Skip to main content

nurul-izzah

Serangan bom di sebuah kelab hiburan Puchong pada akhir bulan Ramadhan menimbulkan kesangsian rakyat tentang tahap kesiapsiagaan sistem sekuriti negara. Ancaman keganasan ini mengetengahkan kelompangan sistem keselamatan Malaysia dalam memantau aktiviti militan dengan cekap.

Percanggahan laporan daripada Timbalan Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara dilihat sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi apabila kes ini melibatkan orang awam dan serangan pengganas.[1] Percanggahan ini menyebabkan masyarakat semakin mempersoalkan tahap keselamatan negara.

Dalam sidang parlimen awal Februari 2016 yang lalu, saya bertanya mengenai penglibatan anggota keselamatan yang terlibat dengan aktiviti militan dan ISIS/IL (DAESH).

Menteri Dalam Negeri menjawab bahawa penglibatan anggota keselamatan adalah dalam keadaan terkawal sedangkan insiden pengeboman kelab di Puchong menunjukkan sebaliknya apabila dua daripada 15 individu yang ditahan merupakan anggota polis.

Tomas Oliver, seorang pakar anti-pengganas menyatakan ancaman kumpulan pengganas di Malaysia lebih tinggi dan terdiri daripada pelbagai militan seperti Bangsa Moro dan Abu Sayyaf. Statistik menunjukkan jumlah rakyat Malaysia yang direkrut untuk menyertai aktiviti keganasan ISIS/IL atau DAESH adalah 6 kali ganda per kapita lebih daripada rakyat Indonesia. [2]

Tanpa kredibiliti moral dan transparensi, kerajaan menyukarkan lagi proses penguatkuasaan undang-undang. Akta serta undang-undang drakonian sering digunakan bagi memperkukuhkan kedudukan kerajaan daripada mempertahankan keselamatan awam.

Akta Prevention of Terrorism Act (POTA) telah pun diluluskan dengan saranan agar dapat membendung aktiviti yang boleh mencetuskan keganasan. Namun, kelemahan akta POTA ini dalam memerangi kumpulan pengganas seperti ISIS/IL dan DAESH yang pada awalnya disuarakan oleh pembangkang dalam parlimen akhirnya terbukti.

Hakikatnya, akta ini telah digunakan untuk menahan lebih 100 orang individu yang ada kaitan dengan pengganas. Tetapi, PDRM masih tidak mengeluarkan maklumat yang lengkap kejayaan akta ini dalam mencegah aktiviti kumpulan keganasan. Kita tidak mahu akta POTA dan POCA ini disalahgunakan terhadap individu yang tidak bersalah seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dahulu.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 siri pertama juga telah melaporkan kelemahan pelaksanaan Malaysia Immigration System (myIMMs), iaitu sistem membantu pihak berkuasa mengawal mereka yang keluar dan masuk negara. Adakah kelompongan sistem ini yang akhirnya menyebabkan isu keselamatan negara terus membarah?

Jika benar, maka perlu wujud kemahuan politik untuk melawan rasuah bagi mengelakkan krisis MyIMMs berulang kembali dan meletakkan kawalan keselamatan sempadan negara dalam risiko. Pasca laporan ketua audit diumumkan, Jabatan Imigresen mengumumkan seramai 15 anggota ditamatkan perkhidmatan dan 37 orang dikenakan tindakan tatatertib. [3] Apakah ini hukuman standard yang akan dikenakan kepada penjawat awam yang telah disiasat dan jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang?

Akibat daripada gejala yang tidak bermoral inilah yang mengakibatkan wujudnya individu yang berani menyemai benih berunsur keganasan.

Tuntasnya, pihak Kementerian Dalam Negeri serta seluruh agensi berwajib sepatutnya mengembalikan objektif akta POCA dan POTA diselia untuk urusan membendung aktiviti keganasan, serta bertanggungjawab mengemaskini data profil individu-individu yang terbabit mahupun disyaki terlibat secara langsung dengan pihak militan atau ISIS/IL(DAESH) ini.

KEADILAN melihat isu keganasan ini merupakan isu yang merentasi sempadan kaum dan agama. Justeru, saya mengulangi gesaan Presiden KEADILAN merangkap Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia supaya sebuah jawatankuasa merentas parti mengenai ancaman keganasan ditubuhkan agar pimpinan pembangkang juga mempunyai peranan menanganinya secara bersama.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA KEADILAN

[1] http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/06/28/letupan-bom-di-puchong-bukan-serangan-pengganas/
[2] http://www.theatlantic.com/international/archive/2016/01/isis-indonesia-foreign-fighters/422403/
[3] http://m.utusan.com.my/berita/jenayah/sabotaj-myimms-8232-15-pegawai-dibuang-1.337253