Skip to main content
GSTPenerbitanSosio Ekonomi

JANGAN RISAU! GST KAN ADA

By 18 June, 2014February 5th, 2021No Comments

Pada Jun 2013, Timbalan Menteri Kewangan  telah membuat sebuah kenyataan bahawa hanya 1 juta daripada 4 juta orang yang mempunyai fail di Lembaga Hasil Dalam Negeri diklasifikasikan sebagai pembayar cukai.

 1 juta daripada jumlah pekerja sebanyak lebih kurang 12 juta. Kalau mengikut kenyataan beliau, ini bermakna tidak sampai 10 peratus daripada pekerja Malaysia diklasifikasikan pembayar cukai! Bandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, di mana dijangkakan setinggi 57 peratus daripada jumlah isi rumah membayar cukai pendapatan persekutuan, sementara 29 peratus daripada isi rumah membayar cukai “payroll” .

Angka yang kecil ini sebenarnya tidaklah begitu mengejutkan, apatah lagi dengan laporan daripada pelbagai agensi yang meletakkan kadar gaji dan upah yang diterima oleh rakyat Malaysia adalah begitu rendah sekali. KWSP pernah melaporkan bahawa sekitar 78 peratus daripada pencarum mempunyai gaji kurang daripada RM3000 sebulan!

Hakikat ini menyedihkan walau tidak menghairankan kita; terutama bila melihat kepada perancangan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menganggarkan peratus gaji daripada KDNK akan turun dari 28 peratus kepada hanya 21 peratus menjelang 2020.

Ternyata, Malaysia tidak mempunyai pembayar cukai yang cukup untuk menampung perbelanjaan serta hutang kerajaan persekutuan yang semakin bertambah – gara-gara perbelanjaan serta pemberian tender terus lagi boros.

Akhirnya,  Kerajaan ketandusan idea bagaimana untuk menaikkan taraf kehidupan rakyat Malaysia seraya mencipta pembayar-pembayar cukai yang lebih ramai

Justeru –  cara mudah bagi kerajaan  menyelesaikan masalah ini adalah dengan mengutip cukai secara borong – Hinggakan warga miskin berpendapatan rendah pun tidak terkecuali – Inilah dipanggil cukai regresif, cukai GST!

Dua minggu lepas saya diberikan peluang untuk ke United Kingdom, untuk bertemu dengan beberapa Ahli Parlimen negara tersebut.

Bagaimanapun, pada saya kemuncak lawatan saya ke negara tersebut ialah jemputan memberikan syarahan serta sesi soal jawab dengan pelajar-pelajar yang sedang menimba ilmu di Britain. Terdetik juga persoalan sama ada mereka yang berbakat besar ini akan kembali ke tanahair untuk berkhidmat.

Laporan Bank Dunia  2011 menyatakan sebanyak 20 peratus daripada graduan Malaysia meninggalkan negara untuk mencari peluang yang lebih baik di negara lain, dengan Singapura menjadi pilihan utama destinasi mereka.

Mereka yang meninggalkan tanahairku pula diganti dengan pekerja-pekerja asing yang tidak mempunyai pendidikan tinggi atau berkemahiran.

Laporan Bank tersebut juga telah melaporkan bahawa punca utama mengapa ini berlaku ialah kerana gaji dan faedah-faedah yang diterima oleh pekerja di Malaysia jauh lebih baik di negara-negara maju.

Universiti Stanford dalam sebuah kertas memberikan contoh, seorang graduan Sains Komputer berpeluang untuk menerima gaji permulaan lebih kurang USD$50,000 di Amerika Syarikat, sementara di Malaysia, kadangkala tidak sampai USD$10,000.

Realiti ini semakin menekan dengan harga-harga keperluan seperti kereta yang begitu tinggi sekali, yang menyebabkan kehidupan rakyat semakin tersepit; sementara Pengangkutan awam masih menunggu pelaksanaan yang menyeluruh dan lengkap.

Pengenalan cukai yang regresif seperti GST dalam keadaan negara yang belum lagi bersedia untuk cukai sebegitu akan memberikan kesan yang amat besar kepada rakyat jelata. Ada yang mengatakan bahawa negara-negara maju tersebut juga mengamalkan GST atau VAT (Value Added Tax) seperti di Singapura, tetapi adakah mereka mengambil kira nisbah gaji berbanding KDNK negara tersebut yang sudahpun berada pada sekitar 42 peratus pada tahun 1997?

Kita bakal menempuh 21 peratus sahaja!

Kerajaan tidak boleh terus-menerus menekan rakyat dengan mengekalkan polisi gaji yang rendah untuk menarik pelabur untuk melabur dalam negara. Telah tiba masa untuk Malaysia berfikir bagaimana untuk menarik minat pelabur tanpa mengorbankan kehidupan rakyat Malaysia.

Garis paras kemiskinan yang ditakrifkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti adalah pada sekitar RM830, sementara gaji minima di Semenajung adalah pada RM900 sementara di Sabah dan Sarawak adalah pada RM800. Bagaimana mungkin rakyat dapat mengeluarkan diri mereka dari kepompong kemiskinan sekiranya polisi-polisi kerajaan hanya melebihkan para kroni kapitalis semata-mata?

Pakatan Rakyat menyedari keadaan ini semasa merangka manifesto pada Pilihanraya Umum ke 13 tahun lepas. Gaji minimum yang tinggi mesti dikuatkuasakan untuk meningkatkan kuasa membeli dan menambah pendapatan boleh guna rakyat; kita juga menolak pelaksanaan GST sehingga Taraf hidup Rakyat dipertingkat, rasuah disekat!

Pokoknya, kerajaan mestilah mempunyai keazaman untuk membantu rakyat untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Suatu anjakan paradigma perlu berlaku untuk memberikan bahagian yang lebih adil kepada pekerja. Kerajaan tidak boleh mengambil jalan pintas untuk menambahkan keuntungan kepada negara, Sebarang usaha yang dilakukan perlulah mendahului rakyat. Dan usaha bicara potongan subsidi petrol buat Rakyat, sebelum memotong subsidi untuk syarikat IPP dan yang sewaktu dengannya!

Ingatlah, dengan GST, Rakyat miskin juga binasa!