Skip to main content

Kes mendiang T. Nhaveen dan arwah kadet Zulfarhan Osman yang terkorban akibat jenayah buli sepatutnya menjadi anjakan paradigma kepada kerajaan memperkemaskan sistem institusi pendidikan daripada jenayah buli. Kerajaan seharusnya tidak bergantung kepada program-program anti buli yang bersifat sementara berbanding akta anti buli yang memberi jaminan perundangan dalam jangka masa panjang.

Maka, saya masih menanti kesediaan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menerima cadangan mewujudkan Akta Anti-Buli yang telah saya bawakan sewaktu sesi Kamar Khas semalam.

Alasan yang diberikan Kementerian adalah penurunan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) bagi tahun 2012 hingga 2016 sebanyak 0.02 peratus; walau rekod yang ada tidak menggambarkan kejadian jenayah buli yang berlaku di sekolah. Penurunan dari segi statistik dan ketiadaan kes bunuh akibat buli yang diberikan oleh kerajaan bukanlah satu alasan munasabah untuk menolak cadangan menggubal akta anti-buli.

 

Akta anti-buli boleh memberi kesan perundangan yang jelas kepada pembuli dan mangsa buli, khususnya di sekolah. Undang-undang seperti ini dapat menyediakan satu peraturan dan garis panduan yang khusus dalam menangani jenayah buli di institusi pendidikan. Ibu bapa dan pelajar juga mempunyai hak secara jelas sekiranya terlibat dengan jenayah buli.

Keselamatan pelajar juga dapat dijamin melalui kewujudan akta anti buli. Terdapat 11 buah negeri Amerika Syarikat seperti Colorado dan Arkansas meluluskan undang-undang anti buli bagi mewujudkan suasana kondusif dan selamat di sekolah. Sekiranya akta anti buli ini diwujudkan, maka pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Malaysia mempunyai tanggungjawab yang jelas dalam memastikan persekitaran sekolah selamat untuk pelajar.

Sebuah aplikasi atas talian untuk melaporkan jenayah buli di sekolah mahupun orang awam perlu dibangunkan oleh kerajaan. Aplikasi ‘Anonymous Alert App’ yang diperkenalkan di Toronto, Kanada membantu 30, 000 pelajar dan 32 buah sekolah dan orang awam melaporkan jenayah buli secara pantas kepada pihak berkuasa. Trend ini bersesuaian dengan pelajar, anak muda dan orang awam yang majoritinya menggunakan telefon pintar. Perkara ini lebih baik berbanding peti aduan sekolah yang hanya dikumpul laporannya dua kali sebulan.

Pindaan Tatacara Disiplin Murid Peraturan-Peraturan (Disiplin Sekolah) 1959 perlu menjadi usaha awal mencegah jenayah buli dalam kalangan pelajar sekolah. Tidak munasabah sekiranya kerajaan mencegah jenayah buli ketika usia melangkaui umur 18 tahun. Oleh sebab itu, akta anti buli ini perlu diperkenalkan bagi memastikan jenayah buli di sekolah mahupun di ruang awam dapat dibenteras.

Selain itu, klausa mengenai mencegah jenayah buli dimasukkan dalam Akta Kanak-Kanak (Pindaan 2016) dan jenayah seksual. Langkah ini dapat memastikan hak kanak-kanak yang dimaksudkan dalam akta tersebut mendapat pembelaan yang setimpal.

Saya percaya pihak Kementerian mampu melunaskan pewujudan Akta ini sekiranya mahu penegasan tuntas melawan gejala buli. Setiap kes buli yang menimpa seorang insan kecil merupakan serangan terhadap kita semua.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai