Skip to main content
Press Release

Malaysia Jaguh Kampung Bidang Akademik?

By 22 March, 2014February 18th, 2020No Comments

UNTUK KELUARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

Buat kesekian kalinya kita mendapat khabar keputusan SPM yang baik, dan memberangsangkan.

Secara keseluruhan, keputusan SPM 2013 adalah lebih baik jika dibandingkan dari segi keputusan Gred Purata Negara (GPN), iaitu pada 4.93 mata berbanding dengan 5.08 mata pada tahun 2012 (purata yang lebih kecil menunjukkan keputusan yang lebih baik).

Lebih ramai pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang A dalam semua subjek iaitu 13,970 pelajar berbanding 13,720 iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus dari tahun sebelumnya.

Keputusan juga menunjukkan peningkatan markah dalam subjek-subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains.

Walau Terdapat penurunan kecil dalam subjek Matematik, namun dalam subjek elektif, peningkatan telah didapati dalam 55 subjek termasuk Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sains Tambahan dan Sains Gunaan.

Pun begitu, bagaimanakah kita boleh yakin dengan keputusan ini adalah satu keputusan yang baik, sedangkan maklumat mengenai markah lulus dan gred dalam peperiksaan ini dikategorikan sebagai rahsia dibawah Akta Rahsia Rasmi?

Kita sepatutnya berhak menilai sejauh mana keputusan ini boleh memuaskan tahap pencapaian pendidikan negara.

Sebenarnya, Peratusan kelulusan semakin menurun berbanding dengan dengan tahun lepas, dengan hanya 85.5 peratus daripada calon berjaya dalam peperiksaan tersebut, berbanding dengan 91.2 peratus pada tahun 2012.

Angka calon yang gagal amat besar sekali, iaitu kira-kira 68,208 orang calon daripada 470,395 calon. Kementerian perlu menyiasat kenapakah begitu ramai calon keciciran, dan seterusnya menjelaskan kenapakah keadaan ini berlaku.

Sebaiknya kita juga membandingkan prestasi negara di peringkat antarabangsa; Hal ini kerana; bila masa kita membandingkan dengan negara-negara lain, contohnya dalam keputusan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMMS) dan Programme for International Student Assessment (PISA), hakikatnya berlainan sama sekali.

Laporan TIMMS mendedahkan penurunan prestasi Matematik dan Sains mendadak sepanjang empat kali penilaian daripada tahun 1999. Laporan pada tahun 2011 telah mengatakan kedudukan Malaysia telah jatuh dari tahun 1999 dalam kedua-dua subjek Matematik dan Sains, iaitu bagi subjek Matematik 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26 (2011) sementara subjek Sains pula ialah 22 (1999), 20 (2003), 21 (2007), dan 32 (2011).

Markah purata juga menurun, iaitu 519 (1999), 508 (2003), 474(2007) dan 440 (2011) bagi subjek Matematik; sementara subjek Sains 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) dan 426 (2011).

Keputusan PISA pada tahun 2012 juga amat menakutkan sama sekali. Malaysia menduduki tempat ke 52, 53 dan 59 bagi subjek Matematik, Sains dan Pembacaan, jauh lebih teruk daripada Vietnam yang berada pada tahap 17, 8 dan 19 bagi subjek-subjek yang sama. Bagaimanakah sebuah negara yang tidak mempunyai sumber asli seperti Malaysia dapat menewaskan Malaysia dalam bidang pendidikan?

Yang jelas, keputusan SPM memberikan suatu gambaran yang kabur, yang tidak menunjukkan keadaan sebenar situasi pendidikan kita. Jelas pelajar Malaysia jelas tidak boleh bersaing diperingkat antarabangsa. Adakah keputusan SPM ini dimanipulasikan oleh kerajaan untuk mengabui mata rakyat?

Demi anak-anak Malaysia, saya telah mengutuskan sepucuk surat kepada Menteri Pendidikan pada minggu lepas, antara lain meminta Yang Berhormat Menteri mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk wakil dari profession perguruan, ahli politik bipartisan dan wakil-wakil daripada kerajaan tentang cara-cara untuk mengatasi masalah-masalah ini.

Krisis kontradiksi pendidikan sewajibnya mendesak kerajaan untuk mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif dalam merangka polisi-polisi pendidikan, supaya penyelesaian yang terbaik dapat dicungkil dari minda-minda akademia tersohor di dalam dan luar negara. Perkara ini perlu diberi keutamaan agar Malaysia akan terus dapat bersaing dengan dengan negara-negara lain, terutama dalan era globalisasi ekonomi yang semakin rancak dari hari ke hari.
Sedarlah! Masa depan pendidikan anak anak berada di dalam tangan kita!

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN