Skip to main content
PenerbitanTPPA

Mulakan persediaaan bersaing dahulu sebelum TPPA

By 26 August, 2013February 18th, 2020No Comments

TPPA atau Trans-Pacific Partnership Agreement adalah satu bentuk perjanjian perdagangan antarabangsa yang dipelopori Amerika Syarikat bersama 11 negara lain termasuk Malaysia.

Implikasi TPPA terhadap kedaulatan negara dan ekonomi adalah terlalu besar dan memerlukan kajian serta perbincangan teliti dengan semua pihak.

Justeru itu, persetujuan Sidang Kabinet khas berkenaan TPPA yang berlangsung minggu lepas walaupun agak lambat namun dialu-alukan. Resolusi yang dibuat Kabinet telah memenuhi tuntutan yang diketengahkan oleh beberapa NGO dan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Sidang Kabinet mengarahkan para perunding bagi Malaysia supaya terus memastikan kedaulatan Malaysia dipertahan sepanjang rundingan TPPA ini berlaku, dan hanya akan mempersetujui TPPA dengan syarat-syarat yang paling memanfaatkan negara.

Kabinet juga telah bersetuju dengan 2 lagi Analisa Kos Faedah (Cost Benefit Analyses, CBA), yang akan memberi tumpuan kepada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana; dan komuniti usahawan Bumiputra, dan juga analisa komprehensif berkenaan kepentingan Negara melibatkan keseluruhan bab-bab yang dirundingkan.

Sebagai kementerian utama yang merundingkan TPPA bagi rakyat Malaysia, MITI juga memaklumkan Kabinet bahawa perbincangan dua hala bersama kesemua pihak yang berkepentingan akan dipergiatkan dengan cara yang lebih telus.

Menurut pengamatan saya, TPP juga telah mendedahkan tiga cabaran utama yang sedang dihadapi oleh negara kita. Cabaran-cabaran ini memerlukan tindakan segera sebelum TPPA dipersetujui.

Cabaran pertama ialah memastikan penglibatan bermakna yang merangkumi semua pihak berkepentingan terutama dalam perjanjian-perjanjian antarabangsa.

Walaupun sedang dalam kemelut kekalutan TPPA, kita tidak boleh melupakan kedua-dua perjanjian perdagangan utama yang lain yang juga sedang dirundingkan: RCEP – Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (ASEAN + 6 rakan FTA: Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan) dan FTA Malaysia-Kesatuan Eropah.

Kita mestilah mempunyai proses pengawasan dan pengesahan atau ratifikasi Parlimen bagi perjanjian antarabangsa supaya tidak mengetepikan demokrasi, khususnya dari segi prinsip pemisahan kuasa. Kabinet tidak boleh menjadi satu-satunya penentu kepada keputusan-keputusan yang boleh memberi kesan besar, kadangkalanya kesan buruk, kepada masa depan negara kita.

Kaukus TPPA Parlimen mestilah dinaiktarafkan menjadi Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen yang akan memberikan mekanisme yang lebih bermakna dalam mewakili kepentingan rakyat dalam perjanjian ini. Malah, Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen ini diperlukan bagi ketiga-tiga rundingan antarabangsa (TPPA, RCEP, Malaysia-EU FTA) yang sedang dijalankan pada masa ini.

Berbilang lapisan pengawasan dan pengesahan sangat berguna dalam menentukan keputusan rundingan-rundingan antarabangsa yang gagal sebelum ini supaya berpihak kepada Malaysia, seperti rundingan Air, Tanjung Pagar dan Pulau Batu Putih dengan Singapura, dan juga rundingan wilayah petroleum Blok L dan M bersama Brunei.

Cabaran yang kedua ialah menyediakan Malaysia untuk bersaing dengan lebih cemerlang di peringkat global.
‘Kapasiti Persaingan’ negara kita masih lagi belum dibangunkan dengan sempurna walaupun pelbagai peluang, perlindungan dan berbilion ringgit dibelanjakan, atau lebih tepat lagi, dibazirkan. Kebanyakan daripada kegagalan ini adalah kerana kecuaian dalam pengurusan ekonomi dan dasar pendidikan (dalam pembangunan sumber manusia) negara.

Sebagai contoh, Proton masih lagi belum mampu bersaing di pasaran tempatan, apatah lagi melonjakkan nama mereka sebagai sebuah jenama global seperti Kia atau Hyundai, walaupun telah saban tahun disubsidi oleh rakyat Malaysia sejak penubuhan syarikat pada 1983.
Bagaimana pula tentang Perwaja yang sepatutnya menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar keluli tersohor, dengan industri berkaitan keluli seperti perkapalan dan pembinaan yang rancak? Apa yang telah terjadi dengan MEC (Malaysia Electric Corporation) yang dicitakan sebagai pesaing utama bagi Samsung? Dengan pelaksanaan dan penggubalan polisi yang betul, negara kita sepatutnya boleh menjadi pengeluar utama bagi alatan elektronik, telefon pintar, komputer dan peralatan elektrik.

