Skip to main content
Education

Nurul Izzah jamin pembangunan penjaja

By 29 June, 2010February 5th, 2021No Comments

Sinar Harian

PANTAI DALAM – Permohonan penjaja di kawasan penjaja berhampiran tapak pasar tani di sini bagi pembangunan kawasan perniagaan yang lebih sempurna akan di usahakan dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, penjaja di kawasan tersebut yang lebih dikenali sebagai kawasan penjaja ‘kandang kuda’ meminta agar kawasan lapang berhampiran dibangunkan sebagai satu kawasan penjaja yang lebih sistematik, selesa dan sempurna.

Menurutnya, kawasan sedia ada amat terhad dan kecil untuk penjaja di sana menjalankan perniagaan masing-masing.

“Kita difahamkan tanah berhampiran adalah tanah DBKL dan pastinya mereka sudah mempunyai perancangan sendiri.

“Tapi, Insya-Allah, kita akan cuba usahakan dengan permohonan penjaja dan pihak persatuan penaja untuk dibangunkan sebagai kawasan sokongan bagi mereka berniaga,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan di sini.

Nurul Izzah berkata, pihaknya melalui Pejabat Ahli Parli-men akan meneliti perkara tersebut sebelum ia dipanjangkan kepada DBKL dan pihak terbabit.

“Memandangkan keadaan ekonomi yang semakin menyempit dan ramai orang akan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Ini merupakan salah satu tuntutan yang saya akan teliti dan membawa sekali beberapa orang peguam untuk membantu memperincikan lagi permohonan mereka.

“Ia akan dibawa kepada DBKL dan pihak terbabit secepat mungkin tetapi sebelum itu, kita akan dapatkan beberapa fakta dan maklumat yang secukupnya,” katanya.

Menurutnya, persatuan penjaja juga ada memohon tanah di belakang Angkasapuri untuk dibangunkan namun keutamaan diberikan bagi kawasan berhampiran kawasan penjaja tersebut.

“Kami masih menunggu dokumen-dokumen sokongan yang lain kerana yang diberikan kepada saya adalah kertas kerja permohonan bukan surat rasmi dariapada pihak penjaja.

“Saya juga ada berjumpa dengan beberapa pimpinan persatuan sendiri, dan kita bergerak mengikut permohonan serta penjelasan yang sebegitu. Saya tidak lihat sebarang penolakan atau sesiapa yang tidak bersetuju,” kata Nurul

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Cawangan Pantai Dalam/Puchong, Pauzi Che Ahmad berkata, pihak persatuan sudah menghantar memorandum tuntutan kepada Pejabat Ahli Parlimen minggu lalu.

“Pihak persatuan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama AJK dan penjaja bagi tindakan susulan dan maklumat yang diperlukan Pejabat Ahli Parlimen,” katanya.

Kawasan penjaja berkenaan mempunyai kira-kira 50 peniaga yang dipindahkan ke situ bagi memberi laluan kepada projek Perumahan Pantai Permai berhampiran.