Skip to main content

Kes COVID-19 di Malaysia sudah pun mencecah 1 juta kes – dengan rekod tertinggi sebanyak 17,045 setakat hari Ahad. Selain program pemberian vaksin yang berjalan lancar; pengorbanan rakyat menerusi pematuhan berterusan kepada Perintah Kurungan Pergerakan (PKP) membawa kepada keperluan pengenalan undang-undang; dasar beserta program bagi melindungi bukannya menambah beban rakyat, khususnya golongan rentan yang memerlukan ‘pelampung keselamatan’ untuk selamat daripada terus lemas dalam ombak krisis yang bertindan.

Malangnya, dengan kuasa penuh untuk meluluskan sebarang undang-undang dalam tempoh pelaksanaan darurat, mengapakah setahun berlalu tanpa pengenalan undang-undang Akta Profesion Kerja Sosial – tunjang kepada khidmat kebajikan sosial – oleh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)?

Sebaliknya, pandemik yang terus menular, dan yang telah mengorbankan sejumlah 7,902 nyawa terus membawa cabaran bertimpa kesihatan-sosio-ekonomi-mental lebih-lebih lagi buat golongan rentan; wanita yang memimpin seisi rumah (KIR); warga emas; orang kelainan upaya serta tidak terkecuali – golongan pelarian.

PDRM mencatatkan peningkatan sebanyak 9% kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan berbanding sebelum PKP. Antara punca yang ditimbulkan termasuklah – masalah kewangan, penyalahgunaan dadah dan tekanan dari kehilangan pendapatan. Pengurangan punca pendapatan dan kehilangan pekerjaan adalah dua faktor yang ternyata memberi kesan yang paling perit kepada setiap isi rumah yang diketuai oleh wanita; ataupun segmen ibu tunggal.

Kajian UNFPA ‘Families on the Edge’ mendapati bahawa empat (4) daripada sepuluh (10) isi rumah yang diketuai oleh wanita bergantung kepada sokongan kerajaan bagi menjana pendapatan. Pada kemuncaknya, kadar pengangguran untuk isi rumah yang diketuai oleh lelaki adalah 25% berbanding 32% untuk isi rumah yang diketuai oleh wanita.

Setakat 5 bulan pertama 2021, terdapat 468 kes bunuh diri telah dilaporkan, – iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan pada 2020. Daripada kes yang dilaporkan, sebanyak 83.5% kes bunuh diri antara tahun 2019 hingga Mei 2021 merupakan wanita. Kelesuan pandemik akibat kehilangan kerja; tekanan perasaan dan kewangan dilihat menerusi 122,328 panggilan yang dibuat kepada talian psikososial KKM, Mercy Malaysia, Talian Kasih dan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim dari Januari hingga Jun 2021.

Umum mengetahui, pekerja sosial memainkan peranan penting dalam memastikan individu yang rentan mendapat pertolongan yang diperlukan. Sama ada kanak-kanak yang terperangkap di rumah yang didera, wanita yang dimangsakan menerusi keganasan domestik; atau bekas penagih dadah beserta keluarga dan komuniti setempat yang sedang menjalani proses pemulihan yang rumit – kesemuanya akan bergantung kepada kepakaran peranan pekerja sosial.

‘Pelampung keselamatan’ sebegini amat diperlukan bagi menampung keperluan orang ramai. Gerakan spontan rakyat menerusi KitaJaga.co dan usaha badan bukan kerajaan dan kebajikan lainnya menampung dalam melunaskan keperluan golongan yang memerlukan. Keperluan sedemikianlah yang telah mendorong kepada ide mewujudkan Akta Profesion Pekerja Sosial oleh mantan Menteri KWPKM, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail – hasrat yang tidak kesampaian menerusi pertukaran kerajaan.

Persoalannya, mengapakah tanggungjawab ini tidak dilunaskan serta merta oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang terkini? Terakhir kita dimaklumkan bahawa RUU Akta Profesion Pekerja Sosial sedang digubal setakat Mac 2021 – sebelum sepi sehinggalah penantian pembukaan sesi parlimen esok.

Sejak Mac 2021 Profesor Fatimah Kari dan pasukan beliau daripada Universiti Malaya telah memulakan dan akhirnya selesai menjalankan survei kajian Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) di Permatang Pauh.

Kini kita mampu mengesahkan kegusaran kita bahawa golongan wanita jauh lebih terkesan daripada dimensi pendapatan-kesihatan serta sosio ekonomi berbanding keluarga lainnya – selari dengan laporan UNFPA dan UNICEF mengenai kemiskinan bandar. Dapatan ini mendorong kepada rumusan awal bahawa ketua isi rumah wanita memerlukan perhatian berterusan dan ekosistem dokongan yang sewajarnya daripada KPWKM.

Pembuktian menerusi saintifik adalah cara terbaik bagi mengatur dan memacu dasar program dari segenap dimensi; pekerja sosial, kesihatan mental, perlindungan kanak-kanak, pengupayaan warga emas dan ketua isi rumah wanita. Antara permulaan yang wajib diambil oleh KWPKM adalah pengenalan RUU yang mampu mengiktiraf, mengawal selia dan mengangkat status pekerja kebajikan sosial; memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan dengan serta merta atau sekurang-kurangnya menguatkuasakan moratorium ke atas tuduhan percubaan membunuh diri; di samping integrasi data bantuan kebajikan sosial; dan kes kelesuan pandemik lainnya di bawah payung Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MYSPC) demi kebajikan rakyat yang sewajibnya mendapat keutamaan oleh pentadbiran negara.

 

Nurul Izzah Anwar & Nor Azrina binti Surip;
Ahli Parlimen Permatang Pauh & Ahli Parlimen Merbok