TPPA tidak sepatutnya menjadi keutamaan kita. Saya percaya, kita perlu mempunyai suatu wawasan untuk Pengembangan Kapasiti Daya-Saing Kebangsaan yang perlu dijalankan sekurang-kurangnya selama 10 tahun dari sekarang. Wawasan ini perlu merangkumi aspek-aspek reformasi politik, penstrukturan semula ekonomi dan revolusi pendidikan. Ia perlu dijalankan dengan lebih meluas dan mantap berbanding dengan Agenda Transformasi Kebangsaan yang merangkumi GTP dan ETP. Kita perlu membenarkan persaingan secara sihat berlaku di dalam negeri dahulu untuk menyediakan Malaysia untuk persaingan antarabangsa.

Cabaran kita yang ketiga ialah untuk melindungi sumber alam kita yang terhad untuk pembangunan negara.

TPPA mendedahkan bagaimana kita perlu melindungi sumber-sumber ‘Kekayaan Negara’ sebelum tertakluk pada sebuah perjanjian antarabangsa yang menuntut kesamarataan bukan sahaja kepada pasaran tempatan bahkan kepada sumber alam kita.

Sumber petroleum kita pada masa ini dilindungi oleh Akta Pembangunan Petroleum melalui pelbagai peraturan dan mekanisma kontrak perkongsian pengeluaran yang membolehkan kita mengekalkan ‘kedaulatan’ dan mendapat faedah dari keuntungan yang dihasilkan. Satu lagi sumber alam muktamad yang amat penting bagi Malaysia ialah biodiversiti kita yang amat kaya.

Saya membayangkan Malaysia boleh menjadi ‘Hab Sains Kehidupan Global’ (Global Life Science Hub) yang seterusnya, yang mana hasil flora dan fauna kita dijadikan sebagai sumber ubat-ubatan yang baru, kejuruteraan bio dan juga industri biokimia.

Pihak Kerajaan pada masa ini tidak memperuntukkan dana dan perhatian yang cukup kepada industri ini.

Walaupun Malaysia diperakui kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna, kajian yang telah dijalankan menunjukkan yang Malaysia cuma membelanjakan 30 peratus daripada apa yang dibelanjakan oleh Negara maju dalam setiap hektar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi.

Dalam suatu laporan oleh Prosiding Akademi Sains Nasional dari AS, Malaysia merupakan salah satu dari 10 negara yang mempunyai peruntukan penjagaan biodiversiti yang terendah di dunia, menduduki tangga ke tujuh di belakang Iraq, Djibouti dan Angola.
Walaupun telah wujud suatu kerangka polisi melalui Polisi Biodiversiti Kebangsaan yang dibangunkan dalam tahun 1998, institusi-institusi yang mentadbir biodiversiti tiada kesinambungan antara satu sama lain. Di peringkat Persekutuan, telah wujud sekurang-kurangnya tujuh jabatan, tiga kementerian, sembilan agensi dan setiap 13 negeri yang lain mempunyai hak masing-masing berkenaan dengan biodiversiti.

Tambahan pula, terdapat sebuah keperluan untuk pembangunan Harta Intelek kita bagi memastikan pertumbuhan dan inovasi biodiversiti adalah mampan.

Sebagai pemangkin ke arah melindungi sumber alam yang tidak ternilai, serta menggalakkan pertumbuhan yang sihat dalam industri ini, saya akan mengemukakan sebuah rang undang-undang ahli persendirian dalam Parlimen untuk sebuah Akta Pelesenan Paten Kod Biodiversiti Genetik Kebangsaan .

Sidang parlimen yang akan datang sepatutnya memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi kesemua perjanjian perdagangan antarabangsa, serta menukar proses sedia ada untuk melibatkan Pengesahan atau Ratifikasi Parlimen dalam kesemua perjanjian perdagangan di masa hadapan.

Adalah nyata bahawa kekecohan akibat TTPA harus melonjakkan kita untuk menuntut reformasi politik, penstrukturan ekonomi dan revolusi pendidikan, demi menjamin daya-saing Negara untuk masa depan. Kita yang sewajarnya menentukan rentak reformasi dan bukan negara lain.
Kita masih belum terlambat.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat

Dipetik dari Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/mulakan-persediaaan-bersaing-dahulu-sebelum-tppa-1.196054