Skip to main content

Saya kecewa apabila kerajaan menolak cadangan saya menerusi usul di dalam kamar khas untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan parlimen untuk menyelia perkhidmatan pengangkutan awam darat yang menjadi nadi kepentingan rakyat Malaysia. Pada hari yang sama PM Najib mengelirukan rakyat apabila beliau menyeru agar projek ECRL tidak dipolitikkan. Nampaknya, PM Najib tidak tahu membezakan kepentingan politik sendiri daripada urus tadbir telus. Cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa saya bangkitkan untuk memastikan pelaburan dana dalam pengangkutan awam seiring dengan perkembangan ekonomi. Tuntasnya, kerajaan Najib Razak tidak komited dalam menambah baik pengangkutan awam berdasarkan harapan rakyat secara terbuka dan telus.

Pertamanya, badan-badan yang sedia ada di Malaysia, seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), terbukti tidak mampu untuk memantau sistem pengangkutan awam darat Malaysia secara adil.

Untuk menolak cadangan saya, kerajaan mendakwa bahawa pemisahan kuasa di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman akan menjamin agar pembangunan pengangkutan awam tidak akan dianiaya. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan mendakwa bahawa SPAD telah ditubuhkan demi penambahbaikan pengangkutan awam dan mempunyai fungsi penyiasatan.

Apa yang pasti; Legislatif, eksekutif dan kehakiman yang diungkapkan oleh Datuk Seri Nancy sebagai pengasingan kuasa hanya pada nama sahaja. Realitinya adalah sebaliknya, iaitu apabila SPAD masih tidak bebas dan bersifat bias. SPAD bertanggungjawab memantau tapi masih di bawah bidang kuasa Perdana Menteri sendiri. Bahkan Pengerusi dan Ketua Pengarah SPAD dibawah lantikan yang dipilih oleh kerajaan Perdana Menteri, bukan rakyat.

Ekoran itu, agak janggal untuk mencapai ketelusan, apabila pihak lantikan kerajaan sendiri yang menyiasat projek-projek yang dikendalikan oleh kerajaan.

Atas semangat demokrasi, sewajarnya wakil rakyat yang telah dipilih mewakili rakyat diberi peluang untuk memperjuang dan melindungi kepentingan rakyat berkenaan keselamatan pengangkutan awam, mahupun kos pembinaan infrastruktur yang melambung tinggi.

Saya percaya, ramai wakil rakyat, sama ada dari pembangkang atau kerajaan bersetuju dengan saya bahawa kerajaan sendiri gagal meyakinkan kita berkenaan peruntukan RM53 bilion untuk KVMRT itu, apakah ia anggaran yang terkini atau sengaja dilambungkan. Keraguan ini wujud, apabila pada tahun 2009, dinyatakan peruntukan asal bagi projek MRT sebanyak RM40 bilion. Lalu, pada Disember 2016, KVMRT memaklumkan perbelanjaan meningkat sebanyak RM13 bilion, iaitu menjadi sebanyak RM53 bilion. Bahkan, setelah dibangkitkan pihak pembangkang, kerajaan memberikan jawapan bahawa perbelanjaan tambahan disebabkan perbezaan harga antara 2009 dan sekarang tanpa penjelasan terperinci. Seakan-akan ada sesuatu yang mahu disembunyikan oleh kerajaan dari pengetahuan rakyat.

Kami bimbang wujud ketirisan. Yang kami minta adalah ketelusan dalam pengurusan dana negara; Dana hasil dari cukai rakyat bawahan.

Kerajaan mendakwa semua maklumat dan kos perbelanjaan projek pengangkutan awam darat seperti MRT Lembah Klang dan ECRL diberikan secara telus, namun tiada sebarang laporan dan dokumen diberikan kepada wakil rakyat sehingga hari ini.

Unit siasatan di bawah SPAD tidak berupaya untuk berfungsi sebagai langkah pencegahan pentadbiran buruk. Bahkan setakat ini pun, SPAD menjalankan siasatan berkenaan dengan kemalangan tren, kebakaran bas ataupun pelanggaran keretapi. Hampir kesemua siasatan ini hanya dilakukan selepas tragedi masyarakat berlaku. Fungsi siasatan SPAD tidak mampu memastikan agar kedua-dua proses pembinaan dan operasi infrastruktur pengangkutan awam dikawal selia secara komprehensif.

Sebilangan rakyat meragui perbelanjaan atas projek-projek mega infrastruktur pengangkutan awam. Saya percaya terdapat juga wakil-wakil rakyat BN pun mempunyai sangkaan yang sama. Penubuhan sesebuah jawatankuasa pilihan pengangkutan awam darat mampu memastikan kos projek pengangkutan awam yang berdaya saing untuk kerajaan dan membawa ketelusan kepada masyarakat, tetapi cadangan sebegini yang memanfaatkan semua pihak pun ditolak – makanya Malaysia yang bakal rugi di bawah Barisan Nasional.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN