Skip to main content
Press ReleaseStatements

Menjawab Isu Surat Pengesahan Pengundi

By 25 April, 2012February 5th, 2021No Comments

KENYATAAN MEDIA
25 April 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA

Saya merujuk laporan media berkaitan isu surat pengesahan status pengundi yang dikeluarkan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai baru-baru ini.

Tuduhan UMNO Lembah Pantai bahawa pejabat saya telah mengedar surat maklumat palsu berhubung status daftar pemilih adalah suatu pertuduhan liar dan tidak berasas. Saya menyelar tindakan UMNO Lembah Pantai yang sering mengganggu tugasan saya sebagai Ahli Parlimen, seperti tindakan mereka menangkap petugas pejabat saya yang melakukan culaan undi atas alasan yang tidak munasabah pada bulan yang lalu.

Untuk makluman semua, pejabat saya sedang melakukan kajian mendalam mengenai status pengundi di Lembah Pantai setelah dimaklum tentang nama mereka yang telah hilang dari daftar pemilih; termasuk makluman tentang Ho Heng Tong, 53, yang telah hilang dari daftar pemilih Subang setelah disenaraikan sebagai “meninggal dunia” oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Liau Kok Fah, ahli jawatankuasa Bersih 2.0, dimana JPN telah mengatakan yang beliau telah “mati” pada tahun 1970an walaupun jelas beliau masih lagi hidup.

Surat yang dimaksudkan hanya memaklumkan pengundi bahawa berdasarkan kajian pejabat saya, nama mereka sudah hilang daripada daftar pemilih bagi kawasan parlimen Lembah Pantai. Surat tersebut juga jelas menyatakan bahawa kemungkinan besar nama-nama itu hilang disebabkan perkara-perkara yang sah, lalu dibuang daripada daftar pemilih atas sebab-sebab termasuk kematian dan pemindahan yang tulen. Tetapi, jika ada pemilih yang mendapati nama telah hilang tanpa pengetahuan mereka, maka mereka boleh merujuk pejabat saya untuk tindakan lanjut.

Saya merujuk kepada tiga maklumbalas yang saya terima daripada pengundi, di mana salah seorang mengakui nama yang tertera di dalam daftar pemilih, iaitu Rajah a/l Periasamy, yang menggunakan alamat beliau terkini, sebenarnya tidak wujud. (Lampiran 1)

Saya juga menjemput pengundi-pengundi yang nama mereka didapati sudah dikeluarkan daripada daftar pemilih sedangkan mereka masih menetap di kediaman yang sama membawa aduan kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Sekali lagi saya menyelar tindakan UMNO Lembah Pantai ini yang menghalang usaha seorang Ahli Parlimen menjalankan tugas dengan bertanggungjawab. Seharusnya semua pihak, termasuklah UMNO Lembah Pantai, bekerjasama dengan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai demi membantu SPR membuat semakan daftar pemilih.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai