Skip to main content

Perhimpunan Bersih 5 akan berlangsung esok, dimana salah satu tuntutan asas adalah reformasi sistem pilihan raya di Malaysia untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan bersih.

Syor Persempadanan Semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Sabah dan Tanah Melayu yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada September 2016 jelas tidak mengikut prinsip asas demokrasi “Satu individu, satu undi”. Pasca kemerdekaan 59 tahun, jelas Barisan Nasional menggunakan konsep persempadanan semula yang tempang untuk memenangi Pilihan Raya Umum akan datang seperti semasa Pilihan Raya Umum ke-13, apabila BN memenangi 60% daripada kerusi Parlimen dengan hanya 47% undi manakala Pakatan Rakyat hanya memenangi 40% kerusi parlimen dengan 52% undi. Ini jelas bermakna satu undi untuk BN adalah bernilai 1.6 kali satu undi untuk PR. Pada 11 November 2016, saya memfailkan semakan kehakiman ke atas SPR kerana ianya jelas tidak wajar dan bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Pengecilan Kawasan Lembah Pantai oleh SPR secara keterlaluan

Berdasarkan perlembagaan Persekutuan, seksyen 2(C) Jadual Ketiga Belas menekankan agar setiap persempadanan semula mesti memastikan agar “jumlah pengundi untuk pilihan raya perlu lebih kurang sama di setiap kawasan dan negeri”.

Namun, SPR bakal menyusut saiz parlimen Lembah Pantai dengan pengurangan pengundi daripada 72,715 kepada 62,757 orang pengundi. SPR telah menyebabkan perbezaan parlimen Lembah Pantai dibandingkan dengan purata saiz kawasan yang lain meningkat daripada 0.54 peratus melebihi purata kepada 12.44 peratus di bawah purata. Proses persempadanan ini jelas bercanggah dengan matlamat asal perlembagaan persekutuan iaitu saiz “lebih kurang sama”.

graph

SPR akan Menyebabkan Perpecahan hubungan tempatan

SPR juga melanggar satu prinsip penting dalam perlembagaan Persekutuan yang termaktub dalam seksyen 2(d) Jadual Ketigabelas, dimana SPR dipertanggungjawabkan untuk senantiasa “mengekalkan hubungan tempatan”. Malangnya, Lembah Pantai mempunyai beberapa contoh yang kritikal yang memperlihatkan hubungan tempatan semakin terhakis selepas persempadanan semula.

Mid Valley City akan dijadikan sebahagian daripada Lembah Pantai. Dimana, ia seharusnya dimasukkan ke dalam P120 Bukit Bintang, manakala kawasan Brickfields yang sememangnya berada di bawah P121 Lembah Pantai dan berdekatan dengan kawasan komersil Bangsar harus dikekalkan. Tambahan, Daerah Mengundi Tasik Perdana bakal dimasukkan ke Lembah Pantai. apabila daerah mengundi di Tasik Perdana dan Taman Tunku, yang kedua-duanya meliputi kawasan institusi awam seperti Parlimen dan Tugu Negara secara tradisi berada di bawah P117 Segambut.

SPR Gagal Melaksanakan Tugas Memberi Maklumat Lengkap Kepada Orang Awam

Paparan peta baharu persempadanan semula pada 15 September 2016 tidak disebarluaskan kepada umum dan tidak mencukupi. Misalnya, SPR sewajarnya menyediakan peta yang menunjukkan kedua-dua batas sempadan baru dan lama serta mempamerkan daftar pemilih bagi penduduk yang terkesan. Kegagalan dalam menyediakan akses maklumat yang lengkap kepada penduduk menunjukkan SPR hanya mengikut arahan pihak atasan tanpa mengambil kira impak negatif kepada rakyat.

Usaha Yang Dilakukan Di Peringkat Parlimen Lembah Pantai

Penduduk Parlimen P121 Lembah Pantai telah menggunakan setiap peruntukan undang-undang sedia. Ada 120 pengundi yang tampil mengemukakan bantahan pada 8 November 2016. Pembantah Lembah Pantai menuntut agar peta-peta digital dipamerkan manakala saya pula meminta SPR mengumumkan pakar topografi yang melaksanakan persempadanan semula tahun ini. Perkara ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dibawah Perkara 115(2) yang menyatakan bahawa proses persempadanan semula mesti melibatkan dua orang pakar topografi dan dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong .

Hakikatnya, SPR tidak berupaya untuk mengambil kira hujah yang dikemukakan pembantah kerana tiket akhir terletak di tangan Perdana Menteri untuk memutuskan pembentangan di parlimen. Oleh itu, jelas perubahan perundangan melalui badan eksekutif hanya memberi peluang tipis kepada rakyat yang tidak bersetuju dengan syor yang dikemukakan.

Dewan Rakyat Menolak Usul Tidak Percaya

Dalam usaha untuk memastikan agar SPR mematuhi segala peruntukan Jadual Ketiga Belas perlembagaan Persekutuan, saya telah menghantar usul undi tidak percaya terhadap SPR kepada sidang Dewan Rakyat kali ini. Namun malangnya, usul ini untuk memelihara kepentingan rakyat telah ditolak oleh pihak Speaker Dewan Rakyat.

Keperluan Untuk Fail Semakan Semula

Pada 11 November 2016, saya telah memfailkan semakan kehakiman (‘judicial review’) ke atas SPR untuk membantah syor persempadanan semula pilihan raya. Hal ini demikian, setelah melalui setiap proses bantahan dan parlimen, difikirkan proses semakan semula adalah wajar dalam memastikan hak rakyat dibela.

Proses persempadanan semula kawasan pilihanraya oleh SPR wajar melalui proses perundangan yang jelas dan tidak melanggar perlembagaan persekutuan, Harapan saya agar proses semakan semula ini mampu meraih kepercayaan rakyat melalui sistem undang-undnag walaupun wujud usaha untuk menyempitkan suara demokrasi oleh sesetengah pihak.

Walau bagaimanapun, bagi memastikan usaha reformasi yang berjaya, setiap rakyat Malaysia mestilah memainkan peranan dan melibatkan diri! Jumpa di Bersih 5 esok!

Salam #Bersih5

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN