Skip to main content
Penerbitan

Kerajaan Main-Main Rugikan Negara

By 18 July, 2012February 5th, 2021No Comments

Seringkali orang tua berpesan kepada anak-anak ‘Jangan Main-Main’ apabila menyentuh perkara-perkara penting yang memerlukan tumpuan, tanggungjawab dan sikap serius seperti pelajaran, kewangan, kesihatan malah perkahwinan.

Menyaksikan pentadbiran yang lebih berminat ‘main-main’ daripada ‘bertekun dan bertanggungjawab’ semasa mentadbir negara yang sedang di ambang krisis ekonomi, krisis demokrasi dan krisis perpaduan, sudah tiba masanya kerajaan itu digantkani.

Setelah 55 tahun ‘main-main’, negara harus didewasakan, demokrasi dianjakkan dan politik yang matang untuk membawa negara ke tahap yang lebih tinggi dan lebih dimuliakan. Namun demikian, terdapat beberapa perkara yang masih membelenggu rakyat dan negara.

Enam ‘permainan’ kerajaan terhadap rakyat adalah bermain angka, bermain demokrasi, bermain duit, bermain perasaan, bermain nyawa dan bermain kotor.

Bermain angka: badan-badan kerajaan yang beroperasi di atas kepercayaan rakyat menunjukkan prestasi kurang baik dalam menjalankan amanah yang diberikan. Antara contoh adalah unjuran pertumbuhan KDNK sering tersasar dari angka yang diuar-uarkan. Pentadbiran juga gemar berdolak-dalik tentang ketetapan tertentu seperti belanjawan tambahan yang dipinta supaya dapat mengukuhkan kedudukan politikus dan bukan memangkinkan kedudukan rakyat.

Perkara-perkara seperti perangkaan jenayah yang dipersoalkan kredibiliti seolah-olah hanya ingin memberikan escapisme kepada rakyat supaya bebas dari realiti yang sebenarnya. Harga di pasaran pengguna yang hampir 30% dikawal dihadapkan dengan kadar inflasi ‘sebenar’ iaitu 8%. Terkini, hampir 95,000 graduan tanpa pekerjaan berbanding 34,000 pada tahun 2008.

Mempermainkan demokrasi: Kebergantungan demokrasi kepada undang-undang terjejas dengan sikap ‘flip-flop’ pentadbiran kian usang ini. Transformasi dijanjikan adalah kepalsuan semata-mata; sebuah aksi silap mata yang memuaskan tetapi sebenarnya adalah satu kelakuan kerang-keroh yang memperdayakan. Perlaksanaan permintaan rakyat supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan iganti pula dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas, atau SOSMA) yang lebih menekan dan menindas hak rakyat. Bak kata pepatah, keluar dari mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) juga tidak dimansuhkan sepenuhnya, menghalang hak untuk berkongsi pendapat bersama-sama satu sama lain. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih membelenggu serta memangsakan mahasiswa dengan cara menyekat kebebasan intelek dan pembangunan diri.

Bermain dengan wang: Skandal-skandal seperti isu salahguna wang National Feedlot Corporation (NFC), amalan kronisme ketika SELEX Sistemi Integrati diberi kontrak naiktaraf sistem kawalan udara, konsesi Lebuhraya KIDEX yang diberi kepada syarikat kroni dan isu Port Klang Free Zone (PKFZ) harus diberi perhatian. Hutang negara di tahap membimbangkan (hampir 55% KDNK) walaupun dikatakan berada pada paras yang boleh diterima, bagaimana dengan liabiliti luar jangka dan ketirisan disebabkan pergerakan dana ke luar negara? Oleh itu, permainan duit oleh pentadbiran ini semakin menggamit kestabilan ekonomi masa hadapan. Usaha menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings dan mengongsikan ‘durian runtuh’ bersama peneroka FELDA merupakan permainan silap mata oleh pihak pentadbiran yang tidak berkongsi bahagian milik peneroka dengan adil.

Mainan perasaan: Rakyat dimomokkan hasutan pihak-pihak yang ingin mengekalkan kuasa ke atas rakyat. Tidak cukup dengan fitnah dan benci kesumat, terdapat politik ketakutan, hasutan dan fitnah. Semakin jelas cubaan untuk menanam rasa benci sedangkan pemarginalan antara rakyat adalah perkara yang ingin dielakkan oleh semua. Akta Hasutan yang kononnya dimansuhkan sebenarnya dilabel semula dan ditokok tambah menjadi Akta Harmoni Kebangsaan.

Mempermainkan nyawa: Disebabkan amalan terbiasa memenuhi nafsu sesetengah pihak, keselamatan rakyat dan negara dipertaruhkan. Sifat mementingkan nafsu terpantul ketika rahsia negara tergadai di dalam isu kapal selam Scorpene baru-baru ini. Pembida yang sebelumnya tidak layak di pusingan awal pemilihan dihadiahkan Projek LRT Ampang, mempersendakan keselamatan rakyat. Tidak cukup menggadai keselamatan di paras laut, pentadbiran ini juga memperlekehkan keselamatan ruang udara negara melalui penyelengaraan Sistem Radar Kawalan Udara yang diakui secara bersurat oleh pengendali bahawa ia masih mempunyai potensi mengundang gangguan-gangguan teknikal merbahaya.

Main kotor: BN semakin sinonim dengan cara mempraktikkan budaya samseng dan mengeksploitasi ISA untuk kepentingan politik sendiri. Pilihan raya belum lagi di tahap adil dan bersih, dan perkara ini semakin jelas dengan adanya jentera kerajaan seperti Utusan Malaysia yang memutarbelitkan fakta dan kebenaran terhadap pembangkang; menjadi prinsip dan amalan wartawan propaganda dan pelapor berita tersebut.

Kita mesti bertindak sebelum semua permainan ini merugikan dan menggelapkan masa depan negara dan memastikan tidak dipermainkan masa hadapan kita semua!

(Kali pertama disiarkan di Sinar Harian pada 17 Julai 2012)