Skip to main content
Press Release

Pembangunan di Kawasan Hutan Bukit Gasing

By 8 January, 2014February 18th, 2020No Comments

UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

PEMBANGUNAN DI KAWASAN HUTAN BUKIT GASING

Bukit Gasing merupakan antara jajaran kawasan hijau yang terakhir di Kuala Lumpur. Pemuliharaan kawasan ini telah dibangkitkan oleh Friends of Bukit Gasing (FoBG) semenjak tahun 2000 dan sejauh ini didengar secara aktif oleh seramai tiga orang Datuk Bandar, iaitu Datuk Mohmad Shaid Mohd Taufek, Datuk Hakim Borhan, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, dan terkini, Datuk Seri Ahmad Phesal. Namun, pengazetan Bukit Gasing di bahagian Kuala Lumpur sebagai hutan simpan masih belum lagi dilaksanakan.

Menurut laporan akhbar The Sun Daily pada Mac 2012, mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menyatakan bahawa “DBKL telah pun memohon untuk menggazetkan tanah awam sebanyak 52.6ha sebagai kawasan hutan simpan pada Disember 2010.”

Tambahan lagi, pertemuan saya bersama Tan Sri Ahmad Fuad telah mendedahkan bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi telah meluluskan pembangunan di lereng Bukit Gasing, yakni, mengurangkan kawasan ‘buffer zone’ tersebut.

Hasil dari pengurangan ‘buffer zone’ yang dimaksudkan, Amona Metro Development Sdn Bhd telah memperolehi kelulusan untuk projek Saville @ The Park, Bangsar. Tan Sri Ahmad Fuad mengakhiri pertemuan rasmi tersebut dengan jaminan bahawa DBKL akan memantau pembangunan ini secara lebih terperinci.

Memandangkan DBKL selalu berselindung di sebalik alasan Perdana Menteri yang membenarkan setiap pembangunan yang diselubungi kontroversi, persoalannya ialah adakah mantan Perdana Menteri telah melanggar sebarang undang-undang dengan membenarkan pengurangan buffer zone, untuk memberi laluan buat pembangunan?

Sekiranya ini benar, orang ramai berhak meminta penyandang jawatan Perdana Menteri sekarang untuk memperbetulkan semula keadaan ini.

Justeru saya telah menghantar sepucuk surat meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk:

menyerahkan sesalinan permohonan pengazetan kawasan tersebut,

menjelaskan siapakah yang memberikan kelulusan kepada projek Saville @ The Park, Bangsar ini sewaktu proses pendengaran awam yang terakhir? Untuk ini, saya meminta pihak Datuk Bandar agar membekalkan saya dengan minit mesyuarat pendengaran awam tersebut,
memberikan sebab mengapa kelulusan masih diberikan, sedangkan terdapat bantahan terhadap projek tersebut semasa pendengaran awam Pelan Draf Kuala Lumpur,

dan menjelaskan mengapakah keputusan jawatankuasa yang kecil ini berupaya untuk mengatasi perbincangan yang sepatutnya mempunyai bidang kuasa yang lebih besar?

Saya juga meminta pihak DBKL agar terus memantau projek-projek di sekitar kawasan ini dengan lebih dekat berikutan masalah banjir lumpur yang sering melanda kawasan-kawasan yang berhampiran. Masalah lumpur ini telah mengakibatkan sistem saliran di kawasan berhampiran tersumbat dan ini telah mendatangkan kesukaran kepada penduduk setempat.

Saya meminta jasa baik pihak DBKL agar memberikan perhatian segera terhadap perkara ini dan memberikan respons kepada pihak kami dalam masa seminggu dari tarikh 7 Januari 2014.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden Parti KEADILAN RAKYAT