Skip to main content
Education

Jawapan Menteri tentang soalan saya di Parlimen–mengenai kontrak sosial

By 11 November, 2010February 5th, 2021No Comments

Berkenaan dengan soalan sama ada kontrak sosial yang wujud ketika merdeka diiktiraf oleh kerajaan sebagai satu kontrak rasmi, dimaklumkan bahawa istilah “kontrak sosial” merupakan satu konsep yang bersifat politik. Di Malaysia, terma “kontrak sosial” membawa erti bahawa ia adalah hasil daripada kompromi antara etnik Melayu, Cina dan India mengenai hak bersama dan masing-masing, kedudukan istimewa dan persetujuan di antara raja-raja melayu dengan British bagi mewujudkan suatu kerajaan dengan sistem demokrasi, beraja, bersekutu(federal) serta tidak teokratik.

Kontrak sosial tersebut telah diterjemahkan ke dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yg merupakan undang-undang utama negara. Justeru, kontrak sosial tersebut merupakan suatu kontrak rasmi yang mengikat dan perlu dipatuhi oleh rakyat.

Untuk makluman yg berhormat, draf Perlembagaan Persekutuan telah digubal oleh Suruhanjaya Reid berdasarkan beberapa siri pendengaran awam di seluruh negara
dan maklumat yang diterima daripada pelbagai persatuan dan orang perseorangan yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Draf perlembagaan persekutuan tersebut dikemukakan kepada Her Majesty the Queen dan majlis Raja-raja Melayu pada 21 februari 1957. Sejurus itu satu Working Party telah ditubuhkan di Persekutuan bagi mengkaji draf Perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid tersebut. Kemudian, working party tersebut (melalui white
paper) telah mengemukakan beberapa cadangan pindaan dibuat terhadap draf perlembagaan tersebut kepada Majlis Raja-Raja dan Federal Executive Council.
Cadangan pindaan yang dibuat melalui White Paper antara lainnya memasukkan peruntukan mengenai tanggungjawab Yang Dipertuan Agong bagi melindungi kedudukan istimewa orang melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk makluman Yang Berhormat, Perlembagaan Persekutuan yang ada kini adalah hasil draf Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid dan beberapa peruntukan yang dipinda melalui White Paper seperti yang dinyatakan di atas.

Berdasarkan beberapa siri rundingan yg berlangsung dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan, perkara-perkara seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, pemeliharaan tanah rizab melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat resam serta
pengagihan jawatan dalam kerajaan telah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan. Bahasa Melayu juga telah dipersetujui sebagai bahasa kebangsaan manakala kaum Cina dan India masih boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai perantara
komunikasi tidak rasmi.

Pemimpin Cina dan India juga menuntut agar kewarganegaraan yang diberikan menjadi suatu hak yang tidak boleh dibatalkan(could not be annulled). Mereka juga menuntut supaya mereka boleh mengekalkan bahasa, agama dan budaya dan sebagai warganegara, mereka menuntut supaya mempunyai hak yang sama dari segi politik warganegara yang lain.

Semua persetujuan ini dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagi setiap perkara yang diberikan kepada kaum Melayu terdapat juga peruntukan yang diberikan kepada kaum bukan melayu

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, selepas Rukun Negara diisytiharkan, kerajaan telah mengambil langkah meminda Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (pindaan) 1971 [Akta A30]. Akta A30 antara lainnya telah memasukkan Fasal (4) Perkara 10 ke dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengenakan sekatan kepada semua orang daripada Perlembagaan Persekutuan bagi mengenakan sekatan kepada semua orang daripada mempersoalkan keistimewaan yang diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan demi menjamin keamanan dan keselamatan Persekutuan. Fasal (4) Perkara 10 ini juga dimasukkan untuk mengingatkan kepada semua rakyat di Malaysia supaya tidak mempertikaikan terma kontrak sosial yang dipersetujui sebelum merdeka.

Seterusnya Mahkamah juga telah mengesahkan kedudukan kontrak sosial ini seperti dalam kes Mark Koding v Public Prosecutor (1982) 2 MLJ 120. Dalam kes tersebut, Mahkamah Agung telah menjelaskan bahawa terma kontrak sosial yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan demi menjamin keamanan negara.

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai