Skip to main content
Pilihanraya

Persempadan semula sebagai Talian Hayat BN yang jelas menghimpit rakyat Sarawak

By 1 December, 2015February 5th, 2021No Comments

Proses persempadanan semula negeri Sarawak yang bermula pada 5 Januari 2015 merupakan proses penambahan kerusi pertama di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dilaksana tanpa penambahan kerusi Parlimen.

Disebabkan sempadan Parlimen tidak berubah, tindakanSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang  mengubah Daerah Mengundi daripada satu kawasan parlimen ke satu parlimen yang lain yang bercanggah dengan Seksyen 7, Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19).

Ini menunjukkan bahawa SPR tidak berminat untuk melakukan tugas mereka secara adil dan saksama, tetapi masih lagi bekerja sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) ke 14. Apa yang dilakukan oleh SPR hanyalah untuk memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijangkakan akan diadakan pada awal tahun 2016.

Tindakan SPR yang membelakangi prinsip-prinsip keadilan dan ketelusan dalam proses persempadanan semula ini memberi justifikasi kepada Laporan Integriti Pilihanraya (EIP) yang diterbitkan oleh Projek Intergriti Piliharaya yang berpengkalan di Universiti Harvard dan Universiti Sydney pada 20 Februari lepas. Laporan EIP menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang tercorot dalam sempadan kawasan pilihan raya dan antara yang tercorot undang-undang pilihan raya.

Malaysia cuma mendapat 28 daripada 100 mata dalam sempadan kawasan pilihanraya, sementara 33 daripada 100 mata dalam undang-undang pilihanraya. Laporan ini membuktikan bahawa sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia amat pincang sekali; dan terkini dilihat menerusi tindakan melulu SPR di Sarawak.

Tambahan, SPR juga tidak menghormati proses semakan kehakiman yang sedang dijalankan untuk menentukan samada keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan kes yang difailkan oleh Adun Batu Lintang, See Chee How dan pengundi Ulu Baram, PaulsBaya adalah menepati kehendak undang-undang atau tidak.

Jelas sekali SPR juga tidak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi; pada 25 Mei tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie membuat keputusan bahawa Notis Persempadanan Semula yang dikeluarkan oleh SPR adalah batal, kerana ianya tidak mengikut Jadual ke-13, Perlembagaan Persekutuan. Beliau turut mengarahkan supaya Suruhanjaya Piliharaya mengeluarkan semula notis cadangan suruhanjaya tersebut, dengan “mematuhi segala syarat yang dikenakan oleh Jadual ke-13, Perlembagaan Persekutuan.”

Amat mendukacitakan apabila BN tidak mendengar suara rakyat yang inginkan sebuah demokrasi yang lebih sihat, dan memberi peluang kepada rakyat untuk benar-benar memilih kerajaan yang mereka mahukan.

Apa yang dilakukan oleh SPR pada ketika ini adalah dikenali sebagai Gerrymandering. Ini membolehkan SPR melakar sempadan daerah undi supaya peluang kerajaan untuk memenangi kuasa tanpa perlu memenangi undi popular. Professor Mohammad Redzuan, mantan pengarah UMCEDEL pernah berkata, “Disebabkan persempadanan semula itu Umno mendapat majoriti kerusi. Bukan undi. Buktinya Abdullah Badawi popular 64 peratus tetapi kerusi 90 peratus (pada 2004). Tetapi Najib adalah Perdana Menteri pertama yang memasuki pilihan raya tanpa persempadanan (semula bahagian pilihan raya).”

Hasilnya pada tahun 2013, walaupun BN tidak berjaya memenangi undi majoriti iaitu cuma 47 peratus, mereka masih lagi memegang tampuk kuasa, walaupun majoriti rakyat Malaysia mahukan perubahan kerajaan di Malaysia.

Jelas sekali, persempadanan semula ini digunakan oleh SPR untuk memberikan sebuah talian hayat kepada Barisan Nasional. Setiap kali diadakan persempadanan semula hanya akan memberikan kelebihan di peringkat BN. Kerajaan menggunakan alasan penambahan kerusi untuk memberi ‘perkhidmatan’ kepada rakyat tidak munasabah.

Kerajaan masih lagi gagal untuk melaksanakan agenda berkhidmat untuk rakyat terutamanya kawasan penduduk pedalaman. Dalam hal ini, persempadanan semula yang lakukan SPR di Sarawak cumalah untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional, dengan mengorbankan kepentingan rakyat untuk terus memerintah negeri Sarawak.

Setelah sekian lama, Kerajaan perlu dengan segera menerapkan Agenda Pemulihan Demokrasi. Langkah pertama yang perlu diambil ialah memulihkan sistem pilihan raya. SPR tidak boleh terus-menerus menutup sebelah mata dengan laporan demi laporan yang mengatakan sistem pilihanraya di Malaysia amat pincang sekali. Sebuah reformasi pilihan raya tulen perlu dijalankan, bermula dengan rombakan semula SPR.

Berkenaan persempadanan semula, SPR perlu melalui proses konsultasi dari pihak-pihak yang berkepentingan termasuk NGO-NGO, serta rakyat Malaysia yang berminat sebelum membuat keputusan mengenai persempadanan semula yang bakal dilakukan.Proses konsultasi ini boleh menjadi langkah pertama bagi memulihkan kembali imej SPR yang telahpun tercalar selama ini.

Amat memalukan apabila Kerajaan yang kononnya mempunyai cita-cita untuk menjadikan Malaysia negara maju pada tahun 2020 masih lagi memerlukan penipuan untuk memenangi pilihanraya.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN