Skip to main content
Pilihanraya

Lakaran Kelangsungan Sejarah Reformasi – Terima Kasih Permatang Pauh!

By 7 May, 2015February 18th, 2020No Comments

Saya melahirkan rasa syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya kejayaan dilakar sekali lagi di Permatang Pauh.

Hari ini menandakan tarikh yang bersejarah dengan keputusan warga Permatang Pauh memilih kebenaran dan terus berpegang kepada perjuangan dan deklarasi Reformasi yang dilaungkan buat kali pertama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Tahniah buat calon pilihan Parti Keadilan Rakyat – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atas amanah serta mandat yang diberi hari ini.

Keputusan ini, yang memihak kepada KEADILAN sebenarnya jua memihak kepada Pakatan Rakyat.

Keputusan ini tidak mungkin terlaksana tanpa penglibatan jentera Keadilan,  beserta sukarelawan siswa-siswi, petugas Parti Islam Semalaysia (PAS) dan teman-teman daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Jutaan terima kasih saya ucapkan, bagi pihak Jawatankuasa Pilihanraya Pusat KEADILAN kepada semua yang bertungkus lumus melunaskan kempen selama 12 hari ini.

Saya tidak mampu untuk menamakan kesemua pimpinan serta angkatan yang bersama membantu kerana tidak akan dapat berlaku adil; cukuplah dengan pernyataan bahawa amanah dan kepercayaan ini memperkukuh iltizam kami untuk terus berjuang demi rakyat.
Permatang Pauh menjadi penanda aras pasca keputusan di Rompin yang terus menggemparkan regim BN/UMNO yang terus mencengkam hak rakyat termasuklah ruang lingkup kebebasan berpolitik Pakatan Rakyat.

Ternyata, rakyat tetap bersama DSAI; menolak kezaliman terhadap ketua pembangkang dan juga dasar percukaian GST yang mencengkam rakyat; menolak skandal 1MDB serta penerusan pembaziran dan senarai kebolosan ekonomi lainnya di bawah pentadbiran DS Najib Tun Razak – pentadbiran yang semakin runcing dengan krisis dalamannya.

Saya melihat tren peningkatan undi Melayu beserta pengundi muda selaku harapan besar kemenangan buat Pakatan Rakyat Inshaa Allah – selagi kita terus beristiqamah dan bertekad dalam bersama mendepani cabaran menuju PRU ke 14.

Moga Allah memberkati usaha kita. Terima kasih Permatang Pauh – ukiran senyuman buat kami dalam menempuh duka, ombak dan ranjau perjuangan.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN & PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN