Skip to main content
MediaPress Release

Harapan Baru: KeADILan Terus Mara

By 3 December, 2008February 18th, 2020No Comments

Malam Ahad yang lalu (01 Disember 2008), sekali lagi saya telah berpeluang menjadi tetamu jemputan untuk program Sudut Pandang di saluran Astro Awani. Ribuan terima kasih saya kalungkan kepada Sdr. Kamarul Bahrin Haron selaku penerbit dan pengacara program Sudut Pandang. Temu bual yang berlangsung selama 30 minit itu secara keseluruhannya berkisarkan tentang rumusan perjalanan Kongres Nasional PKR 2008 yang telah berlangsung dari 28-30 November 2008 yang lalu di Shah Alam. Saya berbesar hati kerana dipilih sebagai tetamu jemputan dalam pada kita membicarakan tentang Harapan Baru selepas tsunami politik 08 Mac.

Pemilihan tema Harapan Baru untuk kongres tahun ini sesungguhnya membawa pengertian yang mendalam bagi seluruh anggota dan pimpinan keADILan. Tema ini membawa mesej yang jelas bahawa keADILan begitu bersungguh-sungguh dalam mengangkat dan merealisasikan harapan rakyat Malaysia yang bukan sahaja mahukan perubahan dalam landskap politik negara yang sudah uzur, tetapi juga Harapan Baru itu mencakupi seluruh aspek kehidupan yang tuntas dengan ajaran Islam serta keluhuran agama-agama lain.

KeADILan juga peka dalam memastikan kebajikan rakyat terbela dan dilindungi terutamanya di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Contohnya di Negeri Selangor, kita dapat saksikan bagaimana pemberian air secara percuma (tiada caj air dikenakan kepada 20 meter kubik yang pertama.) Begitu juga dengan cadangan menaikkan elaun guru KAFA yang telah dipersetujui sebulat suara. Ini sekaligus membuktikan bahawa kerajaan-kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat serius dalam memperjuangkan nasib rakyat terbanyak dan tidak meminggirkan golongan yang memerlukan. Saya juga melihat kongres baru-baru ini sebagai satu ruang untuk pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menterjemahkan usaha-usaha dan pencapaian mereka supaya rakyat tahu, perubahan sedang berlaku di kawasan mereka.

Dalam pada masa yang sama, saranan Ketua AMK yang meminta diserap lebih ramai anak muda di dalam pentadbiran parti, perlu dilihat dari sudut yang positif. Semenjak awal penubuhannya, KeADILan dilihat sebagai platform anak muda dalam memperjuangkan agenda mereka selama ini. KeADILan sangat mengalu-alukan penyertaan anak muda yang berkelayakan di dalam jentera pentadbiran dan pemerintahan parti. Saranan ini seharusnya perlu dilihat dari perspektif perjuangan di mana ia di akhirnya akan memperkasakan sistem tadbir urus. Kami mahu lari dari imej seperti yang ditonjolkan oleh UMNO dan Barisan Nasional yang hanya membuka peluang kepada kaum keluarga dan pihak-pihak yang berkepentingan sahaja. Apa yang KeADILan cuba tonjolkan adalah satu sistem yang membuka ruang dan peluang sama rata kepada semua rakyat berdasarkan kelayakan dan kesaksamaan.

Saya juga berpeluang menyentuh mengenai permuafakatan antara pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Saya tegas menyatakan bahawa itu hanya boleh berlaku jika ada kemahuan dan kerjasama dari kedua-dua pihak. Jika sesuatu usul itu mendukung prinsip keadilan sejagat, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian. Kita dapat lihat bagaimana usul yang dikemukakan oleh Dr. Mohd Puad Zakarshi (BN-Batu Pahat) bagi menangguhkan sidang Parlimen agar membincangkan mengenai keganasan terbaru rejim Zionis di Gaza, telah disokong oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh.