Skip to main content
Media

Skim Pak Man telo dan bahananya

By 17 August, 2011February 5th, 2021No Comments

Jikalau Pak Man Telo yang mengasaskan Skim Cepat Kaya masih lagi menjalankan skim tersebut tentunya dia orang yang paling gembira di Malaysia. Masakan tidak sebagai pengasas skim ini tentunya dia akan menjadi perujuk utama kepada pelbagai skim yang sedang beroperasi di Malaysia.

Pertama, kita ada Skim Perunding 1Malaysia, di mana skop tugasan hanya melibatkan persembahan kepada kerajaan tentang bagaimana hendak menunjukkan kepada rakyat bahawa negara akan bankrap. Selesai sahaja, dapatlah berpuluh-puluh juta.

Kedua, Skim Kurangkan Subsidi Rakyat, buatlah pelbagai unjuran, angka dan sedikit ugutan bahawa subsidi perlu dikurangkan, nyatakan rakyat perlu mengikat perut dalam zaman yang makmur ini. Balasannya juga maha lumayan – menjangkau jutaan ringgit. Hai, sekadar makmal sahaja sudah boleh meraih RM24 juta.

Ketiga, Skim Miliki RM75 juta, skim ini amat menarik; di mana perjanjian dibuat dengan pemaju perumahan melibatkan sebidang tanah yang kini diduduki oleh majoriti setinggan Melayu. Pindahkan saja setinggan ni ke rumah flat atau penempatan rakyat. Selepas dipindahkan, hanya perlu menunggu beberapa tahun sebelum saham dalam syarikat kerjasama dijual untuk RM75 juta. Begitulah sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh parti pemerintah, oleh sebuah negara berjaya meraih untung RM75 juta.

Keempat, Skim Cincin Berlian RM24 juta. Caranya mudah; hanya simpan duit ketika anda belum lahir lagi dan tanpa diduga, apabila anda mencecah umur 50 tahun ke atas, maka anda berpeluang untuk miliki cincin berlian yang maha bernilai itu. Apa yang paling penting ia tidak akan dikenakan cukai import dan perkhidmatan – lumayan, bukan?

Kelima, Skim Kapal Selam yang punyai masalah (kadangkala) tidak boleh menyelam. Caranya mudah – hanya cadangkan kepada kerajaan pembelian kapal selam atau apa-apa senjata untuk keperluan ketenteraan, kemudian kenakan komisen. Hanya terma, komisen jangan disebut. sebaliknya cukup sekadar menyatakan ia bayaran perkhidmatan sokongan.

Pulangannya bukan main; minimum pun sudah mencecah RM500 juta dan kalau peralatan lebih canggih, maka bolehlah kita tambah keperluan selenggaraan untuk membolehkan peralatan tu terus beroperasi. Kos selenggara mampu mencapai sampai satu bilion ringgit!

Saya boleh saja menyenaraikan pelbagai lagi skim di Malaysia; namun rasanya helaian dalam akhbar Sinar Harian tidak mencukupi kerana terdapat beribu-ribu skim, Skim Sapu 1Malaysia, Skim Curi-Curi Wang Malaysia, Skim Ambil Bangunan MRT, Skim paksa GLC Pinggirkan saman untuk selamatkan kroni, Skim Lesap Wang Zakat dan pelbagai skim cepat kaya yang berilhamkan Skim Cepat Kaya Pak Man Telo.

Skim ini berkemungkinan memastikan parti pemerintah mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum akan datang dengan menjadikan penduduk tetap sebagai pengundi.

Tetapi kepada rakyat yang setia kepada negara, tidak pernah lupa membayar cukai dan zakat, tidak pernah lupa membayar pelbagai lagi cukai termasuklah cukai air kumbahan, semua skim yang diperkenalkan ini dilihat sebagai Skim Memiskinkan Rakyat, Skim Melesapkan Harta Negara dan paling penting Skim Melupuskan Hak Rakyat.

Mengapa, kerana inilah sedang berlaku kepada rakyat yang sedang berhempas pulas mengikat perut kerana kenaikan harga melampau, bagaimana harga barang naik disebabkan keputusan parti pemerintah menarik balik subsidi minyak kepada industri pengangkutan yang merupakan penyebab utama kenaikan harga barang.

Bagaimana ia menggugat kehidupan rakyat apabila kenaikan harga barang ini tidak diikuti dengan kenaikan gaji, malah gaji minimum yang dijanjikan masih lagi tidak ditunaikan, walhal janji untuk mengawal harga barang hanya janji-janji kosong.

Apakah Skim NKRA, ETP dan pelbagai lagi yang di perkenalkan telah berjaya membantu rakyat, malangnya tidak ada yang dapat dibuktikan setakat ini; sedang dana negara sudah dibelanjakan, dong!

Angin sepoi-sepoi berserta alasan – itu sahaja yang diperoleh rakyat, yang terus cuba dijahilkan dengan skim-skim yang gah pada nama sahaja tetapi tiada faedah kepada rakyat yang kini berhadapan dengan tekanan maha teruk dan terpaksa pula berhadapan dengan pelbagai kesan sampingan yang diwujudkan oleh skim-skim yang diperkenalkan. Kesimpulannya: ayuh, kita hapuskan skim-skim ciptaan ini, ayuh kita hentikan skim yang menggugat kesejahteraan rakyat agar tidak dibiarkan sukses sebagai Pak Man Telo selama-lamanya!

(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian, 16 Ogos 2011)