Skip to main content

  •  JPM tiada respon munasabah bagi isu kesan perubahan kadar faedah terhadap kaedah pembiayaan pembangunan MRT.
  •  MRT unik kerana kos pembangunan dibiayai oleh hasil jualan bon, yang terdedah kepada perubahan kadar faedah domestik.
  • Sungguhpun tanpa jawapan meyakinkan, usul saya untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Pengangkutan Awam Darat ditolak.
  • JPM diberi kuasa yang sangat luas dalam hal ehwal pengangkutan awam darat Semenanjung tetapi tidak seimbang dengan kepakaran dan pengalaman yang diperlukan.
  • Sekiranya kerajaan sendiri tidak jelas tentang kesan kenaikan kadar faedah terhadap kos pembiayaan projek MRT, akhirnya para pengguna bakal dimangsakan melalui kenaikan tambang MRT.

Satu soalan telah saya ajukan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mendapatkan kepastian tentang impak naik turun kadar faedah di Malaysia terhadap struktur tambang MRT. Projek MRT adalah unik kerana kos pembinaan dibiayai oleh hasil jualan bon yang diterbitkan oleh DanaInfra Nasional Berhad, sebuah “Infrastructure Financing Entity” milik penuh MOF Inc.

Namun, apa yang amat mengecewakan, Dato’ Sri Nancy Shukri, salah seorang Menteri di JPM telah memaklumkan bahawa mana-mana isu pembiayaan menerusi bon hanya boleh dijawab oleh Menteri Kewangan. Strategi mengalihkan kewajipan kepada kementerian lain ini amat sukar diterima kerana SPAD yang bertanggungjawab bagi semua perkara berkaitan pengangkutan awam darat di Semenanjung Malaysia termasuk struktur tambang, tidak kira apa jua kaedah pembiayaan pembangunan projek, terletak di bawah bidang kuasa JPM.

MRT berbeza dengan LRT dan ERL di mana pembiayaan pembangunan projek ditanggung oleh pemegang konsesi melalui satu perjanjian konsesi berat sebelah yang secara umumnya sangat merugikan kerajaan dan membebankan rakyat. Kenaikan melampau tambang bagi kedua-dua sistem rel bandaraya tersebut pada hujung tahun 2015 merupakan peringatan terbaik akan bahana perjanjian konsesi yang dirunding secara rahsia. Meskipun projek MRT tidak lagi dibelenggu oleh terma dan syarat perjanjian konsesi, ia bukanlah tanpa risiko memandangkan terbitan bon amat terdedah kepada perubahan kadar faedah domestik.

Khususnya, lonjakan kadar inflasi bagi bulan Februari 2017 ke 4.5%, paras tertinggi dalam lapan tahun meningkatkan kemungkinan kadar faedah penanda aras negara terpaksa dinaikkan dalam masa jangka masa pertengahan untuk mengekang inflasi daripada memberi tekanan kepada ekonomi Malaysia. Kemungkinan ini mendorong saya bertanya adakah sebarang kenaikan kadar faedah di Malaysia yang sudah semestinya akan meningkatkan kos pembiayaan secara umum termasuk kadar kupon bon (atau kadar pulangan atas pendapatan dijana oleh aset asas bagi bon Islamik) terbitan baharu boleh akhirnya mengakibatkan tambang MRT disemak naik? Sekiranya kerajaan telah menjalankan analisa sensitiviti atau sebarang kajian lain yang berkenaan terhadap perubahan kadar faedah ini serta kesannya ke atas struktur tambang MRT, bilakah dapatan sebarang kajian ini boleh diteliti oleh rakyat?

Dalam sesi parlimen kali ini juga, JPM telah menolak usul saya untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Pengangkutan Awam Darat di Malaysia. Dalam jawapan bagi usul tersebut, YB Nancy Shukri telah membangkitkan satu rasional – pemisahan kuasa di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman adalah mencukupi untuk menjamin agar tiada pihak akan teraniaya dalam pembangunan pengangkutan awam. Secara tidak langsung, ini memberi gambaran bahawa kerajaan atau lebih spesifik JPM tidak rela segala hal-ehwal pengangkutan awam termasuk perkara dasar, pentadbiran am, perbelanjaan dan sebagainya dikawal selia secara bersama dengan satu badan bebas lantikan Parlimen.

Jawapan Nancy Shukri kepada soalan terbaharu saya ini juga seolah-olah memberi signal bahawa JPM diberi kuasa yang sangat luas dalam hal ehwal mengenai MRT tetapi tidak seimbang dengan kepakaran dan pengalaman yang diperlukan untuk menangani segala isu berkaitan pengangkutan awam. Saya bimbang sekiranya kerajaan sendiri tidak jelas tentang kesan kenaikan kadar faedah terhadap kos pembiayaan projek MRT, akhirnya para pengguna khususnya warga Lembah Kelang yang bakal menjadi mangsa melalui tambang MRT yang melambung tinggi. Apa yang terjadi terhadap LRT pada hujung tahun 2015 sepatutnya dijadikan iktibar.

Memandangkan Menteri di JPM sendiri tidak mampu memberi respon munasabah dan meyakinkan bagi isu berkaitan risiko dan kesan perubahan kadar faedah terhadap kos pembiayaan pembangunan projek dan seterusnya terhadap tambang MRT, ternyata tiada justifikasi bagi projek MRT diletakkan di bawah kuasa penuh Jabatan Perdana Menteri sahaja. Justeru, ingin saya tegaskan betapa pentingnya satu Jawatankuasa Pilihan Pengangkutan Awam Darat ditubuhkan untuk mengawal selia dan berganding bahu menjayakan projek mega demi keselesaan dan kebajikan rakyat.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN