulan Sokongan di Gred 1 hingga Gred 40.

Sekian. Terima Kasih