Skip to main content
Penerbitan

Nurul Izzah bidas jawapan kelewatan KLIA2 tak jejas keuntungan MAHB

By 11 July, 2013February 18th, 2020No Comments

OLEH MD IZWAN
The Malaysian Insider
JULY 09, 2013

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini membidas Kementerian Pengangkutan berikutan kelewatan proses menyiapkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Beliau juga menyifatkan jawapan kementerian itu yang mendakwa ia tidak menjejas perniagaan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) sebagai tidak munasabah.

Sebaliknya, Naib Presiden PKR itu mendakwa laporan penganalisis kewangan menunjukkan kelewatan berkenaan mengakibatkan perbelanjaan tambahan RM500 juta, selain penurunan nilai saham MAHB.

“Penganalisis RHB Research, Ahmad Maghfur Osman menganggar, MAHB akan membelanjakan RM500 juta perbelanjaan tambahan untuk projek KLIA2.

Justeru, RHB menurunkan nilaian terhadap saham MAHB iaitu RM6.86 daripada RM7.23,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Bagi mengukuhkan lagi dakwaannya, Nurul Izzah merujuk laporan MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) yang menyatakan MAHB mungkin terpaksa menanggung kos tambahan bernilai RM250 juta.

Ia, katanya, ekoran tuntutan kontraktor atas sebab perubahan permintaan skop kerja-kerja (Variation Order) KLIA2.

“Perubahan termasuklah pemanjangan Landasan Kapal Terbang 3, perubahan aras tanah (earthworks) dan peningkatan am infrastruktur awam.

“Ia tambahan kepada permintaan untuk pembesaran tingkat bawah terminal utama dan bangunan satelit untuk memenuhi permintaan pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Nurul Izzah mengenai kelewatan itu, kementerian menyatakan ia tidak memberi kesan kepada urusan perniagaan syarikat MAHB.

Kementerian juga memberi tarikh pembukaan KLIA2 yang baru iaitu Mei tahun depan dan mendedahkan syarikat yang mengakibatkan kelewatan berkenaan, UEMC-Bina Puri JV (UBPJV).

Tarikh KLIA2 disipakan ditunda beberapa kali berikutan perubahan dari pelan asal termasuk membina terminal lebih besar dan pemasangan sistem pengendalian bagasi automatik.

Tarikh baru itu adalah kelima kerana ia sepatutnya siap pada April 2010 tetapi ditunda kepada Oktober 2012, April 2013 dan kemudian 28 Jun, 2013.

Lapangan terbang itu dijangka mengendalikan 45 juta penumpang setahun, antara lain akan memiliki 60 pintu, 80 jambatan aero dan 32,000 meter persegi ruang runcit dengan 225 kedai.

Tender untuk projek KLIA2 pertama kali dikeluarkan pada 2009. – 9 Julai, 2013.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nurul-izzah-bidas-jawapan-kelewatan-klia2-tak-jejas-keuntungan-mahb/