Skip to main content
MediaPilihanrayaPress Release

Kenyataan akhbar berkenaan perlantikan Pengerusi baru SPR

By 12 November, 2008February 18th, 2020No Comments

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia kini akan diterajui oleh Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang akan menanggung beban masalah badan tersebut selama ini termasuklah isu kehilangan nama pengundi dalam daftar pemilih, dan pembatalan penggunaan dakwat kekal sejurus sebelum pilihanraya umum pada Mac lalu.

Sebagai salah seorang pengundi yang mewakili aspirasi pengundi muda pada PRU yang lalu, saya mengharapkan agar perlantikan Tan Sri Abdul Aziz ini dapat mengembalikan semula integriti SPR. Diharapkan beliau dapat memandang serius isu-isu yang telah dibawa oleh BERSIH, sebuah gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil dan parti-parti politik dengan matlamat utama untuk memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil di Malaysia. Antara isu yang perlu diberi perhatian oleh beliau adalah mengenai pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik.

Dilaporkan pada PRU yang lepas, sejumlah 4.9 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tidak mendaftar dan salah satu sebabnya ialah kerana tiada mekanisma pendaftaran pemilih secara automatik. Ada di antara kita yang mendaftar setelah tempoh pendaftaran SPR tamat, tidak dapat mengundi.

Justeru langkah pertama yang perlu dilakukan oleh SPR yang akan diterajui oleh Tan Sri Abdul Aziz kelak adalah mencari penyelesaian dengan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik. Dan tidak salah jika kita menggunakan khidmat wakil-wakil rakyat dari semua parti untuk berkempen dalam meningkatkan kesedaran politik di kalangan golongan muda. Adalah penting bagi golongan ini menyedari tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Selain itu juga, diharapkan isu-isu yang seringkali timbul sewaktu pilihanraya dapat diselesaikan dengan segera di bawah pentadbiran beliau. Ini termasuklah aduan mengenai pembelian undi, isu pengundi hantu dan kehilangan nama di dalam daftar pemilih.

Saya mengalu-alukan perlantikan Tan Sri Abdul Aziz sebagai Pengerusi SPR yang baru dan berharap beliau dapat mengembalikan integriti SPR sebagai sebuah suruhanjaya bebas, telus dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik yang berkepentingan.

Nurul Izzah binti Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai