Skip to main content
Press ReleaseStatementsTPPA

Dato’ Seri Najib Tun Razak Harus Berani Mendepani Ratifikasi TPPA Menerusi Parlimen – Jangan Nafikan Hak Rakyat Dengan Kuasa Kabinet

By 13 October, 2015February 18th, 2020No Comments

Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pada 7 Oktober lepas dilaporkan berkata “(Dokumen) TPP itu perlu dibentangkan dan dibahaskan terlebih dulu untuk diluluskan. Ini adalah proses lazim di semua negara terbabit.”

Kenyataan Datuk Menteri di alu-alukan. Perlu ditegaskan bahawa usaha penubuhan Kaukus Parlimen TPPA pada September 2013 yang lalu di antaranya adalah demi memastikan perjanjian yang bakal memberi kesan kepada segala aspek sosio-ekonomi negara ini dibahaskan dengan teliti di Parlimen.

Bagaimanapun, adakah Datuk Seri Mustapha gusar dengan perkembangan terbaru yang memaparkan barisan pengkritik Perdana Menteri, iaitu Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah semalam, lalu bercadang untuk menggunakan kuasa kabinet untuk meluluskan TPPA?

Adakah kerana ini ada ura-ura hanya “perbahasan” dibenarkan dalam Parlimen? Bagaimana pula dengan kuasa mengundi wakil rakyat?

Suara-suara NGO, syarikat-syarikat milik kerajaan dan swasta, doktor, peguam dan golongan professional, warga pekerja serta pihak-pihak berkepentingan yang lain juga turut menuntut supaya perjanjian ini melalui proses ratifikasi parlimen bagi memastikan perjanjian tersebut benar-benar menguntungkan rakyat, dan tidak membawa bencana. Ratifikasi parlimen yang dimaksudkan adalah proses perbahasan dan pengundian dalam kadar masa yang mencukupi.

Saya sedari bahawa menurut perlembagaan negara dan peruntukan undang-undang; mana-mana perjanjian perdagangan negara hanya memerlukan kelulusan Jemaah Menteri.

Pun begitu, Perdana Menteri di APEC pada 2013 berjanji membawa perbahasan dan pengundian TPPA di Parlimen. Harus diingat perbahasan dan pengundian TPPA wajib berjalan dengan penuh keterbukaan dan bukanlah mengejar masa 90 hari – seraya mengiyakan dakwaan “rubberstamp parliament”.

Semua 222 wakil rakyat perlu mengambil serius perjanjian TPPA dan meneliti serta mengambil maklum balas daripada rakyat di kawasan-kawasan mereka. Isu TPPA merentasi politik kepartian dan perkauman dan adalah penting bahawa setiap wakil rakyat membahas dan membuang undi dengan teliti. Diharapkan ahli parlimen daripada UMNO/BN tidaklah hanya akan menuruti secara buta arahan cambuk parlimen nanti. Rakyat akan menuntut untuk tahu setiap undi setiap 222 wakil rakyat di Parlimen.

Sekiranya setiap ahli kongres Amerika Syarikat diberikan hak untuk mengundi sama ada menyokong atau tidak perjanjian TPP dalam badan penggubal undang-undang mereka, Malaysia mestilah memberikan hak yang sama kepada Ahli-ahli Parlimen yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk melindungi kepentingan negara.

Suara rakyat Malaysia perlu didengar dan dihormati.

Kabinet tidak boleh dipercayai bulat-bulat dengan tanggung jawab ini yang akan memberikan kesan kepada masa depan sosioekonomi rakyat Malaysia. Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik perlu dibawa dibawah pengawasan Parlimen!

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH JPRP KEADILAN