Skip to main content
MediaPress ReleaseStatements

Penerusan Proses Inkuiri Awam Oleh SPR Di Negeri Sarawak Membelakangi Proses Kehakiman Dan Menjustifikasi Gelaran SPR Selaku Parti Komponen BN Yang Keempat Belas

By 3 March, 2015February 5th, 2021No Comments

UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA NURUL IZZAH ANWAR, AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI

Saya mengecam tindakan SPR yang masih ingin meneruskan proses inkuiri awam untuk persempadanan semula negeri Sarawak.

Sewajibnya SPR menunggu keputusan semakan kehakiman ke atas cadangan persempadanan semula oleh SPR sebelum ini; lebih-lebih lagi memandangkan kredibiliti SPR yang tercalar teruk sehingga memaksa PM Najib mewujudkan Jawatankuasa Parlimen Khas Reformasi Pilihanraya pada 2013. Malangnya, Reformasi sebenar gagal dilaksana sehingga kini.

Ternyata, semakan kehakiman ini memberikan merit ke atas kegusaran-kegusaran yang telah dibangkitkan oleh KEADILAN sebelum ini.

Secara terperinci, kelemahan proses Persempadanan negeri Sarawak termasuk;

Proses persempadanan semula negeri Sarawak yang bermula pada 5 Januari 2015 merupakan proses penambahan kerusi pertama di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dilaksana tanpa penambahan kerusi Parlimen.
Tindakan SPR mengubah Daerah Mengundi daripada satu kawasan parlimen ke satu parlimen yang lain yang bercanggah dengan seksyen 7, Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19)
Penukaran paparan maklumat dalam persempadanan kali ini – di mana senarai lokaliti tidak disertakan di dalam notis SPR, berbeza dengan proses sebelumnya pada tahun 2005, mengundang dakwaan bahawa ada maklumat yang cuba disembunyikan dari pengetahuan umum.

Tindakan SPR Yang membelakangi proses semakan kehakiman sebenarnya memberi justifikasi kepada Laporan Integriti Pilihanraya (EIP) yang diterbitkan oleh Projek Intergriti Piliharaya yang berpengkalan di Universiti Harvard dan Universiti Sydney pada 20 Februari lepas.

Laporan EIP menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang tercorot dalam sempadan kawasan piliharanaya dan antara yang tercorot undang-undang pilihanraya nya.

Malaysia cuma mendapat 28 daripada 100 mata dalam sempadan kawasan pilihanraya, sementara 33 daripada 100 mata dalam undang-undang pilihanraya. Laporan ini membuktikan bahawa sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia amat pincang sekali; dan terkini dilihat menerusi tindakan melulu SPR di Sarawak.

Pengerusi SPR harus dengan serta-merta mendedahkan maklumat penting Dlm proses persempadanan Semula di Sarawak – termasuk juga SOP yang digunapakai dalam proses persempadanan atau terpalit selama-lamanya dengan gelaran parti komponen BN yang keempat belas.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN KEADILAN
PENGARAH JAWATANKUASA PILIHANRAYA PUSAT KEADILAN