Skip to main content
Penerbitan

Ceritera ‘dua Kuala Lumpur’

By 14 September, 2010February 5th, 2021No Comments

14 Sept 2010
Oleh – Nurul Izzah Anwar (Sinar Harian)

Bekalan air dan elektrik percuma, bantuan Aidilfitri serta persekolahan untuk anak-anak ialah antara permintaan sering saya dengar daripada penduduk Lembah Pantai yang mendiami perumahan kos rendah.

Ambil sahaja contoh bekalan air. Bagi mereka yang bernasib baik mungkin menganggap kos bekalan air terlalu murah, tetapi bayangkan ramai juga golongan di ibu kota yang mengharapkan bekalan air percuma. Ini menunjukkan kemiskinan di bandar berada pada tahap yang serius.

Permintaan-permintaan ini dibuat rata-rata yang tinggal di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), yang sewanya hanya RM124 sebulan. Untuk perbandingan, sewa seunit pangsapuri yang lebih selesa sedikit daripada rumah PPR adalah lebih kurang 10 kali lebih mahal. Penduduk di kawasan perumahan kos rendah ini biasanya tinggal bersesak-sesak dan berhadapan dengan bermacam-macam masalah harian, kadang-kadang lif rosak atau tekanan air rendah.

Masalah letak kereta juga adalah satu lagi cabaran harian. Di sebuah flat di Pantai Dalam, meletakkan kenderaan dengan menghalang kereta lain adalah perkara biasa. Cuma kereta yang menghalang ini tidak perlu mengunci brek tangan. Jika kereta yang dihalang itu mahu keluar, tolak sahaja kenderaan menghalang laluannya. Amalan ini berjalan sejak sekian lama dan penduduk tahu apa yang mereka lakukan.

Ketika mendengar keluhan-keluhan ini saya teringat pula gesaan seorang ahli politik agar penduduk miskin mengurangkan ‘overhead’ mereka atau dengan kata lain, ubah gaya hidup. Mereka disuruh berhenti menggunakan kereta, membatalkan langganan Astro, jika mahu hidup selesa dengan pendapatan rendah di ibu kota.

Saya pelik dengan gesaan seperti ini, ia menunjukkan betapa luasnya jurang antara menteri ini dengan penduduk bandar di sini; yang seakan-akan tidak sensitif dengan persekitaran rakyat dan keresahan hidup mereka alami.

Tidakkah ahli politik ini sedar, bagi kebanyakan warga kota, memiliki kenderaan sendiri adalah prasyarat untuk mendapatkan pekerjaan. Lihat sahaja iklan-iklan jawatan kosong di surat khabar. Banyak yang meletakkan “memiliki kenderaan sendiri” sebagai kriteria utama dalam menggaji pekerja.

Akibatnya, mereka yang baru tamat pengajian dan tidak mempunyai banyak wang terpaksa mencari jalan membeli kereta. Bayaran muka rendah, golongan ini terpaksa membuat pinjaman kereta yang besar, dan akhirnya banyak wang diserahkan kepada institusi kewangan.

Maka, golongan berpendapatan rendah yang sudah berkeluarga terpaksa berdepan dengan tekanan kos sara hidup tinggi, kerana keperluan menanggung anak-anak dan mungkin juga isteri yang tidak bekerja.

Mereka yang bujang terpaksa berhadapan dengan kekangan hutang sebaik sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Bukan sahaja hutang kereta, ramai juga terpaksa membayar hutang pelajaran seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Cabaran kemiskinan ini sebenarnya bukan hanya dirasai orang Melayu. Daripada perbualan dengan masyarakat bukan Melayu, saya biasa mendengar istilah ‘economy rice’, nasi campur murah yang biasa dijual di gerai-gerai makanan Cina. Biasanya gerai-gerai seperti inilah menjadi tumpuan mereka yang mahu berjimat-cermat atau tidak mampu makan di kedai lebih selesa.

Saya percaya pandangan “ubah gaya hidup” ini dikongsi oleh ramai golongan kelas atasan, kerana tidak mungkin untuk ahli politik bersikap tidak sensitif dengan pengundinya.

Saya cukup yakin warga kota memiliki daya dan upaya untuk memperbaiki kehidupan mereka untuk terlepas dari dilema ini, jika diberi peluang dan ruang oleh pihak berkuasa melalui program-program pengupayaan rakyat seperti dasar gaji minimum, pendidikan pra-sekolah yang menyeluruh, program tuisyen sekolah percuma, skim mikro kredit yang adil pemberiannya, pemberian biasiswa ke IPT serta menukarkan hutang PTPTN kepada biasiswa.

Suara Kuala Lumpur yang miskin ini sudah tentulah akan lebih kuat kedengaran jika pilihan raya tempatan dihidupkan, lantas memberikan hak memilih Datuk Bandar dan Ahli Lembaga DBKL.

Apa lagi yang akan membela nasib rakyat terpinggir bagi menyatukan dua Kuala Lumpur ini, kalau bukan undi mereka?