Skip to main content
Penerbitan

Berita: Tabung Keselamatan 1Wilayah bukti BN gagal cegah jenayah, kata PKR

By 20 September, 2012February 18th, 2020No Comments
Oleh Mohd Farhan Darwis (The Malaysian Insider)
September 18, 2012

KUALA LUMPUR, 18 Sept — PKR melihat tindakan kementerian Wilayah Persekutuan dan kesejahteraan bandar (KWPKB) mewujudkan Tabung Keselamatan 1Wilayah adalah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan tanggungjawab mereka menyelesaikan isu keselamatan dan mencegah kegiatan jenayah.

Naib Presiden parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu, Nurul Izzah Anwar (gambar)menegaskan, langkah itu tidak akan berjaya menyelesaikan isu peningkatan kadar jenayah kerana ia bersifat sementara sedangkan warga kota memerlukan perubahan dasar dan pendekatan tersusun bagi tujuan tersebut.

“Langkah ini hanyalah satu usaha bersifat sementara yang tidak benar-benar menyelesaikan peningkatan kadar jenayah yang dihadapi warga Kuala Lumpur yang memerlukan perubahan dasar dan pendekatan mengatasi kadar jenayah yang lebih tersusun,” kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai ini turut menegaskan, dana itu berpunca daripada “kegagalan kerajaan BN dalam menugaskan semula anggota-anggota PDRM, menempatkan semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields jauh dari penduduk, dan menangani masalah jenayah secara dasar, sistemik, dan menyeluruh kerana semua sedar bahawa jenayah berkait dengan keadaan ekonomi yang lemah.”

Nurul juga mendesak KPWKB untuk mendedahkan sebarang perjanjian yang dibuat di antara pihak kementerian dan semua pihak yang memberi sumbangan kepada tabung ini.

“Tugas dan tanggungjawab keselamatan yang sepatutnya dilaksanakan kerajaan persekutuan sebagai satu khidmat awam asas telah pun diswastakan di dalam bentuk ‘perkhidmatan kubu keselamatan’ (neighborhood security fortress).

“Di kawasan perumahan oleh syarikat-syarikat keselamatan swasta – di mana kos bayaran perkhidmatan yang ditanggung merupakan satu bentuk ‘subsidi’ yang bukan sahaja patut dikembalikan kepada penduduk di dalam bentuk rebat cukai (tax rebate) tetapi ia juga berbentuk diskriminasi kerana hanya kawasan penduduk mewah sahaja akan memperolehi perkhidmatan keselamatan swasta yang lebih daripada majoriti penduduk kurang mampu,” tegasnya.

Jumaat lalu, menteri Wilayah Persekutuan dan kesejahteraan bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan kementariannya akan menubuhkan Tabung Keselamatan 1Wilayah Persekutuan untuk membantu penduduk menyedia, mempertingkat dan membaik pulih kemudahan keselamatan di kawasan perumahan.

Menteri berkenaan berkata ia merupakan usaha kerajaan untuk mengatasi masalah jenayah seperti rompak, samun dan pecah rumah.

Raja Nong Chik berkata, dana awal untuk tabung itu ialah sebanyak RM1 juta, namun kementeriannya mensasarkan ia akan meningkat sehingga RM4 juta hasil sumbangan pihak korporat dan swasta.

“Sumber dana untuk tabung itu tidak akan melibatkan kerajaan sebaliknya akan diperoleh melalui sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat pemaju hartanah dan perumahan serta syarikat swasta,” katanya.

Justeru, Nurul menggesa kamera litar tertutup (CCTV) segera dipasang dengan dana khas ini mengikut piawaian liputan pantauan (security monitoring coverage) yang mesti ditetapkan dan dimaklumkan kepada umum.

“Kaedah kepolisian yang dibantu peralatan seperti kamera CCTV memerlukan sistem yang lebih mantap dan teratur melebihi apa yang mungkin dapat dipasang.

“Dan sepatutnya sistem kamera CCTV termasuk pemasangan lampu di kawasan gelap wajib disegerakan dan bukan menunggu pengumuman dan pelancaran yang nampak seperti satu kempen publisiti ketika harta dan keselamatan rakyat makin tergugat,” tegasnya lagi.

Nurul juga menggesa kerajaan dan pihak yang betanggungjawab memberitahu apa perancangan “segera” dan “berkesan” untuk mengatasi kadar jenayah yang bertambah buruk.

“Sudah tiba masanya pemusatan kuasa dihentikan termasuk perkhidmatan polis serta pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan kepada rakyat setempat.

“Ia adalah kebertanggungjawaban dan ketelusan perkhidmatan awam yang menjadi asas demokrasi dapat menjaminkan aspirasi rakyat ditunaikan dan bukan dipolitikkan melalui perangkaan jenayah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang tidak tepat  mahupun usaha ‘penswastaan keselamatan’ dengan pengumuman dana khas,” tegasnya lagi.

Dipetik dari The Malaysian Insider:
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tabung-keselamatan-1wilayah-bukti-bn-gagal-cegah-jenayah-kata-pkr/