Skip to main content
4 APRIL 2022
Hari ini, hari bersejarah; hari ulang tahun kelahiran KEADILAN (Parti Keadilan Rakyat); daripada sebuah gerakan persada NGO yang diberi nama ADIL sehinggalah wadah politik yang dinamakan KEADILAN.
Perjuangan dua dekad yang bermula melawan fitnah serta konspirasi jahat ini telah mendewasakan kita dengan banyak perkara – dengan satu peringatan hakiki iaitu kewajipan menolak budaya gangsterisme dan politik kotor (gutter politics).
Budaya sebegini tidak boleh dibiar terus berakar; sebaliknya kita kembali menyatukan semua hati serta usaha menumpukan kepada kelangsungan sosio ekonomi rakyat dan pembaharuan demokrasi.
Dalam politik dan kehidupan, sebagai insan biasa – benar, kita tidak boleh lari daripada perbezaan pandangan mahupun konflik. Namun, sebagaimana diingatkan oleh karya Almarhum Sheikh Dr Taha Jabir al Alwani, berjudul “Adab al Ikhtilaaf” – walau berdepan dengan perselisihan, kita sebagai insan hendaklah berperilaku berlandaskan ilmu dan adab yang tertinggi dengan semangat persaudaraan dan solidariti. Disiplin organisasi inilah yang wajar dipraktikkan sebagai ahli-ahli KEADILAN – tidak kira pangkat mahupun kedudukan.
Hari ini, 23 tahun selepas kelahiran KEADILAN, saya menyeru agar kita kembali memperingati idealisme kita bersama. Kita harus sedar betapa besar amanah yang dipikul – kita bukan sekadar terikat dengan tanggungjawab kepada parti – tetapi bagaimana parti mampu memandu perubahan bermakna di negara kita supaya kebajikan rakyat dapat diperbaiki dengan perlumbaan pilihanraya umum sekadar perlumbaan fastabiqul khairat (berlumba- lumba mengejar kebaikan). Inilah medan pilihan kita bersama.
Pemilihan parti bukanlah satu-satunya yang mampu menzahirkan kejayaan sebarang usaha yang bermakna. Di sebalik batasan struktur dan perebutan jawatan parti, hakikatnya, terdapat perjuangan yang lebih besar yang harus kita tumpukan.
Kita memerlukan pelbagai wadah untuk menarik minat orang ramai ke arah perubahan; inilah yang sedang saya dan rakan-rakan usahakan menerusi Ayuh Malaysia. Siri kekalahan pilihan raya dan kekecewaan yang mendalam terhadap politik dan ahli politik seharusnya memperbaharui azam kita untuk memperbaiki langkah bagi mendesak perhatian kepada kelangsungan sosioekonomi dan pembaharuan demokrasi rakyat.
Ayuh Malaysia memperjuangkan beberapa teras dasar utama: memastikan keselamatan dan kedaulatan makanan, menggubal dasar perubahan iklim yang mampan, memperkasakan belia dan institusi TVET kita, dan melindungi masa depan wanita dan anak-anak Malaysia.
Sudah tiba masanya untuk pembaharuan regenerasi. Ini usaha kita bersama.
Ayuh! Sertai kami di:
𝗔𝗬𝗨𝗛 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔!
NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Permatang Pauh
Ketua Cabang KEADILAN Permatang Pauh