Skip to main content
Education

Perlembagaan: Cabaran Nurul selari dasar Pakatan, kata Syed Husin

By 7 September, 2010February 5th, 2021No Comments

Malaysian Insider September 07, 2010

Syed Husin berkata hujahan Nurul Izzah telah menepati sasaran. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali mempertahankan cabaran Ahli Parlimen Lembah Pantai agar Perkasa berdebat dengannya berhubung soal Perlembagaan sambil berkata, pendirian wakil rakyat penggal pertama itu selari dengan dasar parti itu dan juga Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP dan PAS.

Menurut Syed Husin, kenyataan Nurul Izzah Anwar selari dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mendukung seluruh semangat Perlembagaan Persekutuan seperti yang wujud kini, termasuk fasal-fasal yang mengenai kedudukan Islam, raja-raja Melayu serta Bahasa Melayu, dan juga

kedudukan istimewa Melayu asalkan ia tidak disalah guna untuk memuaskan kerakusan golongan berkuasa yang memang sudah istimewa.

“Sekurang-kurangnya tiga orang menteri kanan, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menegur atau mengecam pandangan yang dikemukakan serta cabaran yang dibuat oleh Nurul Izzah terhadap pemimpin Perkasa.

“Nyata sekali pandangan serta cabaran Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyengat dan mengena tepat pada sasaran,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Nurul Izzah menulis bahawa “hak Melayu” hanya satu gagasan ideologi dan falsafah.

Selasa lalu, Nurul Izzah menulis dalam The Malaysian Insider bahawa idea “hak orang Melayu” yang dibawa oleh Perkasa hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakarumbikan Perlembagaan.

Nurul Izzah berkata, adalah penting untuk ditekankan bahawa Suruhanjaya Reid, yang merangka Perlembagaan, melihat Perkara 153 sebagai pendekatan sementara dan tertakluk kepada kajian semula selepas 15 tahun oleh Parlimen.

Dalam kenyataannya, Syed Husin menjelaskan, pendirian ketiga-tiga menteri itu membuktikan dengan jelas bahawa pucuk pimpinan Umno hanya bercakap tentang 1 Malaysia, tetapi pada hakikatnya berkongsi pendapat dengan golongan perkauman sempit Melayu.

“Sangat tepat pandangan Nurul Izzah bahawa frasa ‘hak istimewa’ Melayu tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan; yang wujud hanya ‘kedudukan istimewa’.

“Begitu jugalah tidak terdapat slogan ‘ketuanan Melayu’ dalam Perlembagaan,” katanya.

Oleh itu kata Syed Husin, mana-mana perlembagaan negara bukannya seperti al-Quran ciptaan Allah yang tidak boleh diubah oleh manusia.

“Perlembagaan Persekutuan telah dipinda lebih 40 kali,” katanya.